in ,

Gambar Ella Buat Persembahan di Dewan Filharmonik PETRONAS

Satu persembahan yang cukup eksklusif, Ella begitu teruja menghiburkan peminat setianya di Dewan Filharmonik PETRONAS. Beliau masih terbaik dan terus mara sebagai Ratu Rock Malaysia yang tiada tandingan.

Sebuah sejarah tercipta dalam industri seni tanahair apabila Orkestra Filharmonik Malaysia (atau Malaysian Philharmonic Orchestra – MPO) berkolaborasi dengan legenda rock negara Ella pada Sabtu, 2 Disember 2017 dan Ahad, 3 Disember 2017 jam 8.30 malam di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), Kuala Lumpur City Centre.

Konsert ini akan terus menyaksikan keunggulan MPO yang melangkau pelbagai genre muzik; dari muzik klasikal barat ke runut bunyi filem, pop, jazz dan kontemporari. Ditubuhkan pada tahun 1998, MPO terus menyajikan persembahan bertaraf antarabangsa untuk pelbagai lapisan penonton di DFP. MPO juga telah melebarkan sayap ke negara-negara luar seperti Singapura, Taiwan, Korea, China, Jepun, Vietnam dan Australia.

Ella

Ella sendiri merupakan sebuah figura tersohor yang mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam industri muzik tanahair. Konsert ini bakal menjadi antara yang terpenting dalam lipatan sejarah kerjaya seni beliau, sekaligus menyertai senarai artis tempatan yang pernah berkolaborasi dengan MPO seperti Tan Sri SM Salim, Dato’ Sheila Majid, Dato’ Siti Nurhaliza, Dato’ M Nasir, Dato’ Jamal Abdillah, Datuk Ramli Ibrahim dan Zainal Abidin.

Ella memulakan langkah dalam industri muzik sebagai penyanyi untuk kugiran rock Ella & The Boys sebelum bergerak secara solo pada tahun 1989. Muzik dan persembahan beliau melangkau usia; beliau kekal sebagai penyanyi rock wanita yang bertahan paling lama di Malaysia. Salah sebuah kejayaan beliau ialah apabila terpilih menyanyikan lagu rasmi Sukan Commonwealth ke-16 di Kuala Lumpur bertajuk Standing in the Eyes of the World pada tahun 1998. Pada tahun 2001, Malaysia Book of Records menyenaraikan beliau sebagai artis pertama yang merakamkan album penuh di Amerika Syarikat dan artis pertama yang mencapai jualan album terbanyak, sebuah rekod pencapaian yang masih dipegang hingga ke hari ini.

2017 merupakan tahun istimewa untuk beliau apabila menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Anugerah Bintang Popular Berita Harian, ‘Most Recognised Brand in Leading Performance Artiste of the Year’ di ASEAN Outstanding Business Award, dan Anugerah Khas Planet Muzik.

Sepanjang penglibatan seni beliau, Ella telah melahirkan 12 album studio, 2 album video dan banyak album kompilasi, runut bunyi, remix dan ‘live’, dan telah membuat persembahan di Jepun, Indonesia, Singapura, Brunei, China, Hong Kong, Russia dan Amerika Syarikat.

Ella

Ini merupakan kali kedua Ella beraksi di pentas DFP selepas menjadi artis undangan dalam konsert MPO Rocks untuk DFP Seni Festival pada tahun 2013. Namun, ini merupakan konsert penuh beliau bersama MPO yang akan membawa penonton menyusuri perjalanan seni beliau, bertepatan dengan tema konsert A Rock Queen’s Journey.

Dengarkan interpretasi simfoni MPO untuk lagu-lagu malar segar seperti Pengemis Cinta, Pedih, Nuri, Rindu, Layar Impian, Bayangan, Kesal, Dua Insan Bercinta, Sembilu, Gemilang, Demi dan hit terbaru beliau, Ku Sedia.
Semua lagu digubah khas untuk konsert ini dan diberi nafas baru oleh penggubah-penggubah seperti Ahmad Muriz Che Rose, Jenny Chin, Luqman Aziz dan Leonard Yeap.

MPO yang dianggotai 90 pemuzik akan dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose yang memegang ijazah muzik dari Universiti Teknologi Mara, The Boston Conservatory dan Berklee College of Music. Beliau pernah membuat persembahan di pesta muzik kebudayaan di Indonesia, Singapura, Perancis and Amerika Syarikat. Di pentas DFP, beliau pernah memimpin konsert-konsert seperti Keroncong Merdeka pada tahun 2012 dan Aubrey Suwito & Friends with the MPO pada Mei lalu.

DFP boleh memuatkan seramai 920 penonton dalam satu masa dan mempunyai rekabentuk dan akustik yang mengkagumkan. Saksikan kolaborasi dinamik MPO bersama penyanyi legenda ini, hanya di DFP!

Ella
Ella
Ella
Ella
Ella
Ella

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ini Cara Untuk Naik Uber ke KLIA Secara PERCUMA

Tabung Dana Astro – Krishen Jit Anugerahkan 5 Geran Kepada Para Penggiat Seni Malaysia