in , ,

Filem KAN CHEONG Angkat Kisah Kesihatan Mental Ke Layar Perak

Mengisahkan bagaimana seorang gadis yang naif, lemah-lembut dan penakut harus berjuang menyelamatkan diri dari kemunculan dua lelaki asing yang terperangkap di dalam rumahnya.

Majlis Tayangan Media filem Kan Cheong telah berlangsung dihadiri oleh Penerbit, Pengarah dan para pelakon selain turut dihadiri rakan media dan rakan-rakan artis. Kan Cheong yang dibarisi pelakon terkenal Nora Danish sebagai tunggak utama dibantu oleh pelakon berbakat Jay Iswazir dan Niezam Zaidi serta Shima Anuar akan menjengah Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 mulai 11 OGOS 2022 ini.

Kan Cheong, sebuah karya yang mengangkat isu besar yang semakin berleluasa bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Hampir setiap hari kita akan mendengar atau membaca berita mengenai masalah kesihatan mental yang bukan sahaja merosakkan harta benda malah hingga meragut nyawa. Melalui Kan Cheong kita akan melihat betapa dekat dan bahayanya masalah ini sekiranya ia tidak mendapat perhatian sewajarnya di kalangan masyarakat.

Filem ‘Kan Cheong’ Angkat Kisah Kesihatan Mental

Thinkerbell Studios merupakan sebuah syarikat penerbitan yang ditubuhkan pada tahun 2019 yang sebelum ini banyak mengendali produksi dan menghasilkan skrip untuk filem, drama bersiri, telemovie, program-program TV dan sebagainya. Pada tahun 2022, Thinkerbell Studios mengorak langkah berani dengan menerbitkan buah tangan sulung ini dengan harapan menambah kerancakan dunia penerbitan tempatan selain membuka ruang kepada generasi baru membuktikan kemampuan. Menerusi Kan Cheong Thinkerbell Studios telah memberi kepercayaan kepada pengarah baru iaitu Noor Azlan Shah yang sebelum ini telah banyak bertindak sebagai Penolong Pengarah.  

Filem bergenre thriller drama ini telah menjalani penggambaran selama 10 hari pada awal 2022 di tengah negara masih sedang bergelut dengan pandemik Covid-19. Segala cabaran yang dihadapi pasukan produksi yang berkampung di sekitar Kajang akhirnya telah berjaya menghasilkan Kan Cheong ini yang bakal menemui penonton 11 Ogos ini. Pihak Penerbit menaruh harapan yang besar agar ia mendapat perhatian dan sambutan di kalangan penonton. 

Penerbit filem Kan Cheong, Azahari Hamid berkata, “Thinkerbell Studios mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan pelakon serta krew yang terlibat serta semua pihak yang menyokong kami dari mula ditubuhkan. Tidak dilupakan kepada seluruh rakan media dan rakan industri.”

Kan Cheong buah tangan sulung Thinkerbell Studios akan ditayangkan pawagam rumah anda, Astro First melalui saluran 480 dan On Demand mulai 11 OGOS 2022 ini.

LOGLINE

Mengisahkan bagaimana seorang gadis yang naif, lemah-lembut dan penakut harus berjuang menyelamatkan diri dari kemunculan dua lelaki asing yang terperangkap di dalam rumahnya.

SINOPSIS

AYU yang tinggal sendirian mendengar berita tentang empat orang pesakit mental yang lari dari hospital. Dia ketakutan. Tidak lama kemudian, seorang lelaki bernama AMAN muncul di luar pintu. Dia datang untuk menghantar barang  yang ditempah NURUL. Ayu memberitahu bahawa tiada Nurul di situ dan Aman mungkin tersalah rumah. Ayu meminta Aman segera pergi namun kerana hujan lebat, Aman meminta tumpang berteduh.

Ayu tidak tenang kerana Aman kerap mengganggunya dengan mengetuk tingkap dapur untuk meminta makanan dan merayu supaya diizinkan masuk kerana sejuk berada di luar. Apabila petir tiba-tiba berdentum kuat dan rumah blackout, Ayu hilang kawalan kerana terlalu takut lalu berlari keluar. Dia terhenti apabila melihat Aman berdiri tepat di depan pintu rumah. Aman memintanya bertenang dan membantu Ayu membuka semula suis utama yang terpadam disebabkan petir tadi. Ayu berterima kasih.

Begitupun, melihatkan sikap Aman tidak stabil itu menyebabkan Ayu syak dia salah seorang pesakit mental yang terlepas lari. Ayu kembali ketakutan. Apabila Aman memegang pisau atas alasan membantunya memasak, ketakutan Ayu memuncak dan dia cuba lari, namun apabila dia membuka pintu rumah, Saiful pula muncul di situ.

Saiful ingin meminjam telefon kerana keretanya rosak dan handphonenya pula mati. Ayu terpaksa mengizinkan. Namun, mereka terkejut apabila mendapati wayar telefon telah dipotong dan kucing keluarga Ayu telah dibunuh! Mereka saling tuduh-menuduh sehinggalah Saiful dan Aman bergelut. Aman berjaya menyebabkan Saiful pengsan. Ayu pula segera lari bersembunyi.

Siapakah Saiful dan mampukah Ayu menyelamatkan diri? Kan Cheong akan menemui penonton bermula 11 Ogos 2022 di Pawagam Rumah Anda, ASTRO FIRST melalui saluran 480 atau On Demand.

WATAK PERWATAKAN

NORA DANISH sebagai AYU

Naif, lemah-lembut, manja dan penakut. Bertemankan sebatang besi, dia cuba mempertahankan diri dari dua orang lelaki asing yang berada di dalam ‘rumahnya’.

JAY ISWAZIR sebagai AMAN

Seorang ahli perniagaan yang jatuh bankrap, ditinggalkan isteri dan baru memulakan perniagaan baru secara kecil-kecilan. Masih lagi dibelengu oleh kejatuhan yang dia alami dalam hidup.

NIEZAM ZAIDI

Seorang ahli perniagaan dan seorang lelaki yang penyayang. Dia berusaha menjejaki tunangnya kerana gagal menghubunginya seharian.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsert Amal Rhythm Of Legends Bantu Golongan Yang Memerlukan

Samsung Launches One UI 5 Open Beta Program for Galaxy S22 Series