in ,

Filem KIL Bertanding di Festival Filem Asia Osaka 2014

Filem KIL, sebuah ko-produksi Grand Brilliance dan Flux Visual Lab yang dipersembahkan oleh Primeworks Studios, telah bertanding di Festival Filem Asia Osaka semalam. Filem tersebut telah mengambil bahagian dalam pertandingan utama festival filem itu untuk memenangi anugerah ‘Grand Prix’. KIL juga telah bertanding untuk Anugerah ABC, sebuah seksyen pertandingan di festival tersebut yang ditaja oleh Asahi Broadcasting Corporation (ABC).

Filem cereka tahun 2013 ini bersaing bersama 10 filem hebat dari seluruh rantau Asia untuk memenangi hadiah ‘Grand Prix’ berupa wang tunai sejumlah JPY 500,000. KIL merupakan satu-satunya filem Malaysia yang dipilih untuk bertanding dalam pertandingan ini.

KIL Still1

[pullquote align=”right”]Hadiah ‘Grand Prix’ akhirnya dimenangi oleh filem Shift sebuah cereka dari negara Filipina oleh pengarah Siege Ledesma. Anugerah ABC pula dimenangi oleh filem Taiwan Forever Love, dengan Kitamura Toyoharu dan Shiao Li-shiou selaku pengarah.[/pullquote]

Festival Filem Asia Osaka, anjuran Osaka Executive Committee for the Promotion of Moving Image Culture, telah berlangsung dari 7 hingga 16 Mac 2014. Filem KIL ditayangkan di festival tersebut, pada 8, 12, dan 14 Mac. Tayangan pada 14 Mac itu diserikan lagi dengan kehadiran pengarah Nik Amir Mustapha untuk sesi soal jawab bersama ahli-ahli media.

KIL menceritakan tentang seorang pemuda murung yang mengupah sebuah organisasi misteri untuk menolongya bunuh diri, dan merupakan filem pertama arahan Nik Amir Mustapha.

“Kami ingin menghasilkan sesuatu yang baru untuk rakyat Malaysia, sesuatu yang tidak begitu stereotipikal tetapi masih mengandungi nilai komersial. Kami ingin mengetengahkan sebuah isu negatif dalam cara yang positif, dan eksplorasi kami dalam memahami percanggahan idea ini akhirnya membawa kepada penghasilan KIL.” – Nik Amir

KIL telah menerima tayangan perdananya di Marche du Film, Cannes pada bulan Mei 2013, sebelum ditayangkan di pawagam-pawagam Malaysia pada bulan yang sama. Sejak itu, filem itu telah dijemput untuk menyertai beberapa festival filem antarabangsa, seperti di Laos dan Bangladesh. Penyertaan-penyertaan akan datang termasuk di Festival Filem Asia Tenggara 2014, Singapura pada bulan April dan Fantaspoa 2014, Brazil pada bulan Mei.

Filem KIL juga berjaya menambat hati penggiat-penggiat industri filem tempatan apabila dianugerahkan Filem Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pengarah Terbaik, dan Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Skrin 2013 pada bulan November yang lalu.

“Kami amat berbesar hati atas jemputan-jemputan yang diterima filem KIL untuk menjelajahi dunia dalam menyampaikan ceritanya. Kami terutamanya berbangga dengan penyertaan KIL di Festival Filem Asia Osaka kerana ini merupakan pertama kali filem tersebut dipilih untuk menyertai pertandingan. Kami amat tertarik dengan proposisi unik filem ini: filem positif tentang isu bunuh diri. Selaras dengan tradisi Grand Brilliance memupuk bakat-bakat muda dalam industri ini, kami amat teruja menjalinkan kolaborasi dengan pengarah kali pertama Nik Amir Mustapha dan filem ini telah memberikan kami inspirasi untuk bekerja dengan lebih ramai karyawan muda yang mempunyai cerita-cerita menarik untuk disampaikan.” ujar Tengku Iesta Tengku Alaudin, Pengurus Besar Grand Brilliance.

KIL mengisahkan tentang seorang pemuda murung yang tekad untuk mengakhiri kehidupannya yang dirasakan tiada makna. Akil mengambil keputusan untuk mendapatkan pertolongan dari sebuah organisasi khas yang menolong orang sepertinya untuk membunuh diri.

Namun, pertemuannya dengan seorang gadis mempersona membuatkan matanya terbuka kembali untuk melihat betapa indahnya hidup sebenarnya. Bolehkah dia melarikan diri dari pembunuh yang diupahnya sendiri sebelum terlambat?

KIL Poster

Mengenai Grand Brilliance & Primeworks Studios Sdn Bhd

Grand Brilliance merupakan unit pengeluaran filem di bawah Primeworks Studios yang mengeluarkan kira-kira 10 filem setahun dalam pelbagai genre. Antara filem yang telah menerima pengiktirafan antarabangsa di festival filem seluruh dunia termasuk filem Cinta, Songlap, Istanbul Aku Datang dan karya-karya Allahyarhamah Yasmin Ahmad, Mukhsin dan Talentime. Primeworks Studios merupakan anak syarikat Media Prima Berhad yang merupakan syarikat penerbitan terbesar di Malaysia. Terlibat dalam penghasilan program TV sejak tahun 1984 dan filem sejak tahun 1994, Primeworks menerbitkan lebih 5,000 jam kandungan TV setahun. Selain penerbitan program televisyen dan kandungan lain, Primeworks Studios turut terlibat dalam pengedaran dan pemasaran kandungan. Primeworks Studios penyumbang terbesar kandungan kepada empat saluran televisyen komersil dalam kumpulan Media Prima, iaitu TV3, NTV7, 8TV dan TV9 – merangkumi kandungan pelbagai genre seperti program hiburan, majalah, dokumentari, drama dan sukan. Rancangan yang popular merangkumi Anugerah Juara Lagu, Majalah 3, Nona, Welcome to the Rail World, Best in the World, Hip-Hoppin’ Asia, Jalan Jalan Cari Makan, Mentor, Melodi dan Jejak Rasul.


What do you think?

73 Points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

awie

Zombi Kilang Biskut Ditayangkan Di 88 Pawagam

Sekitar Pembikinan Muzik Video Terbaru Dior BURUANMU