in ,

Google Lakar Sejarah Dengan Protokol Pembayaran AP2 Bersama Lebih 60 Organisasi

Google Cloud Lancar Protokol AP2, Mencipta Piawaian Dunia Untuk Pembayaran Agen AI Yang Lebih Selamat, Inklusif Dan Bersepadu

Google Cloud baru sahaja melakar sejarah baharu apabila mengumumkan pelancaran Agent Payments Protocol (AP2), sebuah protokol terbuka yang direka untuk menjadikan transaksi pembayaran lebih selamat, telus dan universaldalam dunia di mana agen AI kini mampu berbelanja dan membuat keputusan kewangan bagi pihak manusia.

Menariknya, lebih 60 organisasi global sudah menyatakan sokongan mereka, termasuk gergasi Asia Tenggara seperti Airwallex, Fiuu, Garena, Lazada, Manus, Razer, Shopee, dan ZALORA, serta syarikat antarabangsa seperti American Express, Mastercard, PayPal, Adyen, Coinbase, UnionPay International, Worldpay, MetaMask dan banyak lagi.

AP2 bukan sekadar satu inisiatif baharu, sebaliknya ia merupakan langkah untuk membina asas standard global yang akan menentukan cara agen AI mengurus pembayaran dengan penuh keyakinan, tanpa risiko kekeliruan atau manipulasi.

Kenapa Dunia Perlu Protokol Baharu Seperti AP2?

Realiti semasa menunjukkan bahawa sistem pembayaran digital masih berasaskan kepada pengguna yang klik sendiri butang “buy”. Tetapi kemunculan agen AI yang mampu membuat keputusan dan melaksanakan transaksi tanpa campur tangan manusia sepenuhnya telah menimbulkan jurang keselamatan dan kepercayaan.

Persoalan kritikal pun mula timbul – bagaimana untuk pastikan agen tidak membuat pembayaran palsu, bagaimana pedagang boleh yakin arahan itu benar-benar datang daripada pengguna, dan siapa yang bertanggungjawab kalau berlaku penipuan? Inilah sebab utama AP2 dicipta.

Rao Surapaneni, Naib Presiden Google Cloud menjelaskan:
AP2 ialah protokol terbuka yang menyatukan bahasa transaksi antara agen AI dan pedagang. Ia menyokong pelbagai kaedah pembayaran termasuk kad kredit, stablecoins, dan pindahan bank masa nyata, sekali gus memberikan pengalaman konsisten, selamat dan berskala.

Partners contributing to the Agent Payments Protocol

Mandates: Kontrak Digital Yang Jadi Teras

AP2 berfungsi menggunakan konsep Mandates – kontrak digital yang ditandatangani secara kriptografi sebagai bukti arahan pengguna kepada agen AI.

Terdapat dua bentuk utama:

  • Pembelian masa nyata (human present): Contohnya bila kita minta agen carikan kasut larian putih. Selepas agen sediakan senarai, kita sahkan pilihan dengan Cart Mandate. Kontrak ini menjadi bukti kekal yang tidak boleh diubah.
  • Delegasi tugasan (human not present): Contohnya bila kita arahkan agen: “Beli tiket konsert sebaik sahaja jualan dibuka dengan harga maksimum RM500.” Arahan awal ini ditukar menjadi Intent Mandate, membolehkan agen bertindak sendiri tanpa kita perlu hadir.

Proses ini mewujudkan audit trail yang lengkap dan telus, memastikan tiada ruang untuk salah guna atau penipuan.

Reaksi Dari Pemain Besar Industri

Pelancaran AP2 disambut dengan penuh keyakinan oleh banyak pihak industri:

  • Jacob Dai, CTO Airwallex berkata: “AP2 memberi keyakinan kepada perniagaan dan pengguna untuk benar-benar mempercayai agen AI.”
  • Eng Sheng Guan, CEO Fiuu menambah: “Dengan AP2, kami dapat memperkukuh ekosistem pembayaran pelbagai saluran yang lebih inklusif.”
  • Pablo Fourez, CDO Mastercard menekankan: “Kami komited terhadap inovasi bertanggungjawab dan memastikan keselamatan kekal di tengah-tengah ekosistem pembayaran AI.”
  • David Chen, CPO Shopee pula percaya AP2 akan membuka lembaran baharu dalam e-dagang, menjadikan transaksi lebih pintar dan automatik.

Bagaimana AP2 Ubah Cara Kita Berbelanja

Beberapa contoh dunia nyata yang dikongsi Google menunjukkan potensi luar biasa AP2:

  • Smarter Shopping: Agen boleh pantau stok produk yang kita mahu, dan automatik membelinya apabila harga dan warna sesuai.
  • Personalized Offers: Agen boleh berbincang dengan pedagang untuk sediakan tawaran khas, contohnya basikal + helmet + rak dengan diskaun 15%.
  • Coordinated Tasks: Agen boleh tempah penerbangan dan hotel sekaligus mengikut bajet tertentu, tanpa kita perlu buat apa-apa.

Konsep “commerce without clicks” kini semakin nyata – pengguna hanya beri mandat, selebihnya agen yang uruskan.

Sokongan Web3 Dan Pembayaran Kripto

AP2 tidak hanya terhad kepada sistem pembayaran tradisional. Ia direka untuk menyokong stablecoins dan mata wang kripto. Dengan kerjasama Coinbase, Ethereum Foundation dan MetaMask, Google memperkenalkan A2A x402 extension – membolehkan agen AI melakukan transaksi kripto dengan lebih selamat dan fleksibel.

Marco De Rossi, AI Lead MetaMask berkata: “Blockchain adalah lapisan semula jadi untuk agen AI, dan dengan AP2, pengguna akan ada kawalan penuh ke atas dompet digital mereka.”

Potensi Besar Di Asia Tenggara

Asia Tenggara kini muncul sebagai kawasan paling sesuai untuk teknologi ini. Menurut Google Cloud, nilai gabungan e-dagang, pelancongan, penghantaran makanan, pengangkutan dan media digital di rantau ini telah mencecah USD263 bilion pada 2024. Sementara itu, transaksi pembayaran digital dijangka melonjak kepada lebih USD2.1 trilion menjelang 2030.

Mark Micallef, Pengarah Urusan Google Cloud Asia Tenggara berkata:
AP2 ialah asas kukuh untuk menggerakkan pertumbuhan ekonomi digital di rantau ini, dengan peluang besar dalam inovasi pembayaran AI dan kerjasama antara industri.

Apa Kata Budiey?

Budiey melihat pelancaran AP2 ini sebagai game changer dalam dunia pembayaran digital. Ia bukan sekadar teknologi, tetapi satu ekosistem baharu yang bakal menentukan cara kita membeli-belah, bertransaksi, dan mengurus kewangan.

Namun, Budiey juga ingin ingatkan bahawa setiap inovasi pasti datang dengan risiko. Isu privasi, salah tafsir arahan agen, dan potensi serangan siber perlu ditangani dengan serius. Walaupun protokol ini kelihatan mantap, kuasa sebenar tetap perlu berada di tangan pengguna.

Bagi Budiey, AP2 adalah peluang emas untuk menjadikan Asia Tenggara sebagai hab global e-dagang berasaskan AI. Jika semua pihak – Google, rakan industri, kerajaan dan pengguna – bekerjasama, AP2 boleh menjadi standard global untuk pembayaran AI yang lebih selamat, inklusif dan masa depan.

Budiey percaya, satu hari nanti kita mungkin tidak lagi perlu tekan “checkout” di Shopee atau Lazada – kerana agen AI yang setia akan melakukannya untuk kita, dengan syarat kawalan dan keselamatan tetap jadi keutamaan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Yeo’s Raikan Perpaduan Malaysia Dengan Meriah di Keretapi Sarong 2025