Nama Fairuz Syazwan mungkin masih baharu dalam radar industri muzik tempatan, tetapi langkahnya sejak tahun 2024 membuktikan beliau bukan sekadar penyanyi yang muncul dan hilang begitu sahaja. Selepas kejayaan single sulung Sendirian, kini Fairuz kembali dengan buah tangan terbarunya yang diberi judul Belaian Derita — sebuah balada yang sarat dengan emosi, hasil ciptaan duo berbakat Ary dan Harris dari kumpulan Klangit.
Fairuz memilih lagu ini bukan sekadar kerana melodinya yang memikat, tetapi juga liriknya yang penuh makna dan terasa begitu dekat di hatinya. Katanya, bait-bait lagu ini seperti berbicara terus kepada dirinya, seolah-olah menceritakan sebuah bab kehidupan yang pernah dilaluinya.
Dari Ujibakat Terbuka Ke Dunia Nyanyian Profesional
Untuk yang belum mengenali, perjalanan Fairuz bermula apabila beliau terpilih dalam ujibakat terbuka anjuran syarikat rakaman Suria Records pada tahun 2024. Dari situ, lahirlah single pertamanya yang digarap oleh Aepul Roza, yang berjaya menarik perhatian ramai, khususnya kalangan penuntut universiti.
Selain itu, Fairuz juga sempat bergabung dengan barisan artis Suria Records dalam sebuah lagu raya istimewa yang dilancarkan pada Mac lalu. Tidak berhenti di situ, namanya turut tersenarai dalam Top 100 program Raise The Star Malaysia — meskipun rezekinya tidak sampai ke peringkat seterusnya, beliau memilih untuk meneruskan perjalanan seni dengan penuh tekad.
Kini, Belaian Derita menjadi tanda komitmen bahawa beliau serius untuk terus mengorak langkah dalam dunia muzik tanah air.
Maksud Mendalam Di Sebalik “Belaian Derita”
Judul lagu ini sendiri sudah cukup memberi bayangan tentang isinya — kisah hati yang dilanda kesedihan, pilu, dan kecewa setelah ditinggalkan. Mungkin ada yang beranggapan temanya klise, namun Fairuz tampil dengan sentuhan berbeza dalam penyampaiannya.
Menurutnya, cabaran terbesarnya adalah untuk membuat pendengar merasai emosi yang sama seperti yang dirasakannya ketika pertama kali mendengar demo lagu ini.
“Bila saya dengar demo ni pada mula-mula dulu, saya sendiri risau. Banyak soalan dalam kepala. Boleh ke saya bagi orang luar rasa macam mana yang saya rasa? Boleh ke saya buat orang dekat luar akan ingat yang lagu Belaian Derita ni Fairuz Syazwan yang nyanyi. Itu antara-antara soalan yang berlegar dalam fikiran saya ketika itu, tapi bila semuanya dah siap, saya dengar balik, Alhamdullilah, hanya Allah yang tahu apa yang saya rasa, kepuasan yang tak terungkap,” ujar Fairuz.
Kekuatan Fairuz terletak pada kemampuan menghidupkan lagu dengan gaya penyampaian yang jujur, membuatkan setiap bait terasa seperti luahan peribadi, bukan sekadar nyanyian.
Harapan Dan Sokongan Pemuzik Muda
Sebagai single kedua, Belaian Derita memegang harapan besar dalam karier Fairuz. Beliau berharap lagu ini bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada pendengar, tetapi juga mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik Malaysia.
“Saya berharap kewujudan saya dalam bidang seni muzik Malaysia terus disokong oleh semua,” katanya penuh mengharap.
Lagu ini kini sudah boleh dimuat turun di iTunes dan distrim di platform muzik utama seperti Apple Music, Deezer, YouTube Music, dan Spotify. Anda juga boleh mendengarnya di stesen radio tempatan pilihan.
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey, Belaian Derita adalah bukti bahawa muzik balada masih relevan dan punya tempat istimewa di hati pendengar. Walaupun temanya sering diulang dalam banyak lagu cinta, kekuatan sebenar terletak pada kejujuran penyampaian dan bagaimana seorang penyanyi mampu “membungkus” emosi itu menjadi satu pengalaman mendengar yang autentik.
Fairuz punya kelebihan itu — suaranya tidak hanya menyanyi, tetapi menceritakan kisah. Mungkin ini baru langkah kedua, tetapi jika dia terus konsisten dengan kualiti dan keikhlasan seperti ini, tidak mustahil Fairuz Syazwan akan menjadi salah seorang penyanyi balada yang diperhitungkan di Malaysia.
Kalau saya nak tambah, Budiey rasa Fairuz patut teruskan dengan repertoir lagu yang kuat secara lirik dan melodisupaya identitinya sebagai penyampai balada yang penuh rasa dapat lebih kukuh di mata peminat dan penggiat muzik.