Bayangkan anda sedang sibuk merancang rumah terbuka Aidilfitri. Anda mahu tetamu berbilang bangsa dan agama berasa selesa dengan menu mesra halal, lengkap dengan juadah tradisional serta pilihan vegetarian. Dalam masa yang sama, anda nak dekorasi rumah simple tapi tetap meriah, siap dengan permainan klasik seperti congkak dan batu seremban untuk memeriahkan suasana. Dulu, nak dapatkan semua idea ini memerlukan banyak carian berasingan. Sekarang tidak lagi, kerana Google memperkenalkan AI Mode – pengalaman carian berkuasa AI yang kini sudah tiba di Malaysia.
Menurut pihak Google, AI Mode yang dibina atas teknologi Gemini 2.5 ini mampu menjawab soalan yang panjang, berlapis dan kompleks dengan lebih terperinci. Bukan sekadar memberikan jawapan umum, ia turut memecahkan soalan kepada subtopik kecil, lalu memberikan jawapan menyeluruh yang padat dan relevan.
Dibina Untuk Soalan Yang Paling Kompleks Dan Penuh Cabaran
Pengguna awal AI Mode di Amerika Syarikat telah membuktikan yang mereka bertanya soalan dua hingga tiga kali lebih panjang berbanding carian tradisional. Ini bermaksud, kalau dulu anda perlu buat beberapa kali carian untuk menyusun maklumat, sekarang anda hanya perlu satu pertanyaan sahaja.
Sebagai contoh, anda boleh tanya: “Saya akan menganjurkan rumah terbuka untuk kira-kira 30 tetamu daripada pelbagai latar belakang budaya dan agama. Bantu saya merancang menu mesra halal yang memenuhi pelbagai keperluan pemakanan sambil meraikan kepelbagaian rasa masakan Malaysia.”
AI Mode bukan sahaja akan mencadangkan menu, malah anda boleh terus tambah soalan susulan seperti: “Selain itu, cadangkan idea hiasan yang ringkas dan permainan klasik Malaysia yang mencipta suasana hangat dan mesra serta menggalakkan semua orang untuk turut serta dalam semangat kebersamaan.”
Inilah bezanya AI Mode — ia memahami konteks perbualan anda dan membina jawapan seterusnya berdasarkan soalan tambahan anda, seolah-olah anda berbual dengan seorang pakar yang mahir dalam pelbagai bidang.
Teknologi Di Sebalik AI Mode Yang Menjadikan Carian Lebih Pintar
Apa yang menjadikan AI Mode benar-benar unik ialah ia menggunakan teknik query fan-out, iaitu proses memecahkan soalan besar kepada beberapa soalan kecil. Dari situ, AI akan menelusuri pelbagai sumber web, menggabungkan jawapan dan memberikan hasil yang lebih terperinci serta tepat.
Lebih menarik, ia turut menggabungkan Knowledge Graph – pangkalan data pintar milik Google – dengan maklumat masa nyata termasuk data beli-belah untuk bilion produk di seluruh dunia. Jadi, kalau anda nak bandingkan telefon pintar terbaru, merancang itinerari perjalanan ke Jepun, atau mencari jawapan kepada persoalan teknikal seperti “bagaimana untuk set up home studio muzik dengan bajet rendah,” AI Mode mampu menyusun informasi terbaik untuk anda.
AI Mode Bersifat Multimodal: Gunakan Teks, Suara Atau Gambar
AI Mode tidak terhad kepada carian teks sahaja. Ia kini bersifat multimodal – anda boleh bertanya melalui suara atau gambar.
Contohnya, kalau anda dalam perjalanan dan mahu bertanya soalan panjang, anda hanya perlu tekan ikon mikrofon dan bercakap terus. Mudah untuk mereka yang sibuk bergerak.
Selain itu, keupayaan Google Lens kini lebih maju dalam AI Mode. Katakan anda menerima hadiah pokok hiasan, tetapi anda tak tahu cara menjaganya. Ambil gambar melalui aplikasi Google, tanya “Apakah tumbuhan ini dan bagaimana cara menjaganya?” – AI Mode akan kenal pasti tumbuhan tersebut, sertakan langkah penjagaan lengkap serta pautan artikel berkaitan. Kalau anda nak tahu lebih detail, boleh terus tambah soalan seperti: “Di mana lokasi terbaik untuk letakkan tumbuhan ini dalam rumah supaya cepat subur?”
Ini jelas membuktikan AI Mode mampu memberi pengalaman carian yang lebih intuitif, natural, dan mesra pengguna.
Membantu Pengguna Menemui Kandungan Web Terbaik Dan Paling Relevan
Google menegaskan bahawa misi utama mereka tetap sama: membantu orang ramai menemui kandungan terbaik di web. Dengan adanya AI Mode, pengguna kini boleh mengajukan soalan yang lebih bernuansa, bukan sekadar kata kunci ringkas. Ini membuka peluang kepada lebih banyak kandungan berkualiti untuk muncul, sekali gus memberikan manfaat kepada pencipta kandungan, penulis blog, dan juga jenama perniagaan yang mahu dilihat di enjin carian.
Namun, Google turut mengakui bahawa AI Mode masih berada di peringkat awal. Ada ketikanya jawapan mungkin kurang tepat, dan dalam situasi tersebut, pengguna tetap akan diberikan hasil carian web tradisional untuk memastikan maklumat yang diterima sahih dan boleh dipercayai.
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey, pelancaran AI Mode di Malaysia ini memang sesuatu yang mengujakan. Kalau dulu kita anggap Google hanya sebagai tempat menaip kata kunci ringkas, sekarang ia sudah menjadi “agen pintar” yang boleh membantu kita merancang, memahami dan meneliti pelbagai perkara dengan lebih menyeluruh.
Dalam konteks dunia digital hari ini, di mana masa adalah segalanya, keupayaan untuk mendapatkan jawapan tepat dalam satu pertanyaan sahaja memang memberi kelebihan besar. Bayangkan betapa mudahnya untuk blogger, penulis, pelajar, atau sesiapa sahaja yang perlukan maklumat terperinci dengan cepat.
Cuma, Budiey rasa penting untuk kita tidak bergantung sepenuhnya kepada AI. Kita masih perlu menilai, menyemak dan menggunakan akal budi kita sendiri ketika menapis maklumat. AI Mode hanyalah alat, tapi yang membezakannya ialah cara kita menggunakannya untuk manfaat sebenar.
Secara peribadi, Budiey yakin AI Mode akan mengubah cara orang Malaysia menggunakan internet. Dari sekadar carian maklumat asas, kini kita boleh dapatkan jawapan lebih manusiawi, lebih menyeluruh dan lebih bernilai.