in , ,

Gurauan Tak Pernah Bangun Sahur, Reen Rahim Kesal Akaun Tiktok Hilang

Pelakon, Reen Rahim meluahkan bahawa dia bukanlah seorang isteri yang pemalas seperti mana yang didakwa sesetengah warganet.

Ia susulan tularnya video memaparkan dirinya menyanyi ketika menyediakan juadah sahur buat suami, Ahmad Nur Hazim.

Demi menjernihkan keadaan, Reen Rahim tampil menjelaskan perkara sebenar yang berlaku disebalik kecaman yang dilemparkan terhadapnya baru-baru ini.

Menurut Reen, dirinya ketika bujang merupakan seorang anak bongsu wanita yang sering dimanjakan ahli keluarga yang lain namun, dia merupakan seorang yang sangat berdikari.

Saya ni anak bongsu perempuan dalam keluarga. Ibu ayah saya, kakak serta abang sering manjakan diri saya (ketika bujang) namun, ketika di luar (berjauhan dengan keluarga) saya merupakan seorang wanita yang sangat elok, bekerja dan mampu berdikari.
Tetapi apabila di rumah, saya rasa kebanyakkan anak bongsu perempuan begitu di mana kadang-kadang, ibu saya akan datang bawa makanan dan suap ke mulut saya (ketika sahur). Jadi saya memang jarang bangun pagi pukul 4 pagi untuk sahur kerana ibu saya akan bawakan air botol dan kejutkan saya untuk bangun sahur dalam 15 minit sebelum subuh. Jadi saya dapat minum air, bangun solat dan sambung tidur.

– REEN RAHIM

Dalam pada itu, Reen mengakui bahawa lirik yang dinyanyikannya secara spontan di dalam videonya yang tular merupakan kekhilafan dirinya namun, dia berasakan komen ditinggalkan sesetengah netizen terhadap video tersebut sebagai keterlaluan.

Memang salah saya sebab saya nyanyikan lirik ‘tidak pernah bangun sahur’ tetapi mereka yang meninggalkan komen serta kecaman hingga tular tu, tak boleh fikir ke? Ingat saya ni anak apa?
Saya ada ibu ayah ya. Tak ingat ke ibu ayah saya ajar saya mengaji tu? Takkanlah mereka tak kejut saya sahur (ketika bujang). Kata saya tak pernah bangun sahur, saya boleh terima lagi tetapi masalahnya ada yang mendakwa saya tak pernah berpuasa.

– REEN RAHIM

Reen mendedahkan perkara itu ketika ditemui sewaktu tayangan perdana filem Sumpahan Malam Raya yang dibintanginya di GSC NU Sentral, pada malam Rabu.

Dalam pada itu, Reen mendedahkan bahawa dia berasa sangat teruja kerana mampu untuk bangun sahur selepas bergelar isteri demi menyediakan juadah sahur untuk suaminya meskipun begitu jarang bangun sahur ketika sebelum berkahwin.

Reen turut bersyukur kerana mendapat seorang suami yang begitu memahami kerjayanya sebagai seorang pelakon yang mempunyai jadual yang agak padat.

Alhamdulillah, saya begitu teruja menjadi seorang isteri namun bila saya bekerja saya akan berehat sehari dua kerana kepenatan. Tetapi apabila saya sudah mendapat rehat yang cukup, saya akan bertanyakan pada suami nak berbuka apa? Nak sahur apa?
Saya dan suami begitu bertolak ansur dan melengkapi diri masing-masing kerana kami sama-sama bekerja dalam industri yang sama. Jadi, suami saya tahu saya punya penat macam mana.
Apabila suami saya nampak saya penat, dia akan manja-manjakan saya, tolong kemas rumah dan masak dan begitulah sebaliknya, jika dia balik dalam keadaan penat, saya pula akan kemas dan masak.

– REEN RAHIM

Terdahulu, Reen Rahim meluahkan ketidakpuashatian selepas akaun TikToknya disekat oleh kerana timbulnya komen yang tidak menyenangkan terhadap videonya bernyanyi tidak pernah bangun sahur mula tular di media sosial.

Namun, pelakon tersebut enggan memanjangkan isu tersebut dengan mengambil keputusan untuk memaafkan semua pihak.

Untuk info, selain Reen Rahim, terdapat ramai lagi pelakon hebat yang membarisi filem Sumpahan Malam Raya arahan Prof. Madya. Dr. Razak Mohaideen seperi Atu Zero, Datuk Yusry, Nora Danish, Danial Zaini dan ramai lagi. Anda boleh saksikan filem bergenre komedi seram bertemakan raya ini bermula 22 April ini di 82 pawagam terpilih di seluruh negara.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Viral di TikTok Video Azwan Ali Jual Burger Tepi Jalan di Setia Alam

ELON MUSK

Elon Musk Pecat Sebanyak 80% Pekerja Twitter Untuk Jimatkan Kos