in ,

Festival Tentang Cinta Bakal Gegarkan Kota Kinabalu, Sabah Pada Ogos Ini

Sebuah Malam Sarat Emosi, Muzik Dan Cinta Di SICC, Sabah

Bersiaplah, Sabah! Pada 9 Ogos 2025, jam 8 malam, pentas megah Sabah International Convention Centre (SICC)bakal bergegar dengan Festival Tentang Cinta, satu acara yang menjanjikan bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah malam penuh makna, cinta, dan kenangan yang akan terukir lama di ingatan.

Acara ini dianjurkan oleh Extreme Visionary Venture dengan sokongan Tourism Malaysia dan rakan strategik Fazbuzz Events & Media Sdn. Bhd., manakala Ticket2U dilantik sebagai platform rasmi penjualan tiket. Ini bukan sebarang konsert – ini sebuah festival yang akan mengangkat cinta, seni dan identiti Sabah ke pentas lebih gah!

Barisan Artis Sensasi Yang Bakal Membakar Pentas

Antara tumpuan utama sudah tentu kehadiran Andmesh, penyanyi Indonesia yang kerap bikin hati penonton cair dengan lagu-lagu cintanya yang penuh emosi. Tidak ketinggalan, Ziva Magnolya, finalis tempat ketiga Indonesian Idol Musim Ke-10, yang pernah mencuri perhatian Jeremy Passion hingga diundang berduet di Ramadhan Jazz Festival 2019.

Dengan suaranya yang mempesona dan teknik vokal ‘riffs & runs’ yang mantap, Ziva kini bukan sekadar bintang media sosial – dia sudah menjadi ikon muzik dengan lagu hits seperti ‘Terlukis Indah’ dan ‘Peri Cintaku’ yang mendominasi carta di Indonesia dan Malaysia.

Dari tanah air pula, kita ada Hael Husaini dan Ara Johari yang tak perlu diperkenalkan lagi. Dua nama ini sentiasa menyuntik nyawa dalam setiap persembahan mereka. Dan sudah tentu, kita tidak boleh lupa bakat tempatan Sabah yang kini bersinar di peringkat nasional – Adira dan Mary Grace. Adira dengan vokal penuh jiwa, Mary Grace dengan aura dan bakatnya yang semakin menyerlah – kedua-duanya akan menjadi bukti bahawa Sabah bukan saja kaya dengan alam semula jadi, tapi juga dengan bakat luar biasa.

Cinta Dan Pelancongan Bersatu Di Pentas Konsert

Menurut Penerbit Konsert, Dato’ Suhaila Semaru, festival ini bukan semata-mata soal hiburan.

“Festival Tentang Cinta adalah inisiatif yang lahir daripada semangat untuk menyatukan cinta dan muzik dalam satu pengalaman penuh makna. Kami mahu Sabah dikenali bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan, tetapi juga sebagai pusat hiburan yang dinamik. Adira dan Mary Grace membawa warna tempatan yang kami banggakan, dan kami percaya festival ini mampu menarik pelancong serantau dan antarabangsa, sekaligus membuka ruang baharu untuk industri seni Sabah,” katanya penuh semangat.

Pilihan Tiket Yang Kreatif Dan Bermakna

Menariknya, susun atur tiket konsert ini dipecahkan kepada empat kategori, masing-masing membawa tema cinta yang dekat di hati:

  • Kategori 1 (VVIP) – RM988 – Tentang Kita (Tempat duduk bernombor)
  • Kategori 2 (VIP) – RM488 – Kau dan Aku (Tempat duduk bernombor)
  • Kategori 3 (Gold) – RM288 – Jomblo (Tempat duduk bebas)
  • Kategori 4 (Silver) – RM158 – Mencari Cinta (Berdiri bebas)

Bukan saja nama kategori yang comel dan puitis, tapi ini juga cara kreatif untuk membuatkan penonton rasa lebih ‘connected’ dengan tema malam itu – kerana siapa pun kita, pasti ada cerita cinta dalam hidup masing-masing, kan?

Beli Tiket Anda Sekarang!

Tiket mula dijual pada 9 Mei 2025 di www.ticket2u.com.my. Kalau kau rasa hati tu dah lama tak bergetar dengar muzik live sambil tenggelam dalam suasana romantik, inilah masanya. Jangan tunggu lama-lama, nanti melepas!

Apa Kata Budiey?

Bagi Budiey, ini lebih daripada sekadar festival muzik – ini simbol usaha membawa industri hiburan tempatan ke tahap lebih tinggi sambil memartabatkan bakat tempatan Sabah. Budiey suka pendekatan inklusif yang menyatukan bintang serantau dan artis tanah air, serta memanfaatkan acara ini untuk memacu pelancongan domestik. Kalau Budiey boleh cadangkan sesuatu, mungkin selepas ini boleh tambah aktiviti sampingan seperti sesi bertemu artis, jualan merchandise eksklusif atau persembahan buskers tempatan untuk menyemarakkan lagi suasana festival. Jadi, jangan lepaskan peluang – ayuh kita sokong seni, sokong cinta, sokong Sabah!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Penghasilan Muzik AI Tanpa Undang-Undang Bawa Ancaman Besar