in , ,

Filem Aksi Komedi ‘Martabat: Misi Berdarah’ Arahan Pertama Zahiril

Siapa sangka, pelakon versatil Zahiril Adzim kini berani melangkah ke kerusi pengarah berganding bersama Adrian Teh, dan hasilnya ialah sebuah filem yang bakal menggoncang pawagam tempatan — Martabat: Misi Berdarah! Filem ini dijangka meletup di pawagam bermula 12 Jun 2025, membawa gabungan aksikomedi, dan semangat membara yang jarang-jarang kita jumpa dalam naskhah tempatan.

Aksi Dan Lawak Pecah Perut Dalam Setiap Babak

Apa yang buat filem ini menonjol? Walaupun dialog kadang ada, kadang takde, tapi jangan pandang rendah dengan semangat pelakon ekstra yang sentiasa 200%! Babak demi babak dikatakan penuh dengan kejar-mengejar, tumbuk-menumbuk, dan punchline yang mampu buat kita tergelak tak ingat dunia. Ini bukan filem aksi biasa-biasa — ini filem aksi dengan jiwa rakyat, yang tidak takut untuk ‘mengusik’ dengan lawak segar sambil mengekalkan aura mendebarkan.

Filem ‘Martabat: Misi Berdarah’ pada asalnya lahir sebagai idea ‘spoof’ atau parodi daripada filem popular Malbatt: Misi Bakara. Menurut Zahiril Adzim, segalanya bermula bila dia berbincang dengan Adrian, yang pernah menghasilkan filem Pasal Kau, sebuah ‘spoof’ kepada Paskal.

Martabat: Misi Berdarah

“Asalnya, saya cakap kepada Adrian untuk buat filem ‘spoof’ memandangkan dia pernah hasilkan filem Pasal Kau (‘spoof filem Paskal). Dia tanya, saya ada cerita tak. Balik rumah, saya tulis sinopsis dan berikan kepada dia,” kata Zahiril sambil mengenang detik awal projek ini tercetus.

Pada peringkat awal, Zahiril sebenarnya hanya mahu duduk di kerusi pengarah dan enggan muncul sebagai pelakon dalam filem ini. Namun, Adrian berkeras mahu dia turut berlakon. “Dia ajak mulakan penggambaran, tapi saya cakap, saya tak nak berlakon sebab saya nak mengarah. Dia cakap, saya kena berlakon juga. Tapi, saya cakap kepada dia, saya nak fokus sebagai pengarah sebab ini kali pertama. Tapi, dia pujuk juga saya untuk berlakon dan sudi untuk menjadi pengarah bersama. Jadi, saya setuju,” jelas Zahiril.

Berkongsi tentang minatnya dalam dunia pengarahan, Zahiril mendedahkan bahawa hasratnya untuk mengarah sudah wujud sejak dua tahun lalu. Dia sebenarnya merancang untuk bermula secara kecil-kecilan sebagai pengarah telefilem sebelum beralih kepada drama bersiri, dan barulah ke filem. “Asalnya, saya nak mula mengarah sejak dua tahun lalu dan mulakan dari telefilem, kemudian drama bersiri dan seterusnya baru naik ke filem. Tapi, tiba-tiba dapat peluang daripada Allah untuk mengarah filem,” katanya dengan nada syukur.

Mengarah filem komedi bukan satu tugas mudah, apatah lagi bila melibatkan ramai pelakon berbakat besar. “Cabaran lain, nak uruskan pelakon dan pastikan cerita itu sampai lebih-lebih lagi filem komedi. Jadi, penggambaran pun perlukan sudut yang berbeza daripada filem biasa. Jadi, saya belajar daripada Adrian juga di set,” ujarnya.

Selain Zahiril, filem ini dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Nafiez Zaidi, Fad Bocey, Elvina Chua, Shiqin Kamal, Emma Maembong, Iedil Putra, Nelissa Nizam, Tony Eusoff dan ramai lagi. Zahiril mengakui, tanpa bantuan Adrian, dia mungkin tidak mampu membawa projek ini hingga ke tahap sekarang.

“Mujur ada Adrian. Kalau saya seorang, tak jadi rasanya. Dengan bantuan Adrian yang berpengalaman, semuanya berjalan dengan tenang,”

– Zahiril

Barisan Pelakon Hebat Dan Nama Besar

Selain Zahiril sendiri, filem ini turut dibintangi oleh nama-nama popular seperti Fad BoceyShiqin KamalNafiez Zaididan Elvina Chua. Gabungan mereka ini menjanjikan bukan sahaja chemistry yang meyakinkan, tetapi juga pelbagai momen lucu yang akan terpahat di ingatan penonton. Masing-masing membawa persona tersendiri, dan inilah resepi yang bakal membuatkan filem ini melekat dalam memori.

Debut Pengarah Yang Bukan Sekadar Saja-Saja

Sebagai filem pertama arahan Zahiril, Martabat: Misi Berdarah jelas bukan eksperimen kosong. Ia hadir dengan visi segar, menyuntik nafas baharu dalam industri filem tempatan yang kadangkala lesu dengan tema kitar semula. Zahiril berani mengangkat tema martabat, bukan sekadar sebagai kata kosong, tetapi sebagai misi yang memacu setiap watak dalam filem ini.

Sokongan Penonton Jadi Kunci Kejayaan

Filem ini satu seruan kepada penonton untuk kembali memberi sokongan padu kepada karya tempatan yang cuba melawan arus. Dalam dunia yang sarat dengan filem blockbuster antarabangsa, Martabat: Misi Berdarah hadir sebagai bukti bahawa kita juga mampu menghasilkan karya yang ‘gempak’ dan menghiburkan.

Apa Kata Budiey?

Bagi Budiey, Martabat: Misi Berdarah punya potensi untuk menjadi salah satu filem aksi-komedi tempatan paling menghiburkan tahun ini. Kehadiran Zahiril sebagai pengarah membuka lembaran baharu dalam kariernya, dan Budiey yakin ini cuma permulaan.

Namun, cabarannya kini adalah untuk memastikan kualiti skrip, aksi, dan sinematografi terus relevan dan kemas, supaya filem ini tidak hanya bergantung pada gimik atau populariti pelakon. Kalau Zahiril dan pasukannya mampu jaga momentum ini, tak mustahil kita akan tengok sekuel atau bahkan filem-filem lain yang lebih mencabar dari Zahiril lepas ini. Jadi, jangan lupa tanda kalendar — 12 Jun 2025 — dan siap-siap beli popcorn, sebab pawagam bakal riuh dengan aksi berdarah penuh lawak!

Nak tahu pendapat atau ramalan filem ini lepas tayangan? Stay tuned di Budiey.com!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Lakonan Hebat Fauziah Nawi & Fauziah Ahmad Daud di Telefilem Hari Ibu