Filem Jagat, sebuah karya penting dalam sejarah sinema Malaysia, kembali ke layar perak selepas 10 tahun dengan tayangan khas di 26 pawagam terpilih di Semenanjung Malaysia bermula 3 Oktober 2025. Tayangan semula ini bukan sekadar mengimbau memori filem yang pernah mencetuskan fenomena, tetapi juga menjadi permulaan kepada Jagat Multiverse yang akan diteruskan dengan dua filem susulan berjudul Macai (tayangan pada 13 November 2025) dan Blues (tayangan pada 4 Disember 2025).
Pengarahnya, Sun-J Perumal, meluahkan rasa syukur dan keterujaan kerana karyanya kembali mendapat tempat di pawagam selepas sedekad. Menurutnya, kekuatan Jagat terletak pada kisahnya yang jujur dan sentiasa relevan.
“Jagat menceritakan kisah sebenar rakyat Malaysia, tentang cabaran, impian dan ketabahan watak-wataknya. Bagi saya, kisah ini wajar terus dipaparkan di layar besar. Saya yakin penonton lama dan baharu akan menghayati semula watak-watak ini sambil kami membuka babak baharu Jagat Multiverse,”
– Sun-J Perumal
Ramalan Sun-J Terbukti Tepat Selepas 10 Tahun
Ketika filem ini ditayangkan buat kali pertama pada tahun 2015, Sun-J pernah berkata bahawa Jagat mendahului zamannya dan hanya akan benar-benar difahami selepas 10 tahun. Kini, kenyataan itu terbukti apabila karya yang pernah menerima pujian pengkritik ini kembali diraikan. Jagat bukan sahaja mendapat sambutan di dalam negara tetapi turut menerima jemputan dari luar negara untuk ditayangkan di festival filem antarabangsa serta dijadikan bahan perkongsian ilmu.
“Saya hanyalah seorang pencerita. Saya menulis tentang nadi masyarakat dan saya percaya penonton cukup matang untuk memahami mesej yang ingin disampaikan,”
– Sun-J Perumal
Identiti Nusantara Sebagai Nadi Jagat
Sun-J juga menjelaskan bahawa visi kreatif di sebalik Jagat dan kesinambungannya adalah untuk mengetengahkan karya beridentiti Nusantara. Dari pemilihan tajuk hingga ke muzik latar, segala aspek produksi memberi penekanan kepada budaya tempatan dan gaya hidup masyarakat Malaysia.
“Kami mahu bercerita tentang orang Malaysia. Dalam muzik latarnya, kami sengaja memilih untuk tidak menampilkan elemen filem India. Sebaliknya, kami bereksperimen dengan gamelan sebagai muzik latar, dan keputusan ini diterima baik oleh industri,”
– Sun-J Perumal
Beliau turut menegaskan bahawa Jagat dan sekuel selepasnya tidak tunduk pada formula komersial semata-mata, sebaliknya mengekalkan cerita yang jujur dan ‘mentah’. Inilah yang menjadikan Jagat unik — sebuah karya yang menampilkan kebenaran tanpa solekan berlebihan.
Era 90-an Yang Sentiasa Relevan
Jagat berlatarbelakangkan era 1990-an, satu dekad yang menurut Sun-J memiliki daya tarikan universal. Kisahnya mungkin dirakam pada tahun 2015, tetapi latar zamannya yang kekal dengan cabaran sosial masyarakat menjadikan filem ini ‘timeless’.
“Kekuatan artistiknya bersifat abadi kerana ia merakamkan budaya dan cabaran hidup masyarakat tempatan pada era tersebut. Bagi saya, filem periodical seperti ini tidak mempunyai tarikh luput,” ujar Sun-J.
Tayangan Semula Untuk Penonton Lama Dan Baharu
Tayangan semula ini akan berlangsung di pawagam terpilih seperti TGV Cheras Sentral, GSC NU Sentral, LFS PJ State, TSR Cinemax Shah Alam, AE Seremban, dan Megacineplex Sungai Petani. Ia bukan sahaja bertujuan mengimbau nostalgia penonton lama, tetapi juga memperkenalkan karya yang penuh nilai seni ini kepada generasi baharu.
Kehadiran Jagat sekali lagi di layar perak menjadi bukti bahawa sebuah karya seni yang jujur tidak pernah kehilangan relevansinya. Ia kekal hidup, bahkan menjadi lebih segar dalam konteks masyarakat hari ini.
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey, Jagat adalah karya sinema Malaysia yang benar-benar berjiwa rakyat — jujur, mentah, penuh emosi dan sarat dengan realiti yang jarang dipaparkan. Sun-J tidak sekadar menceritakan kisah seorang kanak-kanak nakal bernama Appoy atau konflik sebuah keluarga marhaen, tetapi beliau menyingkap nadi masyarakat kecil yang sering terpinggir dari layar perak.
Kekuatan Jagat terletak pada keberaniannya untuk melawan arus. Ia tidak mengejar formula komersial, sebaliknya menawarkan naratif yang realistik dengan sinematografi yang kelam tetapi indah dalam kepuitisannya. Lakonan Harvind Raj sebagai Appoy, bersama barisan pelakon lain, memberi rasa tulen seolah-olah mereka tidak berlakon, tetapi benar-benar hidup dalam dunia Jagat.
Selepas 10 tahun, Jagat masih relevan kerana isunya bersifat sejagat dan emosinya tidak terikat pada masa. Ia mendokumentasikan era 90-an dengan jujur, menjadikannya bukan sekadar sebuah filem, tetapi arkib budaya yang berharga. Tayangan semula ini bagi Budiey bukan sekadar nostalgia, tetapi juga peluang untuk generasi muda menghargai sebuah karya tempatan yang autentik dan berani.
Jika anda mahu menonton sebuah filem yang membuktikan sinema Malaysia mampu menggoncang jiwa tanpa perlu glamor berlebihan, Jagat adalah karya yang tidak wajar dilepaskan.
Budiey percaya, langkah membawa semula Jagat ke pawagam selepas sedekad bukan sahaja satu penghormatan, tetapi juga satu deklarasi bahawa filem beridentiti Malaysia mampu kekal relevan merentasi generasi.