in

HBO Siar Filem DESPICABLE ME 2 Dalam Bahasa Malaysia Sempena Hari Raya

Bekas penjahat, Gru, dan kumpulan Minions menjadi tumpuan utama di HBO pada Hari Raya Aidilfitri. Tahun ini, HBO Asia mengalih suara filem DESPICABLE ME 2, dalam Bahasa Malaysia yang disuarakan oleh bakat tempatan dari Malaysia, Singapura dan Brunei. DESPICABLE ME 2 adalah filem animasi yang paling ditonton di Malaysia pada tahun 2013 dan akan ditayangkan di kaca televisyen Asia untuk pertama kali pada Hari Raya Puasa, di HBO (Astro saluran 411) / HBO HD (Astro saluran 431) pada hari Isnin, 28 Julai 2014, jam 9 malam, dengan pilihan audio Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

DESPICABLE ME 2

[pullquote]HBO ASIA Mempersembahkan Filem Despicable Me 2 Dalam Bahasa Malaysia Untuk Hari Raya Dengan Bakat Suara Dari Malaysia, Singapura Dan Brunei Termasuk Harith Iskander, Lisa Surihani, Hafizuddin Fadzil, Puteri Balqis Azizi, Nelydia Senrose, Dato’ Fazley Yaakob, Hisyam Hamid, Hanis Zalikha, Farhanna Qismina, Hafiz Suip, Didie Alias, DJ Daffy. DESPICABLE ME 2 juga akan menampilkan suara Elrafaei Sapi dari Harian Metro dan blogger hiburan Budiey Isma daripada Budiey.com.[/pullquote]

Kejayaan lalu telah membawa kepada kerjasama antara HBO Asia dengan rakan lama, Astro, untuk sekali lagi membawa kolaborasi barisan artis TV, radio dan personaliti teater yang berbakat untuk menyuarakan watak-watak dalam DESPICABLE ME 2. Pelawak terkenal, pengarah, pelakon dan penulis skrip, Harith Iskander selaku Gru; pelakon dan hos televisyen HBO Sentral, Lisa Surihani sebagai Lucy Wilde, kekasih Gru; Hafizuddin Fadzil sebagai penjahat El Macho dan Eduardo; pelakon muda dan model komersial Puteri Balqis Azizi sebagai Agnes; pelakon Farhanna Qismina sebagai Edith; pelakon Nelydia Senrose sebagai Margo; penyanyi, pelakon dan penceramah motivasi, Dato’ Fazley Yaakob sebagai Dr. Nefario; pelakon Singapura, Hisyam Hamid, sebagai Floyd; blogger, model dan pelakon Hanis Zalikha sebagai Jilian; pelawak dan pelakon Didie Alias sebagai Shannon; penyanyi Hafiz Suip sebagai Antonio; dan Haniff (Haniff Hamzah) dari Radio ERA sebagai Silas.

Terdapat pelbagai watak-watak lain yang disuarakan oleh pengacara radio Brunei, DJ Daffy; Ray (Shah Reza Mohd Shah) dan Dina Nadzir dari Radio ERA; dan pemenang tempat kedua dalam Raja Lawak musim ketiga, Nuur Jihan Muse. DESPICABLE ME 2 juga akan menampilkan suara Elrafaei Sapi dari Harian Metro dan blogger hiburan Budiey Isma daripada Budiey.com.

“Walaupun saluran HBO dikenali untuk filem terbesar dan terbaik di Hollywood, HBO Asia berpegang kepada kepentingan menyetempatkan kandungan kami untuk keseronokan penonton kita. Kami yakin bahawa DESPICABLE ME 2 dalam Bahasa Malaysia akan menjadi suatu hit dengan penonton sempena musim perayaan ini.” kata Jacelyn Kek, Ketua Jualan dan Pemasaran Affiliate di HBO Asia. Dia menambah, “Dengan sokongan kuat daripada Astro, kami telah mencapai lebih tahun ini dengan pengenalan HBO Sentral, sebuah program yang dihasilkan di Malaysia dan dihos oleh Lisa Surihani dalam Bahasa Malaysia.”

“Bersama dengan rakan saluran kami yang berdedikasi, HBO Asia, kami sangat bangga untuk membentangkan versi setempat dan tayangan perdana filem DESPICABLE ME 2 yang merangkumi suara dari bakat tempatan Astro untuk versi Bahasa Malaysia sambil kita terus menyediakan pelbagai pilihan selain memastikan nilai untuk pelanggan kami pada Hari Raya ini. Kami berdedikasi dalam menyediakan perkhidmatan hiburan yang terbaik dan kandungan yang pasti akan mengujakan dan memuaskan para penonton” kata Junaidah Said Khan, Pembantu Kanan Naib Presiden, Perniagaan Bahasa Inggeris, Astro.

Sebagai tambahan kepada perayaan Hari Raya, semua dijemput ke siri jelajah HBO Despicable Me 2 di 1 Utama Shopping Centre, Highstreet Concourse, Tingkat Bawah, 16-20 Julai, jam 10 pagi hingga 10 malam. Pelbagai akitiviti keluarga penuh dengan keseronokan boleh didapati di acara tersebut, di mana para peserta akan berpeluang untuk memenangi hadiah filem eksklusif. Pada 19 dan 20 Julai, beberapa bakat suara Bahasa Malaysia DESPICABLE ME 2 akan membuat penampilan khas dengan maskot ‘Minion’ di siri jelajah tersebut.

TENTANG DESPICABLE ME 2

Dalam sekuel box office hit yang pertama ini, Despicable Me, Gru (Steve Carell) meninggalkan kehidupan jenayah untuk menjaga tiga anak perempuannya, Margo (Miranda Cosgrove), Edith (Dana Gaier) dan Agnes (Elsie Fisher), dan membenarkan semua Minion untuk menikmati masa lapang. Tetapi, sebaik sahaja dia mula untuk menyesuaikan diri dalam peranannya sebagai seorang lelaki yang telah berkeluarga, sebuah organisasi rahsia yang berdedikasi untuk melawan kejahatan pada skala global datang mencarinya. Dan ini membawa Gru dan rakan barunya, Lucy (Kristen Wigg), berhadapan dengan sebuah kes untuk mencari orang yang bertanggungjawab bagi satu siri jenayah luar biasa.

Filem yang menyeronokkan dan mencuit hati untuk seluruh keluarga, DESPICABLE ME 2 buat kali pertama ditayangkan di kaca televisyen Asia sempena Hari Raya ini pada hari Isnin, 28 Julai jam 9 malam di HBO / HBO HD (Astro saluran 411 / 431).
Filem ini akan ditawarkan dengan pilihan audio dwi bahasa, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Sari kata dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Cina juga disediakan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Album Bajet Siri Mampu Miliki Kini di Pasaran

Shah Iskandar Beraya Dengan Baju Melayu Giovani Homme