in , ,

Harapan Besar Anak Seni & Filem Dalam Belanjawan Negara 2026

Dato’ Afdlin Shauki Suarakan Isu Infrastruktur, Hak Cipta Dan Keberdayaan Industri Filem – Satu Seruan Keras Agar Seni Malaysia Diiktiraf Sebagai Aset Ekonomi Negara

Setiap kali Belanjawan Negara dibentangkan, dewan parlimen dipenuhi jangkaan dan harapan. Namun bagi golongan anak seni, debarannya sedikit berbeza. Di sebalik angka dan unjuran ekonomi yang dilontarkan, terselit persoalan lama yang belum pernah terjawab sepenuhnya – adakah kali ini giliran kami untuk benar-benar bernafas?

Suara yang paling lantang kali ini datang daripada Dato’ Haji Afdlin Shauki, pelakon, pengarah, penerbit, dan kini Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM). Dalam kenyataan yang jujur dan sarat emosi, beliau menyeru agar kerajaan menghentikan tradisi melihat seni sebagai hiburan semata-mata, sebaliknya mengiktirafnya sebagai sektor ekonomi berimpak tinggi yang mampu membina identiti bangsa serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut beliau, para penggiat seni bukan menagih simpati atau bantuan jangka pendek. Apa yang mereka mahu ialah satu ekosistem kekal, satu sistem yang membolehkan mereka berdikari, terus berkarya dan menyumbang kepada ekonomi negara secara berterusan.

Saya tidak meminta simpati. Saya hanya mahu dasar yang membolehkan kami berkarya dengan maruah,”

– Afdlin

Infrastruktur Jadi Asas Penting Untuk Lonjakan Industri Filem Malaysia

Bagi Afdlin, tunjang utama kepada kebangkitan semula industri filem Malaysia ialah pembinaan infrastruktur bertaraf dunia. Menurutnya, tanpa kemudahan teknikal dan studio produksi yang moden, impian untuk bersaing dengan pasaran antarabangsa hanyalah angan-angan kosong.

Beliau menyebut Korea Selatan sebagai contoh paling nyata bagaimana pelaburan besar dalam Teori Hallyu (Korean Wave Theory) telah mengubah wajah industri hiburan mereka. Ia bukan kejayaan yang datang secara spontan, tetapi hasil strategi nasional yang dilaksanakan sejak dua dekad lalu, termasuk pembinaan studio besar, teknologi produksi terkini dan dasar insentif kepada pencipta kandungan tempatan.

Kerajaan Korea ketika itu berani melabur besar dalam studio bertaraf dunia, teknologi penggambaran canggih, serta menyediakan insentif ekonomi kepada penggiat tempatan. Hasilnya, mereka kini bukan sekadar eksport muzik dan drama, tetapi budaya,” jelas Afdlin.

Beliau turut berkongsi pengalamannya melawat sebuah studio bawah air di Korea yang lengkap dengan sistem ombak mekanikal dan pencahayaan bawah air – satu kemudahan yang masih tiada di Malaysia. Infrastruktur seperti ini menurutnya membolehkan penerbit menghasilkan filem bertaraf antarabangsa dengan realisme tinggi.

Bayangkan jika Malaysia mempunyai fasiliti sebegitu. Kita boleh hasilkan kisah maritim, sejarah, atau filem epik kepahlawanan bangsa dengan visual yang megah dan autentik, tanpa perlu menutup jalan bandar untuk penggambaran,” ujarnya.

Afdlin juga menegaskan bahawa negara ini pernah memiliki potensi besar melalui Pinewood Iskandar Studios, namun sayangnya potensi itu tidak diteruskan. Sudah tiba masanya, katanya, untuk menghidupkan kembali visi itu dengan dasar lebih inklusif, agar fasiliti sebegitu boleh digunakan oleh semua penerbit tempatan, bukan hanya golongan tertentu.

Selain itu, kemudahan seperti ini juga boleh menjadi sumber pendapatan baharu kepada negara apabila disewakan kepada penerbit antarabangsa. “Kalau Thailand dan Indonesia boleh menarik produksi Hollywood, Malaysia juga mampu. Tetapi ia mesti bermula dengan keberanian untuk membina semula asas industri filem secara fizikal,” tambahnya lagi.

Seni Sebagai Ekonomi, Bukan Sekadar Hiburan Jiwa

Ramai yang lupa bahawa seni bukan sekadar ekspresi jiwa, tetapi sumber ekonomi sebenar. Afdlin menegaskan bahawa di sebalik setiap karya filem, muzik atau pentas teater, wujud manusia yang bekerja keras dan berjuang untuk terus hidup. Ramai seniman yang bergantung kepada projek demi projek tanpa jaminan pendapatan tetap.

Untuk itu, beliau mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan pembaharuan cukai khas untuk sektor seni dan kreatif, sepertimana yang diamalkan di Ireland. Negara tersebut memberikan pengecualian cukai sehingga €50,000 pertama untuk hasil karya seni seperti filem, muzik dan teater. Langkah ini telah membantu ramai seniman mereka untuk terus berkarya tanpa tekanan kewangan.

Kalau Malaysia ikut langkah ini, ramai seniman boleh bernafas semula. Tak perlu lagi bergantung pada bantuan sementara atau pinjaman, mereka boleh hidup dan mencipta dengan lebih yakin,” kata Afdlin.

Beliau turut menyarankan supaya kerajaan memberikan potongan cukai berganda kepada syarikat korporat yang menaja atau melabur dalam projek seni tempatan. Ini akan membuka pintu baharu untuk sektor swasta melihat seni bukan lagi sebagai tanggungjawab sosial, tetapi sebagai pelaburan strategik dengan pulangan ekonomi dan budaya yang besar.

Perlindungan Harta Intelek Jadi Tunjang Keberlangsungan Karya

Satu lagi isu yang cukup besar bagi industri ini ialah soal hak harta intelek (Intellectual Property / IP). Bagi Afdlin, IP merupakan nadi utama kelangsungan industri kreatif dan tanpa perlindungan sewajarnya, seniman tempatan akan terus kehilangan hak terhadap karya mereka sendiri.

Beliau mendedahkan bahawa selama ini, ramai penerbit tempatan kehilangan hak ke atas karya mereka apabila penyiar nasional membeli “all rights”, menyebabkan pencipta asal tidak lagi mempunyai kuasa untuk menjual atau menayangkan karya tersebut di platform lain.

Kita nak industri maju, tapi kita rampas hak pencipta. Macam mana nak berkembang kalau karya sendiri pun tak boleh kita pegang?” soal Afdlin dengan nada kesal.

Beliau mencadangkan agar sistem ini dirombak secara menyeluruh. Penyiar seperti RTM dan mana-mana platform lain sepatutnya membeli hak siaran (licensing rights) sahaja, bukan hak milik kekal. Ini adalah model yang diguna pakai oleh organisasi besar seperti BBC, Netflix dan Disney, yang mengekalkan hak cipta di tangan pencipta asal.

Dengan dasar sebegini, karya tempatan boleh dipasarkan semula ke luar negara – ke festival dan pasaran filem antarabangsa seperti Cannes Film Market dan Busan Film Market. “Hanya apabila pencipta memiliki kuasa terhadap karya mereka, barulah wujud ekonomi kreatif yang benar-benar hidup dan berdaya saing,” katanya.

Dari Belas Kasihan Ke Keberdayaan

Afdlin menegaskan, sudah tiba masanya kerajaan mengubah perspektif terhadap industri seni – bukan lagi sebagai kumpulan yang perlu dibantu, tetapi sebagai sektor ekonomi berpotensi tinggi.

Beliau menjelaskan bahawa setiap set penggambaran sebenarnya ialah ekosistem ekonomi mikro. Di dalamnya, terdapat jurukamera, pereka kostum, penata rias, tukang jahit, pemandu, juruteknik, pelakon tambahan dan ramai lagi. Semua ini mencipta aliran ekonomi yang aktif dan memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.

“Seni bukan sekadar hiburan. Ia adalah rantaian ekonomi sebenar yang menggerakkan masyarakat dan menjana pekerjaan,” katanya.

Afdlin yakin bahawa dengan dasar kerajaan yang betul – termasuk kemudahan studio moden, infrastruktur sokongan, insentif cukai dan peraturan mesra penggiat seni – industri ini mampu berdiri atas kaki sendiri dan menjadi sumber pertumbuhan ekonomi baharu negara.

Apabila keberdayaan ini dibentuk, barulah dunia akan melihat bahawa industri seni Malaysia bukan sekadar sektor hiburan, tetapi kekuatan ekonomi dan budaya nasional yang membanggakan,” ujarnya.

Suara 25 Tahun Dalam Dunia Seni

Selepas lebih dua dekad bergelumang dalam dunia seni, Afdlin bukan sekadar bercakap sebagai pengarah atau pelakon, tetapi sebagai insan yang menyaksikan jatuh bangun industri filem Malaysia dengan matanya sendiri.

Harapan saya terhadap Belanjawan 2026 bukan sekadar angka di atas kertas. Saya impikan pelan jangka panjang yang mengiktiraf seni sebagai sumber ekonomi masa depan negara,” katanya penuh semangat.

Beliau menyeru agar kerajaan menyediakan dasar yang memberikan ruang kepada penggiat seni untuk berdikari, bukan bergantung pada belas kasihan. Baginya, sudah tiba masanya Malaysia meniru keberanian negara lain yang menjadikan seni sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan nasional.

Apa Kata Budiey?

Budiey melihat kenyataan Dato’Afdlin ini bukan sekadar luahan peribadi, tetapi satu manifesto kecil untuk masa depan seni Malaysia. Ia menggambarkan realiti yang sudah lama dirasai oleh penggiat seni tempatan – dari pelakon ke penulis skrip, dari pemuzik ke pelukis – yang masih mencari ruang untuk bernafas dalam sistem yang tidak berpihak pada mereka.

Apa yang Dato’ Afdlin suarakan ialah hakikat sebenar bahawa seni bukan sektor pinggiran, tetapi satu ekosistem bernilai tinggi yang boleh menjadi nadi ekonomi baharu negara. Belanjawan 2026 sepatutnya menjadi titik tolak kepada transformasi ini.

Malaysia sudah pun memiliki bakat yang hebat. Yang kita perlukan sekarang hanyalah keberanian politik dan visi nasional untuk menjadikan seni sebagai industri yang disusun rapi dan berdaya saing global.

Jika kerajaan berani melangkah ke arah itu, tidak mustahil Malaysia akan muncul sebagai hab kreatif serantau, setanding Korea Selatan atau Thailand. Namun jika kita terus melihat seni sekadar hiasan budaya, maka industri ini akan kekal berjalan di tempat sama – kaya dengan bakat, tapi miskin dengan dasar.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Industri Muzik Malaysia Desak Sokongan Belanjawan 2026 dari Kerajaan