in , ,

Betul Ke Gavin Insomniacks Dah Keluar Kumpulan? Ini Biar Betul!

Awal bulan lalu kumpulan Insomniacks yang dianggotai empat anak muda Wan Arif Iskandar Adnan (Iskandar) selaku pemain bass; Syed Mir Iqbal Syed Adeli (Iqie) vokalis dan gitar utama; Ahmad Danial Ahmad Roslan (Danial) gitar ritma; dan Gavin Wong (Gavin) dram baharu melancarkan single Sempurna.

Namun, tiada angin tiada ribut, seorang daripada anggota kumpulan ini, Gavin mengambil keputusan untuk berehat panjang.

Mewakili kumpulan Insomniacks, Iskandar berkata mereka menerima keputusan itu dengan berlapang dada meski berat hati untuk ‘melepaskan’ Gavin.

Pun begitu, menurut Iskandar ketiadaan Gavin dalam Insomniacks tidak dapat dipastikan tempoh masa.

Gavin Insomniacks Keluar Kumpulan?
Gavin

“Dengan berat hati, kami ingin mengumumkan bahawa Gavin akan berehat panjang daripada kumpulan ini untuk tempoh masa yang tidak ditentukan atas sebab peribadi. 

“Ini bukanlah keputusan yang mudah untuk dibuat tetapi jangan risau, Gavin masih dan akan sentiasa menjadi keluarga kepada kami. Dengan itu, Gav tidak akan menjadi sebahagian daripada beberapa projek kami yang akan datang,” katanya.

Menurut Iskandar, dia berharap peminat juga dapat menerima keputusan dibuat dan akan terus menyokong semua projek Insomniacks pada masa akan datang termasuk apa saja dilakukan Gavin selepas ini.

“Kami berharap semua orang dapat memahami keputusan ini dan menghormati privasinya. Kami menyayangi Gavin dan kami berharap semua orang dapat menunjukkan kasih sayang kepadanya dalam komen dan menyokongnya dalam usaha masa depannya. #insomniacks4lyfe,” katanya.

Sepanjang lima tahun pembabitan Gavin bersama Insomniacks, mereka sudah melakar pelbagai pencapaian yang membanggakan.

Antaranya, album EP berjudul Kepala Batu yang dilacarkan pada tahun 2020 mendapat sambutan baik peminat termasuklah dua lagu dalam album berkenaan iaitu Pulang dan Reminisensi.

Menariknya, kedua lagu itu mendapat ‘air play’ yang tinggi selain lagu Pulang menjadi juara Carta RIM dan masih berada di Carta RIM selama 182 minggu. Insomniacks yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Universal Music Malaysia melancarkan dua lagu itu dalam versi rakaman semula.

Tidak hanya itu, sedutan video muzik lagu Sempurna yang dilancarkan di platform Instagram Reels mencatat jumlah tontonan luar biasa.

Gavin Insomniacks Keluar Kumpulan?

Malah, lagu Sempurna juga berjaya menduduki tangga pertama carta RIM selama 13 minggu dan masih berterusan. 

Tentu sahaja kejayaan yang dicapai oleh kumpulan Insomniacks ini adalah berkat kerja keras selain kualiti lagu yang dihasilkan mereka.

Istimewanya, Insomniacks yang kesemuanya adalah kawan baik membolehkan keserasian wujud dalam aliran muzik dalam berkarya cukup ‘hidup’.

“Kami selesa mencipta dan tulis lagu sendiri. Kami seronok dapat berkarya bersama. Apabila bersama Universal Music pula, mereka pun okay kalau lagu daripada kami. Sebab mereka tahu kami suka tulis lagu. Dalam masa sama, kami faham keperluan mereka untuk lagu-lagu yang lebih komersial. Jadi, tidak ada masalah mencuba, mana yang terbaik kami terima.

“Bagi semua karya yang pernah dihasilkan lirik adalah berdasarkan pengalaman sendiri dan kawan. Cuma, ada sedikit elemen fantasi supaya ia lebih menarik untuk disampaikan,” katanya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Rupanya Ini Cerita Sedih Keisya Levronka Dalam Single TAK INGIN USAI

SOUNDCIRCUS

Sure Gempak Ni! ‘Sound Circus Festival’ Kembali Temui Peminat!