in , ,

Hikmah PKP, Nabil Ahmad Mohon Doa Agar Terus Istiqamah Mencari Keredaan Dalam Kehidupan

AKHIR-AKHIR ini kalau kita tonton program yang dihos oleh Nabil Ahmad seperti program MeleTop, banyak perubahan yang dapat dilihat pada penampilannya.

Sikap keloloh Nabil sudah berkurangan, sebaliknya beliau dilihat begitu serius mengacarakan program yang dipertanggungjawabkan kepadanya itu. Malah setiap kali sebelum program berakhir, Nabil, 38, sedikit sebanyak akan menyelitkan kata-kata nasihat yang disampaikan dengan spontan kepada penonton.

Kebanyakan kita sedia maklum perubahan Nabil dilihat selepas beliau menyertai jemaah tabligh selama tiga hari sebelum ini.

Sewaktu bertemu dengan Nabil baru-baru ini, penulis sempat bertanya apa yang mendorongnya mengikuti kumpulan tabligh tempoh hari?

Nabil Ahmad Menangis Keinsafan Dapat Ikut Geng Tabligh 3 Hari

Bagaimanapun Nabil enggan menjelas secara terperinci kenapa beliau mengikuti tabligh tersebut walaupun video beliau bersama kumpulan itu telah tular.

“Saya tak nak jawab apa-apa kerana ini adalah satu dakwah yang saya nak buat cara lain, bukan melalui media biasa. Yang ada peluang dan ikut saya keluar, mereka akan dapat tahu kenapa.

“Insya-Allah, apa yang saya buat ini adalah untuk kebaikan sendiri, untuk dekatkan diri dengan Allah. Pada saya, kita kena fikir ke arah akhirat lebih sebenarnya daripada dunia ini. Dunia ini hanyalah satu perjalanan untuk kita ke sana (akhirat) tempat untuk kita kumpul markah atau pahala banyak. Selagi kita boleh kumpul pahala, kita buatlah,” jelasnya.

Menurut Nabil, apa yang dilakukan adalah untuk mencari ketenangan jiwa. Jelasnya, ketenangan merupakan kenikmatan yang paling sedikit dan itulah yang dicari oleh semua orang.

Tambahnya, untuk mendapat ketenangan itu tak senang dan ia tak akan kekal lama di dunia ini. Allah akan bagi ketenangan itu sikit-sikit tapi kalau nak tenang betul kita kena berusaha ke arah itu.

Ujar Nabil, walaupun kita akan menuju ke akhirat namun dunia tidak boleh ditinggalkan. Katanya, untuk berjaya di akhirat, kena berjaya di dunia juga.

“Macam yang kita semua belajar, bila kita nak pergi ke akhirat, kita tak boleh tinggalkan dunia. Kalau nak berjaya di akhirat, kita kena berjaya di dunia. Perjalanan yang perlu kita tempuh akan diuji dari masa ke semasa kerana ujian inilah yang akan menentukan keimanan kita.

“Kita kena sedar kerana Allah akan selalu ingatkan kita tahap iman kau takat mana? Allah akan akan hantar banyak orang yang akan menegur. Kita manusia, pasti ada khilaf dalam perkara yang kita buat, sebab Allah dah atur kehidupan setiap insan.

“Contohnya, macam Saidina Umar dulu, kerja dia pukul orang tapi bila dah masuk Islam, kerja dia pukul orang juga tapi jalan Allah. Dia dah ada sebabnya. Sama juga dengan kita, lepas ini kerja kita adalah ibadah. Kita buat kerja itu adalah untuk Allah,” katanya dengan tenang.

Tambah Nabil, untuk beliau berada di tahap sekarang adalah hasil daripada perbuatannya sebelum ini. Tanpa berselindung, Nabil terus bercerita, ada perkara yang perlu disesali dan perbaiki. Tidak kurang juga yang perlu disyukuri.

“Untuk saya berada di tahap ini adalah daripada perbuatan saya yang dulu, apa yang saya buat. Ada yang perlu kita sesali dan perbaiki tapi ada yang perlu kita syukur. Syukur aku buat ini, kalau aku tak buat ini aku tak jumpa jalan ini.

“Insya-Allah, apa saja yang Allah nak bagi kat kita sekarang ini, sebenarnya Dia dah bagi dulu tapi sikit-sikit sampailah kita jumpa jalan yang dicari.

“Selagi bernyawa, kita tak boleh berhenti mencari keredaan Allah kerana ia sama macam ilmu, mana boleh berhenti mencari. Sama juga dengan Allah, kita tak boleh berhenti cari Allah. Tak boleh berhenti belajar mengasihi Nabi kita dan belajar kenal sahabat-sahabat Nabi,” katanya terus terang.

Jelas Nabil, bila beliau berkongsi ilmu dengan orang lain, perkongsian itu sebenarnya adalah untuk dirinya juga agar tidak mudah lupa. Ternyata, beliau gembira apabila ramai yang menonton videonya sewaktu menyertai kumpulan tabligh tersebut.

“Sekarang ini mungkin bila saya bercerita dengan orang sebenarnya bercerita untuk diri sendiri. Kita mengingatkan diri kita sendiri. Insya-Allah dengan doa orang yang menonton video tersebut, saya harap mereka doakan agar saya sekeluarga terus istiqamah dan begitu juga mereka yang menonton video berkenaan.

“Biar kita sama-sama mendapat kebaikan dan keredaan-Nya. Tak betul kalau kata, aku seorang saja nak masuk syurga. Kita nak orang sekeliling juga masuk syurga, insya-Allah,” katanya penuh harapan.

Dalam pada itu, Nabil berkata, beliau tetap akan bergiat dalam bidang seni kerana itu adalah kerjayanya. Cuma dalam situasi sekarang sukar untuknya merancang perjalanan seninya.

Jelas Nabil, selama ini beliau akan susun kerjaya seninya dalam tempoh lima tahun dan apa yang dirancang sejak 2015 hingga 2020 berjaya diraih.

“Perancangan 2015 sampai 2020, boleh dikatakan saya berjaya, alhamdulillah. Saya plan nak buat movie dah dapat, nak jadi director dah dapat, nak jadi penulis skrip pun dah dapat. Tapi semua itu bukan nak dilupakan tapi tak boleh nak sambung dalam situasi sekarang. Dah buat movie tapi sangkut pula.

“Apa pun saya bersyukur walaupun perancangan lima tahun akan datang tak jadi tapi Allah ganti yang lebih baik. Allah bagi satu benda yang saya tak perlu risau sebab industri hiburan ini pun kita tak tahu sampai bila kita boleh bertahan.

“Alhamdulillah pendapatan yang betul-betul baik dan bermanfaat adalah daripada perniagaan, itu adalah sunnah Nabi SAW. Allah buka satu jalan perniagaan untuk isteri jual Babynuts. Allah bagi peluang pada saya tolong isteri berniaga. Bukan nak kata sekarang ini tak bertahan atau apa, saya rasa berniaga produk sendiri lebih selamat,” katanya reda.

*Sumber: Ditulis oleh Khadijah Ibrahim (BebasNews)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Selepas Keluar Pusat Tahanan, Rezeki Dai Syed Makin Murah, Kini Dilantik Jadi Duta Produk DYXY

Selamat Hari Jadi Ke-142, Doodle Hari Ini Meraikan Hari Jadi Dr. Wu Lien-teh