in ,

Berita Baik! Filem UPIN IPIN JENG, JENG, JENG! Dihidupkan Kembali

Penerbit filem Upin Ipin Jeng, Jeng, Jeng! terpaksa menanggung kerugian besar apabila naskhah berkenaan yang telah siap dihasilkan tiga tahun lalu terpaksa menjalani penggambaran semula.

Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi berkata, tindakan itu terpaksa diambil kerana dia tidak berpuas hati dengan hasil akhir karya berkenaan yang mempunyai banyak kelemahan daripada pelbagai aspek termasuk pengarahan, persembahan pelakon dan masalah teknikal.

“Filem ini sebenarnya telah siap pada 2013 tetapi kami terpaksa buang semua dan mula menghasilkannya daripada awal kerana terlalu banyak kelemahan yang tidak menepati piawaian.
“Selain masalah teknikal kami mengambil keputusan itu kerana kelemahan pengarah yang gagal mengikut skrip ditetapkan selain pelakon yang tidak sesuai.
“Sudah tentu pihak kami mengalami kerugian besar daripada tindakan itu tetapi tidak mengapa kerana Les’ Copaque Production berazam ingin memberikan terbaik kepada penonton memandangkan Upin Ipin adalah jenama besar dan tidak boleh ada sebarang kesilapan,”

– Burhanuddin Md Radzi

Burhanuddin berkata demikian ketika sidang media pelancaran filem berkenaan di Aloft Kuala Lumpur di sini, Rabu.

UPIN IPIN JENG, JENG, JENG!

Pelakon cilik berbakat besar, Puteri Balqis memegang peranan utama.

Bagaimanapun Burhanuddin enggan mendedahkan jumlah kerugian termasuk pengarah dan pelakon yang terlibat ketika penggmbaran pertama filem itu.

Bagi versi terbaharu Upin Ipin Jeng, Jeng, Jeng!, ia menampilkan Asyiela Putri, pemilik suara asal watak utama Upin & Ipin, Puteri Balqis, Awie, Sara Ali, Gambit serta Remy Ishak.

Filem yang menelan kos penerbitan mencecah RM4 juta itu mendapat pembiayaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bawah Dana Kesan Khas (CGI).

Dalam pada itu, Burhanuddin berkata, untuk filem Upin Ipin Jeng, Jeng, Jeng ini pihaknya memilih Erma Fatima sebagai pengarah selain mengekalkan Pengarah Kandungan Kreatif Les Copaque Production, Ainon Ariff bagi mengarahkan bahagian animasi naskhah tersebut.

Jelasnya, meskipun Erma kali pertama terlibat dalam pengarahan filem yang menggabungkan teknik animasi 3 Dimensi (3D) dan lakonan hidup namun pihaknya berpuas hati dengan kerja dilakukan oleh wanita itu.

Watak Upin Ipin menjadi fenomena dan menjadi kegilaan kanak-kanak.

Tambah Burhanuddin, penggambaran kedua filem itu berlangsung pada Oktober 2014 dan hanya mengekalkan Asyiela Putri, pemilik suara asal watak utama Upin & Ipin, Puteri Balqis dan Awie.

Sementara itu, Burhanuddin berkata, Upin Ipin Jeng, Jeng, Jeng! merupakan filem animasi Malaysia pertama yang menggabungkan teknik animasi 3D dan lakonan hidup.

Ia turut mendapat kerjasama daripada Primeworks Distribution selaku pengedar rasmi filem ini selain sokongan penuh daripada Pengarah Kandungan Kreatif dan Teknologi (MDEC), yang sentiasa menginginkan animasi sebagai penanda aras baru dalam landskap teknologi.

Peminat-peminat Upin Ipin bakal menyaksikan buat pertama kalinya watak kembar kesayangan mereka muncul secara nyata dan berinteraksi dengan karakter manusia,” katanya.

Upin Ipin Jeng, Jeng, Jeng! yang diterbitkan secara usahasama antara Les Copaque Productions dan KRU Studios ini bakal ditayangkan di seluruh Malaysia dan Indonesia pada November 2016 nanti.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Video Muzik SUBHANALLAH Raqib Featuring Waris Trending di Youtube Malaysia

Soo Wincci Bakal Dapat Ijazah Doktor Falsafah PhD