in

Filem KL Zombie Selesai Sudah Sesi Penggambaran

KL Zombie Selesai Sudah Sesi Penggambaran!

Satu sidang media telah diadakan sejurus selepas akhirnya sesi penggambaran KL Zombie yang mengambil masa selama lebih kurang sebulan di sekitar lembah Klang. Kini, KL Zombie sudah bersedia dan bakal menggegarkan penonton tidak lama lagi. Turut hadir di sidang media adalah barisan pelakon – pelakon hebat seperti Zizan, Siti Saleha, Zain Ruffedge dan Faezah Elai.

Pada mulanya, KL Zombie merupakan sebuah filem yang berdasarkan synopsis yang diambil dari novel Zombijaya yang ditulis oleh Adib Zaini. Beliau mendapat ilham menulis novel pertamanya ini, menerusi sebuah siri televisyen seram iaitu The Walking Dead, yang juga jalan penceritaanya diambil berdasarkan siri – siri buku komik The Walking Dead.

Cerita ini berjaya menarik perhatian Wong Ming Jin, atau lebih dikenali sebagai MJ, yang merupakan pengarah KL Zombie. Filem zombie ini yang penuh dengan penggabungan aksi – aksi hebat adalah di antara salah satu hajat MJ dalam pembikinan filemnya kerana ianya dapat menerapkan unsur fantasi eskapisme di kalangan para penonton.

Selaku pencetus elemen kreatif dalam filem produksi serta berperanan penting dalam menghubungkan kumpulan produksi, teknikal dan kreatif, MJ menegaskan bahawa perjalanan dari skrip ke skrin mengambil masa yang panjang. Bukan itu sahaja, malahan seluruh pasukan haruslah berupaya mewujudkan dan memperbaiki idea – idea dalam mengolah dan menghidupkan watak – watak yang terdapat dalam filem ini yang juga menjadi asas dalam pembikinan sebuah filem yang baik.

Tambahan, MJ juga ada menyatakan sebab – sebab pemilihan pelakon berdasarkan watak – watak yang dicadangkan seperti Zizan, yang dikatakan dilahirkan sebagai seorang pelawak asli dan Siti Saleha pula sebagai seorang yang pandai membawa diri, kuat tetapi mudah terpengaruh, yang mana cukup sesuai untuk watak yang dipegangnya dalam filem ini.

Sidang media berjalan dengan lancar dan kehadiran para pelakon yang cukup hebat terutamanya Zizan, berjaya mencuit hati para media dengan perbualan – perbualan lucu dan lawak jenaka beliau. Dalam satu temubual eksklusif bersama Zizan, beliau menyatakan bahawa ini merupakan filem pertama beliau bersama Grand Brilliance dan ia benar-benar satu pengalaman yang baik serta berpendapat bahawah pengarah dan seluruh pasukan telah menjalankan satu tugas yang cukup bagus dalam usaha menjayakan filem ini.

Selain itu, jelitawan Siti Saleha yang pernah bekerja bersama MJ dalam pembikinan iklan – iklan televisyen mengatakan, MJ akan berunding dengan semua pihak bagi memastikan penghasilan filem yang terbaik.

Beliau juga merupakan seorang pengarah yang cukup teliti dan keupayaan bekerja dengan pasukan filem ini adalah amat memberangsangkan. Tambahan lagi, para pelakon tidak putus memberikan pujian kepada pengarah kerana berjaya mengadaptasikan segala karya novel kepada lakonan layar.

Trailer KL Zombie dijangkakan akan siap dalam masa beberapa minggu bagi membolehkan para penonton mendapatkan gambaran tentang filem ini. Selain itu, para penonton juga bole berhubung secara menerus dengan filem KL Zombie melalui laman Facebook KL Zombie di www.facebook/klzombie.

Secara keseluruhannya, seluruh pasukan KL Zombie berharap agar filem ini yang bakal menggegarkan pawagam pada 2013 berjaya menarik serta mencuit hati para penonton.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

29 Februari Filem Stereoscopic 3D Pertama Malaysia

Natasha Hudson Nikah Dengan Carleed Khaza