Satu langkah besar telah diambil dalam dunia insurans dan penjagaan kesihatan apabila FWD Takaful Berhad (“FWD Takaful”) dan FWD Insurance Berhad (“FWD Insurance”) mengumumkan kerjasama strategik bersama Innoquest Pathology Malaysia (“Innoquest”). Matlamatnya jelas: membawa pemeriksaan kesihatan pencegahan lebih dekat dan lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia.
Kolaborasi ini dilihat bukan sekadar pengumuman biasa. Ia merupakan sebahagian daripada program FWD HealthyMe, yang direka untuk mengalihkan fokus masyarakat daripada rawatan reaktif kepada pencegahan proaktif. Dengan kata lain, daripada menunggu sakit datang baru mencari ubat, FWD mahu rakyat Malaysia mencegah lebih awal melalui saringan kesihatan berkala.
Data Mengejutkan: Ramai Rakyat Malaysia Masih Abaikan Saringan Awal
Meskipun kesedaran semakin meningkat, ramai rakyat Malaysia masih memandang ringan soal saringan kesihatan. Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023, 2 daripada 5 rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas tidak pernah menjalani sebarang pemeriksaan kesihatan pada tahun lalu, termasuk untuk diabetes, hipertensi, atau kolesterol tinggi.
Lebih mengejutkan, walaupun 85% rakyat berusia 40 hingga 60 tahun mengaku pernah menjalani pemeriksaan kesihatan, hanya 66% melakukannya setiap tahun. Angka ini jelas menunjukkan perlunya budaya penjagaan pencegahan yang lebih konsisten dan menyeluruh, khususnya dalam kalangan mereka yang berisiko tinggi.
FWD Berubah Dari Pembayar Kepada Rakan Kesihatan Sejati
Menyedari jurang ini, FWD tampil bukan sekadar sebagai penyedia perlindungan, tetapi rakan kesihatan yang proaktif.
“Kerjasama ini menandakan detik penting dalam perjalanan kami untuk menjadi rakan kesihatan sejati kepada pelanggan. Dengan mengintegrasikan pemeriksaan kesihatan ke dalam penawaran kami, kami memperkasakan rakyat Malaysia untuk mengambil alih tanggungjawab terhadap kesihatan mereka secara proaktif,” kata Aman Chowla, Ketua Pegawai Eksekutif FWD Takaful Berhad.
Nada sama turut disuarakan oleh Mak See Sen, Ketua Pegawai Eksekutif FWD Insurance Berhad, yang berkata:
“Di FWD Insurance, kami percaya pada pemudahan dan kebolehcapaian insurans dalam kehidupan seharian. Kerjasama dengan Innoquest membolehkan kami menunaikan janji tersebut dengan menawarkan penyelesaian yang melangkaui perlindungan kewangan untuk menyokong hasil kesihatan yang nyata dan bermakna.”
Innoquest: Teknologi Diagnostik Untuk Pengesanan Awal Yang Lebih Tepat
Sebagai penyedia diagnostik bebas terbesar di Malaysia, Innoquest membawa kepakaran dan teknologi canggih untuk tujuan pengesanan awal.
“Pengesanan awal menyelamatkan nyawa dan meningkatkan hasil kesihatan. Dengan diagnostik lanjutan, kita boleh mengesan risiko bertahun-tahun lebih awal—dan itu memberi impak besar kepada keluarga, majikan dan sistem penjagaan kesihatan,” ujar Adam Hathsey Bronson, Ketua Pegawai Eksekutif Innoquest Pathology Sdn Bhd.
Sementara itu, Dr Chris Ting, Naib Pengerusi Kumpulan Pathology Asia menambah:
“Kami di Pathology Asia menumpukan pada inovasi diagnostik generasi baharu. Dengan rangkaian serantau kami, teknologi ini dapat terus sampai ke tangan doktor, rakan kongsi dan pesakit. Kerjasama dengan FWD membuktikan bagaimana diagnostik lanjutan dapat memberi impak bermakna kepada komuniti di seluruh Asia.”
HealthIQ: Teknologi Baharu Untuk Ramal Risiko Penyakit Masa Depan
Pelancaran pertama kerjasama ini ialah HealthIQ – satu ujian saringan kesihatan pencegahan yang dibangunkan oleh Nightingale Health dan ditawarkan oleh Innoquest. Ia bukan sekadar ujian biasa, kerana HealthIQ mampu mengesan tanda awal risiko penyakit utama termasuk serangan jantung, strok, diabetes jenis 2 dan juga penyakit hati.
Lebih menarik, HealthIQ menggunakan data besar (big data) untuk meramalkan risiko penyakit sehingga 10 tahun akan datang. Berbanding pemeriksaan biasa yang hanya memberi keputusan semasa, HealthIQ membolehkan rakyat Malaysia merancang lebih awal dan bertindak sebelum terlambat.
“Ujian ini adalah langkah pertama. Kami mahu menjadikannya sebagai budaya, satu rutin yang diamalkan rakyat Malaysia. Dengan HealthIQ, anda bukan sahaja tahu keadaan kesihatan hari ini, tetapi juga risiko masa depan anda.” jelas wakil FWD dalam sesi temubual.
Beliau turut menambah:
“Kalau anda belum mencubanya, sila buat ujian ini. Malah hari ini, kami sediakan ujian percuma kepada media dan tetamu yang hadir.”
Mengapa Pilih HealthIQ Dan Bukan Ujian Lain?
Soalan yang sering ditanya ialah, kenapa FWD memilih HealthIQ dan bukan syarikat lain?
“Kami memang mempertimbangkan pelbagai jenis ujian, termasuk ujian genetik. Tetapi ujian metabolik seperti HealthIQ lebih sesuai dengan objektif kami. Tambahan pula, HealthIQ mempunyai rangkaian kukuh di Malaysia. Jadi, ia lebih mudah untuk menembusi pasaran dan menyebarkan kesedaran. Paling penting, ia selaras dengan misi kami untuk mengubah cara orang melihat takaful dan insurans di Malaysia,” kata wakil FWD lagi.
Bagaimana Kerjasama Ini Memberi Manfaat Kepada Orang Ramai
Kolaborasi FWD dan Innoquest bukan sekadar pelancaran produk baharu. Ia bakal memberi manfaat melalui pelbagai cara:
- Diserap ke dalam produk FWD – pelanggan akan menikmati tawaran kesihatan yang lebih holistik.
- Diteruskan melalui rangkaian pengedar – rakan kongsi dan agen akan mempromosikan ujian ini supaya sampai kepada lebih ramai rakyat.
- Disokong dengan inovasi berterusan – FWD akan terus bekerjasama dengan HealthIQ untuk menambah baik penawaran ini di masa depan.
Dan ya, berita baiknya, ujian ini sedang ditawarkan secara percuma kepada yang hadir dalam sesi pelancaran!
Harapan Besar: Membina Malaysia Yang Lebih Sihat
Akhirnya, FWD dan Innoquest berharap kerjasama ini dapat membina Malaysia yang lebih sihat, lebih proaktif dan lebih bersedia menghadapi risiko kesihatan.
“Harapan saya ialah lebih ramai pelanggan kami mendapat akses kepada ujian ini. Dengan cara itu, mesej tentang pentingnya kesedaran kesihatan akan tersebar lebih luas. Seperti yang saya katakan tadi, self-help is the best help — cara terbaik untuk jaga diri ialah dengan peka dan buat saringan,” ujar wakil FWD mengakhiri temubual.
Apa Kata Budiey?
Pada pandangan saya, kolaborasi ini bukan sekadar tentang insurans atau diagnostik, tetapi tentang budaya baharu dalam menjaga kesihatan. Rakyat Malaysia sudah lama terbiasa hanya berjumpa doktor bila sakit. Tetapi melalui usaha seperti ini, kita diberi peluang untuk melihat kesihatan sebagai pelaburan jangka panjang.
Saya nampak HealthIQ boleh jadi “game-changer” dalam cara kita merancang masa depan. Bayangkan kalau kita tahu risiko penyakit 10 tahun lebih awal – kita boleh ubah gaya hidup, ubah pemakanan, malah ambil langkah pencegahan sebelum penyakit itu betul-betul muncul. Itu bukan sahaja menyelamatkan nyawa, tapi juga mengurangkan kos rawatan untuk diri sendiri dan sistem kesihatan negara.
Bagi saya, inisiatif ini patut disambut baik, dan mungkin ini titik permulaan kepada budaya pemeriksaan kesihatan proaktif di Malaysia.