in , ,

Henry Golding Bakal Bawa Watak James Bond Ganti Daniel Craig?

Baru-baru ini tersebar tentang spekulasi tentang pelakon popular Hollywood kelahiran Malaysia, Henry Golding dilaporkan bakal membintangi filem James Bond. Wow! Pasti ramai yang teruja dengan ura-ura ini kan?

Henry Golding dikhabarkan akan menggantikan pelakon Daniel Craig, 50, yang akan tamat kontraknya memegang karakter perisik kasanova itu. Namun begitu, pelakon utama Crazy Rich Asians itu enggan mengulas mengenai spekulasi itu.

“Saya tidak boleh berkata apa-apa mengenai hal itu,”

– Henry Golding via TMZ

Jika betul Henry menjadi pilihan, aktor tampan itu akan mengulangi sejarah yang dicipta oleh aktres Michelle Yeoh yang pernah berlakon sebagai gadis Bond dalam siri Tomorrow Never Dies.

Pelakon berdarah kacukan Inggeris-Iban itu mencipta kemasyhuran di Hollywood selepas filem lakonannya, Crazy Rich Asians mencetus fenomena di seluruh dunia pada 2018.

Budiey & Henry Golding… mana lebih kuat korang rasa?
Budiey bersama Henry Golding semasa beliau menjadi duta Dashing.

APAKAH 2019 akan menyaksikan selebriti Asia menjadi bintang pujaan di Hollywood selepas kumpulan K-Pop, BTS menguasai pasaran Amerika Syarikat?

Barangkali juga, kemasyhuran yang sedang dinikmati oleh Blackpink memberi petanda bahawa inilah peluang keemasan yang harus direbut oleh artis-artis dari Asia.

Lalu, apabila berita watak perisik Inggeris, James Bond bakal digalas aktor tampan kelahiran Betong, Sarawak, Malaysia, Henry Golding, itu merupakan khabar yang paling manis buat industri hiburan.

Seandainya khabar itu sudah dimeterai dalam kontrak tawaran, tentu sekali Henry bakal melakar sejarah paling cemerlang dalam profil seninya selepas namanya hangat diperkatakan dalam filem Crazy Rich Asians pada 2018.

Sebetulnya, cadangan Henry, 32 tahun, melakonkan watak James Bond itu sudah lama menjadi bahan perbincangan netizen di media sosial.

Bahkan, sewaktu sibuk mempromosikan filem Crazy Rich Asians di Hollywood, nama Henry juga disebut oleh personaliti terkenal Hollywood, Jimmy Fallon ketika aktor tampan itu diwawancara dalam program The Tonight Show Starring Jimmy Fallon.

Lantaran mengagumi perjalanan seni Henry, Fallon secara spontan mencadangkan pelakon berdarah Inggeris-Iban itu menjadi tunggak utama James Bond.

“Saya mahu katakan inilah James Bond yang akan datang,”

– Fallon (mengundang tepukan penonton program berkenanaan)

Semasa muncul sebagai muka depan majalah GQ pada November tahun lalu, peminat-peminat Henry beramai-ramai memuat naik status meminta pelakon itu ditampilkan sebagai James Bond seterusnya menggantikan Daniel Craig.

Segelintir pihak dalam industri filem Hollywood bersifat skeptikal terhadap spekulasi nama Henry sebagai James Bond kerana dia bukan orang Inggeris asli.

Sebaliknya, bagi mereka amat sukar untuk lelaki berdarah Iban itu menggantikan aktor Inggeris asli yang selama ini menjadi sinonim dengan filem risikan popular itu.

Bagaimanapun, jika latar belakang Henry, ketampanannya serta profil seninya diambil kira, ditambah dengan darah Inggeris dan Asia yang diwarisi daripada ibu dan ayahnya, kenapa tidak?

Henry akan memberi nilai tambah kepada Hollywood kerana pengaruhnya di rantau Asia tidak harus diperkecilkan, lebih-lebih lagi selepas filem Crazy Rich Asians yang dibintanginya mendapat sambutan luar biasa.

Sekali lagi, seandainya benar Henry menjadi pilihan produksi James Bond untuk siri ke-25 filem perisikan itu, maka bekas personaliti televisyen itu bakal mengulangi sejarah yang dilakar pelakon Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh yang bergelar gadis Bond dalam Tomorrow Never Dies yang diterbitkan pada 1997.

MUNGKINKAH rakyat Malaysia akan menyaksikan Henry Golding mengulangi sejarah Michelle Yeoh?
MUNGKINKAH rakyat Malaysia akan menyaksikan Henry Golding mengulangi sejarah Michelle Yeoh? – Gambar Instagram Henry Golding

Namun begitu, keterujaan mengenai spekulasi Henry sebagai ejen 007 masih belum terjawab lantaran aktor itu lebih senang berdiam diri.

James Bond edisi ke-25 disasarkan untuk tayangan pada 14 Februari 2020 di United Kingdom.

Pemegang watak James Bond yang terakhir, Craig pula tidak dapat memberikan komitmen untuk siri terbaharu ini kerana terikat dengan jadual penggambaran filem lain.

Sumber: Astro Awani

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Samsung Raises the Bar with Galaxy S10: More Screen, Cameras and Choices

Budak Lelaki 11 Tahun Warisi Harta Jutaan Ringgit Karl Lagerfeld