in , ,

Hatta Dolmat Rai 10 Tahun Kuala Lumpur Fashion Week Dengan PERAHU KERTAS

Perjalanan Emosi, Keberanian Dan Harapan Dalam Dunia Fesyen Malaysia: Hatta Dolmat Menyulam Kisah Hidup Dalam Koleksi Paling Peribadi Sepanjang KLFW 2025

KLFW 2025 bukan sekadar satu minggu penuh glamor dan lensa kamera sahaja—tahun ini, Budiey melihat pentas fesyen Kuala Lumpur menjadi lebih bermakna dengan kemunculan Hatta Dolmat yang kembali, membawa satu koleksi yang sarat emosi, memori, cinta dan nostalgia, diberi nama PERAHU KERTAS.

Untuk Budiey, menyaksikan dengan mata sendiri perkembangan sosok figura dan ikon fesyen bergelar Hatta Dolmat membenihkan semangat juang bak pahlawan yang tak pernah putus asa dan sentiasa ‘fighting’ berjuang habis habisan dalam menerombosi aliran fesyen yang sentiasa berombak dan kekadang bergelora.

Sebegitu juga apabila Budiey menyaksikan sendiri persembahan PERAHU KERTAS yang mendamaikan jiwa dengan rona yang menenangkan. Bagi Budiey, inilah momen yang benar-benar mendalam—bukan sekadar himpunan baju di atas runway, tapi satu surat cinta kepada perjalanan penuh getir, penuh harapan, dan sentiasa berlayar walaupun dilanda ombak kehidupan.

Hatta Dolmat KLFW 2025

Refleksi Sepuluh Tahun: Dari Runway Ke Realiti

Bukan mudah bertahan sepuluh tahun dalam dunia fesyen tempatan yang penuh liku, apatah lagi sebagai seorang pereka yang menolak arus dan berani mendobrak norma. Hatta sendiri mengakui,

Perjalanan saya bersama KLFW lebih daripada sekadar platform untuk pamer rekaan. Ia satu tempoh pembelajaran, pertumbuhan, dan penemuan makna serta tujuan di sebalik fesyen lestari. Pengalaman ini benar-benar membentuk cara saya berkarya dan kisah yang saya pilih untuk diceritakan melalui seni.”

– Hatta Dolmat

Setiap helaian dalam PERAHU KERTAS bukan sekadar ciptaan kreatif, tetapi cerminan jiwa seorang pereka yang belajar untuk tidak tunduk walau diuji. Simbolik perahu kertas—lembut, ringan, mudah koyak—menjadi metafora hidup Hatta dalam dunia fesyen: nampak rapuh, namun tetap tabah, tetap melangkah walau kadang terasa hampir karam.

Hatta Dolmat KLFW 2025

Kolaborasi Dengan Opai: Fesyen Dan Wangian Bertemu Dalam Satu Cerita

Buat pertama kali dalam sejarah KLFW, koleksi fesyen dipadankan dengan haruman eksklusif. Tahun ini, Hatta menggandingkan kreativiti bersama Opai, menghasilkan wangian istimewa bertajuk ‘HOPE’, yang menghidupkan kenangan zaman kecil pereka sendiri. Menariknya, setiap satu lapisan aroma dipilih sendiri oleh Hatta, memberi sentuhan peribadi yang begitu jujur.

Menurut Opai,Ini adalah kolaborasi pertama seumpamanya di Malaysia, menggabungkan rekaan dan wangian dalam satu pengalaman yang sangat peribadi.”

Bagi Budiey, ini bukan sekadar langkah ke hadapan untuk industri, tapi juga satu bentuk penceritaan baru—pentas runway kini punya ‘bau’, bukan sekadar rupa.

Hatta Dolmat KLFW 2025

Seni Origami Dalam Fesyen: Minimalis Tapi Sarat Makna

Tidak seperti kebiasaan, tahun ini Hatta memilih pendekatan yang lebih tenang dan matang. Runway PERAHU KERTAS sengaja direndahkan ‘glam’, sebaliknya memberi fokus pada tenang, reflektif dan mendalam. Kain kapas, linen dan denim digunakan sebagai pilihan utama—meminjam irama kehidupan seharian yang sederhana, tetapi sentiasa punya harapan untuk hari esok yang lebih baik.

Setiap potongan dan siluet diinspirasikan daripada seni lipatan kertas, membawa penonton mengimbas kembali zaman kanak-kanak, di mana setiap lipatan menjadi satu kejutan kecil yang membawa bahagia dan nostalgia. Inilah kekuatan seni—memori lama dihidupkan kembali, dalam bentuk yang lebih dewasa dan penuh makna.

Hatta Dolmat KLFW 2025

Penaja Berprofil Tinggi: Bukti Kekuatan Kolaborasi Kreatif

Bukan mudah membawa visi sebesar ini ke pentas realiti tanpa sokongan komuniti. Projek PERAHU KERTASdisokong oleh pelbagai penaja seperti LactoDay, LANBAHARIN, HeelsHansmin, TATAGALTIER, Teva Malaysiadan Daily Dose Coffee. Mereka bukan sekadar penaja—mereka adalah sebahagian daripada perjalanan, membuktikan bahawa kolaborasi kreatif masih punya kuasa besar dalam membentuk wajah industri gaya hidup dan fesyen Malaysia.

Hatta Dolmat KLFW 2025

Hidup Seperti Perahu Kertas: Luka, Berehat, Bangkit Dan Berlayar Lagi

Hidup ini seperti perahu kertas, mudah terluka. Kadang-kadang kita berhenti, kita rehat. Tapi bila harapan datang kembali, kita cari keberanian dan mula berlayar sekali lagi.

– Hatta Dolmat

Koleksi PERAHU KERTAS berdiri sebagai simbol kepada semua yang pernah ‘terhenti sejenak’ dalam hidup, tetapi akhirnya punya kekuatan untuk bangkit semula, menggenggam impian baru dengan penuh harapan.

Hatta Dolmat: Pelopor Fesyen Lestari Malaysia

Untuk yang masih belum kenal, Hatta Dolmat bukan sekadar nama biasa dalam arena fesyen tempatan. Beliau diiktiraf sebagai pereka fesyen pertama Malaysia yang benar-benar serius dalam fesyen lestari, malah berjaya mengukir nama dalam Malaysia Book of Records dengan koleksi lestari pertama negara. Inilah pencapaian yang bukan hanya mengubah landskap industri, tapi memberi inspirasi pada generasi baru agar lebih berani dan bertanggungjawab dalam berkarya.

Hatta Dolmat KLFW 2025

Apa Kata Budiey?

Terus-terang, Budiey rasa koleksi PERAHU KERTAS adalah satu karya yang wajar diraikan sebagai ‘masterpiece’ dalam karier Hatta Dolmat. Bukan sekadar menonjolkan kreativiti luar biasa, tetapi keberanian untuk tampil vulnerable, jujur dan beremosi. Dalam dunia fesyen yang sering terperangkap dalam glamor kosong, Hatta datang membawa sesuatu yang real—kisah jatuh bangun, harapan, dan kekuatan untuk bermimpi semula.

Budiey berharap lebih ramai pereka muda dan lama akan berani mengambil inspirasi dari perjalanan Hatta, berani untuk berehat bila perlu, berani untuk mengaku lemah, tetapi akhirnya kembali bangkit dengan jiwa yang lebih segar. Industri fesyen Malaysia perlukan lebih banyak koleksi seperti PERAHU KERTAS—koleksi yang punya hati, punya cerita, dan meninggalkan kesan jauh lebih dalam daripada sekadar ‘wow’ di atas runway.

Jika anda juga pernah ‘hanyut’ atau hampir karam dalam perjalanan hidup, percayalah, satu hari nanti anda pasti akan temui arus baru untuk kembali berlayar. Jangan pernah padamkan harapan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Aisha Retno Tampil Berani Dengan Album [Re.Hab] Sarat Makna Hidup