in , ,

Filem Drama Sinematik 3 Hajat Persembahan KRU Studios & Astro Shaw

Sebuah Kisah Penuh Emosi Tentang Hajat Terakhir, Penebusan Diri Dan Ikatan Keluarga

Industri filem Malaysia sekali lagi diwarnai dengan kemunculan karya baharu berjudul “3 Hajat”, hasil kolaborasi dua penerbit gergasi – KRU Studios dan Astro Shaw. Filem ini diarahkan oleh pelakon, pengarah serta penulis prolifik, Zul Huzaimy, yang sinonim dengan sentuhan penceritaan beremosi mendalam dan realistik. “3 Hajat” bukan sekadar drama keluarga tipikal, tetapi sebuah karya sinematik eksperimental yang mengetengahkan kisah tentang kasih sayang, penyesalan, peluang kedua dan konflik peribadi yang sering kita elak untuk hadapi.

Filem ini mengetengahkan Eman Manan sebagai Awang, seorang bekas banduan yang kini berdepan dengan penyakit kronik yang membataskan usianya. Di hujung hidupnya, Awang menyimpan tiga hajat terakhir yang mahu ditunaikan bersama anak tunggalnya, Tawfiq (dilakonkan oleh Amerul Affendi). Namun, perjalanan itu tidak mudah kerana hubungan ayah dan anak ini penuh luka lama. Tawfiq pula hidup dalam tekanan, dihimpit sejarah hitam yang terus menghantui jiwa dan mempengaruhi kehidupannya.

Eksplorasi Anti-Hero Dengan Konflik Jiwa Yang Realistik

Menurut pengarah Zul Huzaimy, naskhah ini diangkat bukan untuk menjadi drama klise. Beliau menekankan bahawa “3 Hajat bukan sekadar sebuah filem bergenre drama biasa, tetapi sebuah eksplorasi tentang penebusan, perdamaian dan ikatan kekeluargaan. Filem ini mengangkat dua watak anti-hero dengan sisi gelap masing-masing yang akhirnya dipertemukan dalam keadaan yang hampir mustahil.”

Konsep anti-hero ini jarang diberi ruang dalam filem tempatan, apatah lagi dengan pendekatan penceritaan yang begitu intim dan gelap. Penonton bukan sahaja akan dibawa menelusuri kisah tentang kasih sayang antara ayah dan anak, tetapi juga tentang bagaimana manusia cuba berdamai dengan bayang-bayang silam yang mereka sendiri cipta. Inilah yang menjadikan “3 Hajat” unik – ia bukan sekadar sebuah drama, tetapi sebuah cermin kehidupan.

Filem Drama Sinematik 3 Hajat Persembahan KRU Studios & Astro Shaw

Keindahan Kampung Nelayan Terengganu Jadi Nadi Visual

Latar lokasi penggambaran turut memainkan peranan penting dalam “3 Hajat”. Filem ini memilih perkampungan nelayan di Terengganu sebagai nadi penceritaan. Latar kampung tradisional dengan suasana laut, bot, pantai dan kehidupan komuniti setempat memberi nafas realisme dan memperkukuh simbolik kisah ini – kehidupan yang sederhana tetapi penuh dengan cabaran dan pengharapan.

Bukan itu sahaja, penggambaran ini turut mendapat sokongan rasmi daripada Kerajaan Negeri Terengganu, sekali gus mengangkat imej negeri sebagai destinasi filem yang sarat dengan budaya dan warisan. Malah, filem ini mencatat sejarah dengan berlangsungnya sebuah Tayangan DiRaja, dihadiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, serta Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail. Kehadiran diraja ini seolah-olah menjadi pengiktirafan simbolik terhadap nilai seni, budaya dan mesej yang ingin dibawa oleh “3 Hajat”.

Kolaborasi Dua Gergasi: Sinergi KRU Studios Dan Astro Shaw

Astro Shaw, yang sudah sinonim dengan kejayaan pelbagai filem box-office tempatan, tampil sebagai penerbit bersama. Raja Jastina Raja Arshad, Ketua Astro Shaw merangkap Penerbit Eksekutif berkata, “Hubungan Astro Shaw dan KRU Studios telah terjalin lebih sedekad menerusi beberapa projek dan keserasian itu diteruskan dengan filem 3 Hajat. Mempertaruhkan kisah yang dekat dengan masyarakat kita, kami yakin genre drama seperti ini mampu memikat hati penonton, apatah lagi dengan jalan cerita, kualiti visual serta gaya pengarahan yang kemas.”

Beliau menambah, “Istimewanya lagi, 3 Hajat digerakkan oleh gandingan hebat bintang senior Eman Manan dan pelakon versatile Amerul Affendi yang mempamerkan persembahan luar biasa. KRU Studios sinonim dengan kekuatan teknikal dan teknologi, manakala Astro Shaw pula terkenal dengan kekuatan pemasaran serta tenaga kreatif. Kami percaya sinergi ini mampu mencipta impak bermakna kepada industri.”

Paduan ini jelas menunjukkan bahawa “3 Hajat” bukan sekadar sebuah produksi kecil, tetapi satu projek besar yang strategik dalam merancakkan lagi industri filem tempatan.

Filem Drama Sinematik 3 Hajat Persembahan KRU Studios & Astro Shaw

Eksperimen Berani Dari KRU Studios

Dato’ Norman Abdul Halim, mewakili KRU Studios, menyifatkan filem ini sebagai titik penting dalam perjalanan syarikat mereka. Beliau berkata, “Filem ini menandakan satu detik bersejarah buat KRU Studios kerana ia merupakan filem bergenre drama eksperimental pertama kami. Kami berhasrat untuk menerbitkan sekurang-kurangnya satu filem sebegini setahun dengan pendekatan penceritaan yang tidak konvensional, sambil menampilkan kepelbagaian budaya, gaya hidup serta latar komuniti di Malaysia.”

Kenyataan ini memberi isyarat jelas bahawa KRU Studios kini mahu membuka lembaran baharu – dari studio yang dikenali dengan teknologi dan filem bercorak aksi serta epik, kepada sebuah studio yang berani meneroka drama berjiwa rakyat yang lebih intim dan realistik.

Filem Drama Sinematik 3 Hajat Persembahan KRU Studios & Astro Shaw

Antara Filem Paling Dinanti 2025

“3 Hajat” sudah mula mencetuskan perbincangan dalam kalangan pengamal media selepas sesi tayangan khas di Kuala Lumpur. Ramai melihat karya ini sebagai sebuah filem yang mampu memberikan kesan emosional yang mendalamkepada penonton, bukan sahaja kerana jalan ceritanya yang dekat dengan masyarakat, tetapi juga kerana kualiti sinematik yang tidak kalah dengan filem antarabangsa.

Filem ini akan menemui penonton di 70 pawagam seluruh Malaysia bermula 2 Oktober 2025, dan dijangka menjadi salah satu filem drama paling berpengaruh tahun ini. Dengan kehadiran nama-nama besar seperti Eman Manan dan Amerul Affendi, serta sokongan wajah baharu Iman Aneesa, “3 Hajat” menjadi taruhan segar yang bakal menambah warna dalam landskap filem Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi di www.3hajat.com.

Apa Kata Budiey?

Bagi Budiey, “3 Hajat” adalah sebuah karya yang wajar diraikan kerana ia mengangkat tema yang universal tetapi jarang ditangani dengan berani di layar perak tempatan. Kisah seorang ayah yang cuba menebus dosa silam melalui tiga hajat terakhir bukan sahaja menyentuh hati, tetapi turut memberi ruang untuk penonton merenung kembali makna kasih sayang dan peluang kedua.

Gabungan Eman Manan dan Amerul Affendi adalah satu ramuan yang jarang berlaku – dua generasi pelakon dengan gaya lakonan yang begitu berbeza, tetapi digabungkan dalam satu pentas dramatik yang begitu intens. Ia seperti pertembungan dua dunia – yang lama dan yang baharu – yang menghasilkan sinergi lakonan luar biasa.

Budiey yakin filem ini bukan sahaja akan menarik perhatian pencinta drama, malah juga mereka yang mencari filem tempatan dengan jiwa besar. Inilah bukti bahawa filem Malaysia mampu melangkaui sempadan klise, menjadi lebih berani, lebih jujur dan lebih relevan.

Kalau nak tahu sejauh mana “3 Hajat” mampu meruntun hati, jangan lepaskan peluang menontonnya di pawagam bermula 2 Oktober ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Laku Keras! HONOR X9d 5G Habis Terjual Sebelum Pre-Order Tamat