in

Farhan Juara Da’i Musim Kedua

Da’i Farhan muncul sebagai juara pertandingan peringkat akhir program Da’i musim kedua yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini pada Jumaat malam.

Kemenangan Farhan atau nama sebenarnya Nik Ahmad Farhan Nik Mohamad, 24, berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 berserta hadiah sampingan lain.

Farhan bersama ibu dan bapanya yang datang dari Kelantan.

Manakala dua lagi peserta yang berjaya ke peringkat akhir iaitu Da’i Ammar dan Da’i Izzhar terpaksa berpuas hati dengan hadiah saguhati berupa wang tunai RM5,000 setiap seorang dan hadiah sampingan.

Penilaian pada peringkat akhir itu dilakukan oleh tiga juri tetap iaitu Zainal Ariffin, Sharhan Safie dan Harryanto Rizal Rokman.

Manakala Datuk Siti Nor Bahyah muncul sebagai juri jemputan.

Farhan yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka dengan kemenangan tersebut dan menyifatkan ia sebagai rezeki daripada Allah.

“Ilmu yang saya dapat sepanjang berada dalam program ini sudah cukup besar ertinya kepada saya apatah lagi kemenangan pada malam ini. Ini adalah rezeki daripada Allah dan berkat doa kedua ibu bapa, keluarga dan penyokong,” ujarnya.

Pertandingan akhir itu dimulakan dengan alunan merdu para finalis mempersembahkan bacaan lagu Asmaul Husna.

Ia dihoskan oleh Datuk Rosyam Nor. Tiga finalis tersebut diuji dengan tiga segmen iaitu menyampaikan tazkirah selama empat minit menerusi soalan dilontarkan oleh selebriti jemputan seperti Beego, Fattah Amin, Amar dan Issey. Manakala pada segmen kedua mereka perlu menjawab lima soalan daripada juri dan seterusnya tazkirah selama tiga minit secara spontan.

Acara pada malam itu turut diserikan dengan kehadiran juara Da’i musim pertama, Nor Abidah Rozain yang menyampaikan tazkirah istimewa dan persembahan nasyid daripada Azhari (Nowseeheart) dan kumpulan Algebra.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Apa Kata Selebriti Popular Tentang Samsung GALAXY Note 4

Oh My English! Tamatkan Musim Ketiga