in ,

Hazami Risau Duet Dengan Aishah

TIDAK hanya menghasilkan lagu terbaru Aishah, Malar, kerjasama antara Hazami dengan juara Gegar Vaganza musim keempat itu berlanjutan apabila mereka bakal merakamkan single duet.

Menurut Hazami, jika segala perancangan berjalan lancar, rakaman lagu duet itu akan dimulakan tidak lama lagi selepas proses pembikinan single solo Aishah selesai.

“Melodi untuk lagu duet kami sudah ada dan bagi saya, ia sangat indah. Namun, saya perlu menunggu semua urusan berkaitan pembikinan single terbaru Aishah selesai sepenuhnya.

“Hanya selepas itu, baru projek lagu duet ini akan dijalankan. Memang saya tidak sabar menunggu hasilnya nanti. Sebagai peminat, peluang berpadu suara dengan Aishah sesuatu yang amat saya nantikan,” katanya.

Di sebalik keterujaannya, timbul perasaan gusar dalam diri penyanyi yang popular dengan lagu Sonata Musim Salju dan Mungkir Bahagia itu memandangkan genre muzik mereka agak berbeza.

Namun, bagi Aishah, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana sebagai penyanyi, mereka perlu bersedia menyanyikan apa sahaja genre muzik.

“Tiada masalah untuk saya membawakan lagu Pop R & B yang menjadi identiti Hazami. Saya okay sahaja. Kalau boleh, biarlah lagu itu nanti dihasilkan bahasa Inggeris.

“Alang-alang mahu membuat pembaharuan, biar kita tampilkan sesuatu yang di luar jangkaan.” katanya.

Terdahulu, Malar yang dihasilkan sepenuhnya Hazami bakal diperdengarkan Aishah ketika beraksi pada Konsert Pesta Raya 2018 Dua Diva bersama Liza Hanim di Dewan Esplanade, Singapura, 13 Julai ini. – BH ONLINE

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

AirAsia Lancar Platform E-Dagang Dalam Penerbangan Dengan Plaza Bali

Aidil Sedia Terima Fasha Sebagai Isteri