Filem Magik Rompak, karya terbaru arahan Adrian Teh, benar-benar membuktikan kekuatan naskhah tempatan untuk bersaing dengan produksi antarabangsa. Hanya melalui tayangan awal dari 5 hingga 7 September 2025 di pawagam terpilih, filem aksi penuh ilusi ini sudahpun menerima sambutan luar biasa. Rata-rata penonton yang hadir memberikan maklum balas positif, menyifatkannya sebagai sebuah filem yang segar, moden dan mendebarkan. Ada yang mengatakan, Magik Rompak seolah-olah membawa nafas baharu kepada industri filem tempatan dengan gabungan aksi jenayah dan elemen fantasi ilusi yang jarang sekali ditampilkan dengan begitu rapi di layar perak.
Malam Gala di IOI City Mall Bukti Kemegahan Industri Filem
Kejayaan awal Magik Rompak diraikan dalam sebuah Majlis Malam Gala dan Sidang Media di IOI City Mall, Putrajaya. Malam penuh prestij itu berlangsung dengan cukup meriah dan mendapat perhatian media serta peminat seni. Kehadiran tetamu kenamaan turut menambahkan seri, antaranya YB Teo Nie Ching (Timbalan Menteri Komunikasi Malaysia), Dato’ Azmir Saifuddin bin Mutalib (Ketua Pegawai Eksekutif FINAS), Dato’ Gerald Hans Isaac (Pengerusi FINAS) dan Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan.
Malam itu juga menyaksikan barisan penerbit eksekutif filem tampil memberikan sokongan penuh. Antara yang hadir ialah Mr Tee Yee Peng, Yang Mulia Raja Jastina Raja Arshad (Ketua Astro Shaw & Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara Astro), Ms Koh Mei Lee (Ketua Pegawai Eksekutif Golden Screen Cinemas), Mr Adrian Tehsendiri (Ketua Pegawai Eksekutif Act 2 Pictures & Pengarah Magik Rompak), serta Mdm May Woo (Penerbit Bersekutu Magik Rompak).
Lebih menarik, malam tersebut turut diserikan dengan kemunculan barisan pelakon utama seperti Zul Ariffin, Sharnaaz Ahmad, Amelia Henderson, Nadhir Nasar, Yasmin Hani, Miller Khan, Fabian Loo, Elvina Mohamad, Tay Ping-Hui, Anas Ridzuan dan ramai lagi wajah popular. Kehadiran mereka bukan sahaja memeriahkan suasana, malah menambahkan aura glamor seiring dengan kehebatan filem ini.
Adrian Teh Buktikan Sentuhan Versatil Sebagai Pengarah Berwibawa
Nama Adrian Teh bukanlah asing dalam dunia perfileman tempatan. Beliau sebelum ini mencipta fenomena menerusi filem PASKAL: The Movie (2018), Wira (2019), dan MALBATT: Misi Bakara (2023). Dengan reputasi tersebut, Magik Rompak menjadi bukti bahawa Adrian Teh masih punya formula untuk mengangkat cerita Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
Menurut Adrian, “Saya mahu mencabar diri dengan sesuatu yang berbeza. Magik Rompak bukan sekadar filem rompakan, ia adalah gabungan aksi dengan dunia ilusi yang menuntut kreativiti luar biasa.” Gabungan genre ini menjadikan Magik Rompak sebuah pengalaman sinematik yang segar dan membuka ruang baru untuk penceritaan filem tempatan.
Strategi Promosi Kreatif Curi Tumpuan Penonton
Kejayaan Magik Rompak bukan hanya bergantung pada isi filem, tetapi turut didorong oleh strategi pemasaran yang kreatif. Kempen interaktif Ganjaran Gempak, hasil kerjasama dengan Touch ’n Go eWallet, benar-benar mencuri perhatian penonton. Dengan hanya mengimbas kod QR di pawagam terpilih, penonton berpeluang memenangi wang segera. Idea ini dipuji ramai kerana memberi pengalaman unik kepada penonton dan pada masa sama meningkatkan keterujaan untuk menonton filem.
Selain itu, GSC turut bekerjasama dengan Touch ’n Go eWallet menawarkan diskaun RM5 untuk setiap pembelian dua tiket 2D. Promosi tambahan turut memperhebatkan keterujaan, termasuk Kad Eksklusif Touch ’n Go Magik Rompak, koleksi tumbler tukar warna dan koleksi kad eksklusif yang hanya boleh didapati di pawagam GSC terpilih.
Tawaran Eksklusif Bersama GSC Tambah Nilai Hiburan
Bagi memanjangkan pengalaman penonton, GSC memperkenalkan kempen “Tonton, Makan & Menang Magik Rompak” yang menawarkan pelbagai hadiah lumayan. Tetapi yang paling istimewa ialah peluang eksklusif untuk makan malam bersama pengarah dan barisan pelakon utama. Caranya mudah — penonton hanya perlu membeli tiket Screen X 2D di Aurum Theatre, The Exchange TRX. Tawaran sebegini bukan sahaja mencipta pengalaman peribadi yang eksklusif, tetapi turut mengukuhkan hubungan antara peminat dengan dunia perfileman.
Sokongan Padu Dari Pelbagai Pihak
Magik Rompak dipersembahkan oleh ACT 2 Pictures Sdn Bhd, Golden Screen Cinemas Sdn Bhd, Astro Shaw Sdn Bhd, Clover Films Pte Ltd dan Overseas Union Garden Sdn Bhd dengan sokongan Kementerian Komunikasi, FINAS, SFO Studios Film Office dan Singapore Film Commission. Edaran pula diuruskan oleh GSC Moviesmanakala Touch ’n Go tampil sebagai rakan strategik rasmi kempen promosi. Sokongan menyeluruh ini membuktikan bahawa filem ini adalah satu usaha besar yang melibatkan banyak pihak dengan misi sama: mengangkat filem tempatan ke persada dunia.
Tarikh Tayangan Rasmi Di Pawagam Seluruh Negara
Selepas kejayaan tayangan awal, kini tiba giliran untuk semua penonton tempatan menyaksikan sendiri kehebatan Magik Rompak. Filem ini akan ditayangkan secara rasmi di pawagam seluruh negara mulai 11 September 2025, bertepatan dengan musim cuti sekolah dan sambutan Hari Malaysia. Dengan kombinasi hiburan aksi, elemen magis serta nilai komersial yang tinggi, Magik Rompak diyakini mampu menjadi pilihan utama tontonan keluarga.
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey, Magik Rompak ialah bukti bahawa filem tempatan masih mampu memberikan kejutan besar jika digarap dengan visi yang jelas, cerita yang berbeza dan promosi yang kreatif. Filem ini bukan sahaja berani melangkaui zon selesa dengan mempersembahkan elemen aksi serta ilusi, tetapi juga berjaya membina hype melalui strategi pemasaran yang cerdik.
Apa yang lebih penting, Magik Rompak membuka jalan kepada lebih banyak karya tempatan untuk berinovasi dan tidak takut mencuba sesuatu yang baru. Dengan sokongan penonton dan pemain industri, Budiey percaya masa depan filem Malaysia akan terus bercahaya, malah mungkin menjadi kuasa besar dalam genre aksi dan fantasi di rantau Asia.