in ,

Hikmah Covid-19, Animasi ROBOZETA Dilamar Stesen Televisyen Antarabangsa

Belumpun ditayangkan, animasi terbitan lokal, Robozeta berjaya mencuri perhatian negara luar apabila dilamar oleh sebuah stesen televisyen antarabangsa.

Diproduksikan oleh syarikat Red Circle Studio Sdn Bhd bersama barisan pasukan animasi yang berbakat besar, peluang keemasan itu diraih mereka tatkala seluruh dunia masih kebimbangan berdepan pandemik Covid-19.

Pengarah Robozeta, Muhammad Dzahiruddin Ahmad Zabidi, berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian itu kerana Robozeta adalah sebuah siri baharu yang belum pernah diuji kehebatannya sebagaimana siri animasi popular yang lain seperti Ejen Ali, Upin & Ipin mahupun BoBoiBoy.

“Sebuah syarikat penyiaran TV popular antarabangsa amat berminat untuk menjadikan Robozeta sebagai salah satu program siarannya. Bagaimanapun ketika ini kami masih terikat dengan kontrak bersama pihak Astro Ceria,” katanya.

Robozeta
Kreatif…tunjang utama pasukan animasi Robozeta yang diketuai Muhammad DZahiruddin Ahmad Zabidi (tengah), Alif Iman (dari kiri) selaku Modeler dan Animator, Muhammad Azri Hariz (Animator), Mohd Hafiz Abd Samad (Compositor & Editor), Azizol Rahman (Renderer, Penulis skrip & Editor) dan Muhammad Azri Hamidon (Animator)

Tambah Dzahiruddin lagi, pihaknya mengambil inisiatif sendiri untuk menghubungi syarikat penyiaran dan stesen TV antarabangsa untuk menguji sejauh mana Robozeta mampu mengembangkan pengaruhnya sebagai program kanak-kanak yang relevan untuk tontonan dunia.

“Oleh kerana dunia dilanda penularan pandemik Covid-19 sejak awal tahun ini, Red Circle Studio tepanggil untuk mengintai peluang mendekati syarikat penyiaran dan pengedar program antarabangsa untuk melihat sejauh mana Robozeta ini mampu diterima negara luar.

“Dengan cara itu, secara tidak langsung mewujudkan hubungan dua hala yang boleh dimanfaatkan pada masa akan datang. Tambahan pula, ketika ini banyak kerja-kerja produksi tergendala akibat pandemik Covid-19 menyebabkan banyak stesen TV ketandusan bahan siaran kerana tiada program baharu. Syarikat penerbitan antarabangsa sememangnya mengalu-alukan kandungan progrom dari luar, bagi menampung kekosongan yang ada,” katanya lagi.

Robozeta

Bermula dari sebuah pertandingan, sekaligus muncul pemenang program IPCC 2016 MDEC, Red Circle Studio Sdn Bhd mengembangkan Robozeta daripada sebuah projek pilot sebelum mengorak langkah lebih berani menghasilkan siri animasi 13 episod.

Dengan peruntukan dana hampir setengah juta diperoleh dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), yang boleh dianggap agak kecil berbanding dana diterima produksi lain, Red Circle Studio Sdn Bhd, membuktikan mereka mampu menghasilkan karya setanding antarabangsa.

Percaya bahawa membina jenama yang kukuh di negara sendiri sentiasa menjadi keutamaan, Robozeta mengisahkan tentang lima adiwira iaitu Riko, Jango, Rexx, Bepop dan Ely. Dimana kelima-lima Adiwira ini bersatu untuk mempertahankan Zenochip.

Kesemua 13 episod siri animasi ini sudahpun siap sepenuhnya dan hanya menantikan tayangan perdananya pada 19 Disember ini di Astro Ceria, jam 4.30 petang.

“Robozeta adalah sekumpulan adiwira cilik yg melindungi bandar Zetania dari ancaman musuh iaitu geng Kalabera yang berhasrat merampas sebuah chip dikenali sebagai ZenoChip. Yaitu sumber kuasa yang mampu memenuhi segala impian mereka.

“Kelima-lima adiwira ini mempunyai perwatakan yang berbeza. Riko misalnya merupakan kapten dalam pasukan ini memiliki sikap kepimpinan yang tinggi. Janggo pula adalah orang kanan kepada Riko yang sangat terkenal dengan kegarangannya, paling handal namum pendiam dan baik hati.

“Sesuai dengan namanya Bepop pula adalah seorang yang periang dan kelam kabut. Bepop adalah pencetus komedi dalam siri animasi ini. Sementara Rexx berbadan sasa, malangnya sedikit lembap akan tetapi kekuatannya terletak pada saiznya yang besar.

“Terakhir sekali adalah Ely, satu-satunya perempuan yang sering menjadi penasihat dan penyejuk dalam pasukan ini setiap kali mereka berdepan masalah.

“Paling istimewa, apa yang membezakan Robozeta dengan adiwira yang pernah mencetuskan fenomena di Malaysia sebelum ini, selain kuasa dan kenderaan istimewa dimiliki kelima-lima adiwira tadi, mereka juga boleh bergabung menjadi sebuah mecha robot. Dimana idea ini belum pernah diguna pakai dalam penerbitan siri animasi di Malaysia. Kalau di Jepun dan Eropah, Mecha robot ni adalah sesuatu yang biasa tapi di Malaysia, Robozeta adalah yang pertama,” katanya terinspirasi daripada konsep Super Sentai yang popular sekitar 90-an.

Robozeta

Tidak hanya menitik beratkan lakaran dan efek animasi yang hebat, Dzahiruddin menyifatkan terapan nilai murni dan mesej khidmat masyarakat menjadi tunjang utama kekuatan Robozeta.

Dalam mempamerkan kehebatan Robozeta, pemahaman mengenai amalan membuang sampah yang betul, kepentingan mengawal pemakanan, limitasi menonton TV atau bermain gajet supaya tidak berlebihan, antara nilai yang diterapkan supaya dapat mewujudkan kepekaan tentang tanggungjawab si kecil pada diri, ibu bapa, persekitaran dan manusia sejagat.

“Topik-topik yang dibawakan setiap minggu amat bersesuaian untuk tontonan setiap peringkat usia dan bangsa. Garapan cerita yang disesuaikan dengan adiwira cilik, kenderaan berkuasa tinggi serta mecha robot juga adalah sesuatu yg boleh dikaitkan dengan penonton dewasa seperti kegilaan kita menonton karya-karya transformers,” katanya.

Berdurasi selama 22 minit, Robozeta adalah siri animasi 3D berbahasa Melayu dan bergenre aksi komedi. Informasi mengenainya juga boleh didapatkan menerusi media sosial Robozeta di Facebook Robozeta, Instagram Robozeta dan YouTube. Layari: www.redcircle.com.my

Robozeta
Robozeta
Robozeta

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Trending Viral Hiasan | 18

Kolaborasi OMAR & HANA Bersama Mufti Menk Cecah 1.3 Juta Tontonan di Youtube

Jamal Abdillah | 19

Jamal Abdillah Bangga Jadi Satu-Satunya Warga Emas Layak Ke AJL35