in , ,

HCTM Nafi Kakitangan Sebar Foto Didakwa Bayi Siti Sarah

Susulan penularan foto bayi yang didakwa anak Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, pengurusan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) tampil menjelaskan bahawa sumber gambar berkenaan bukan daripada kakitangan pusat perubatan berkenaan.

Menerusi kenyataan rasminya, Pengarah HCTM, Prof Datuk Dr. Razman Jarmin turut mengesahkan foto berkenaan bukan bayi lelaki yang dilahirkan penyanyi terbabit Jumaat lalu seperti didakwa penyebar.

“Pihak HCTM Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merujuk kepada penularan gambar bayi yang didakwa anak kepada Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.

“Pihak HCTM UKM dengan ini memaklumkan bahawa gambar bayi itu bukan anak Allahyarham dan menafikan sumber gambar itu diperoleh daripada kakitangan HCTM seperti yang didakwa.

“Pihak pengurusan HCTM turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, pemilik Indigital Music yang juga pengurus Allahyarham, Nana Mohamad Rom menepis dakwaan yang mengatakan foto tular seorang bayi sebagai anak bongsu Siti Sarah dan Shuib.

Nana yang meminta orang ramai memberi ruang kepada keluarga arwah memohon supaya penyebaran perkara palsu seperti itu dihentikan.

Menurutnya, bayi yang dilahirkan pramatang ketika kandungan Siti Sarah memasuki lapan bulan itu dalam keadaan sihat namun dipantau di inkubator.

Allahyarham Siti Sarah, 36, menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) HCTM akibat jangkitan COVID-19, pukul 5.13 pagi semalam.

Pemergian ibu kepada empat cahaya mata itu meninggalkan kesan kepada semua pihak malah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan menyampaikan ucapan takziah.

Berita kehilangan penyanyi Kesetiaan itu juga dipaparkan menerusi media dan laman portal di Indonesia, Singapura dan Brunei.

*Sumber: K! ONLINE

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

“Kami Sudah Sah Bercerai,” – Isteri Aman RA

“Siti Sarah Tak Takut Pada Saya,” – Azwan Ali