in

Apa Yang Buatkan Episod Akhir LAMBAIAN RAMADAN Menusuk Jiwa

Luluh hati 4 juta penonton yang menyaksikan episod akhir Lambaian Ramadan apabila adik Nurin menghembuskan nafas akhirnya semasa ahli keluarganya menunaikan solat terawikh secara berjemaah di rumah seperti yang diminta olehnya. Drama bersiri 13 episod, ‘Lambaian Ramadan’ terbitan A. Aida Production lakonan oleh Puteri Balqis, Adi Putra, Siti Elizad Sharifuddin, Izz Ilham, Muntazar Ghufran dan Reen Rahim telah berjaya memikat hati peminat-peminat drama Melayu sejak disiarkan pada 31 Mei 2016 menerusi slot Samarinda, setiap hari Isnin hingga Rabu pada pukul 10.00 malam.

Baru saja melabuhkan tirainya pada 29 Jun 2016, episod akhir Lambaian Ramadan telah mencecah lebih daripada 4.0 juta penonton atau 45% syer penonton (Total 4+) sepanjang siaran dari jam 10.00 malam – 11.00 malam. (sumber: Nielsen Audience Measurement).

Poster Lambaian Ramadan

Episod Akhir Lambaian Ramadan Menusuk Jiwa 4 Juta Penonton

Bukan sahaja di kaca televisyen, Lambaian Ramadan juga mendapat sambutan hangat di laman sosial Twitter setiap kali bersiaran apabila berjaya membolosi takhta trending nombor satu di Malaysia dengan kata kunci #LambaianRamadan. Di Tonton (www.tonton.com.my) pula, lebih daripada 70,000 tontonan dicatatkan sepanjang drama bersiri ini bersiaran.

Lambaian Ramadan mengisahkan Nurin (Puteri Balqis), 8 tahun diabaikan oleh ibu bapanya yang berada di ambang perceraian. Adam (Adi Putra) dan Shila (Siti Elizad Sharifuddin) berpendapat bahawa mereka sudah tiada persefahaman lagi. Sebenarnya, Adam telah bertemu semula dengan kekasih lamanya yang baru pulang dari luar negara iaitu Warda (Reen Rahim). Warda merayu cinta Adam malah dia sanggup bermadu. Shila tahu tentang hubungan Adam dan Warda. Dia tidak mampu menghalangnya kerana dialah yang merampas Adam daripada Warda 14 tahun yang lalu.

Nurin selalu bergaduh dengan abangnya Iskandar (Muntazar Ghufran), 10 tahun yang suka menyakat dia. Abang sulung mereka, Iman (Izz Ilham) yang baru masuk Tingkatan Satu lebih suka berkurung dalam bilik dan sering melepaskan marah kepada Nurin dan Iskandar apabila ada masalah.

Nurin disahkan mengidap leukimia akut dan hanya mempunyai masa sebulan atau dua bulan lagi. Nurin mula menulis pesanan kepada setiap ahli keluarganya pada setiap malam yang kemudiannya disorok di dalam sarung bantalnya. Nurin minta semua orang berdoa agar dia mati dalam Ramadan kerana fadhilatnya yang membuatkan semua makin pilu.

Nurin berjaya menyatukan keluarganya dan mereka saling memberi semangat. Pada malam Ramadan ke-29, mereka solat terawikh berjemaah di rumah saja atas permintaan Nurin. Doa Nurin dimakbulkan apabila Nurin meninggal ketika mereka semua solat terawikh di depannya. Setiap surat pesanan dibaca masing-masing dengan dilatari bayangan memori manis bersama Nurin dan diakhiri dengan ayat “Adik tunggu semua di syurga in sha Allah”.

Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9 berkata, “Slot Samarinda TV3 tidak pernah mengecewakan peminat setianya dengan naskhah khas dalam bulan Ramadan pada setiap tahun. Lambaian Ramadan mengisahkan kesungguhan seorang anak kecil yang mahu menyatukan keluarganya kembali walaupun dia sengsara dengan penyakit leukemia. Di sini, kami ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada para peminat setia slot Samarinda. Sokongan kalian terus memberikan semangat kepada kami untuk mempersembahkan program-program yang berkualiti dan menarik.”

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan barisan program hebat di minggu pertama Raya dan minggu kedua Raya. Antaranya, telefilem dan filem eksklusif Aidilfitri seperti Batu Nisan Ibu (4 Julai, 10.00 malam), Cinta Si Wedding Planner Raya (malam menjelang Raya, 9.15 malam), Hello Mr Perfect Raya (Raya Pertama, 10.00 pagi), Mak Cun Pi New York (Raya Pertama, 9.00 malam), Raya Kami (Raya Kedua, 10.00 pagi), Kak Marr Raya (Raya Kedua, 2.00 petang), Boboiboy The Movie (Raya Kedua, 9.00 malam), Seutas Gelang Emas (Raya Ketiga, 2.00 petang), Kabhi Kushi Kabhi Gham (Raya Keempat, 2.00 petang), Ketupat Akhir (Raya Keempat, 5.00 petang), Cik Cinderella Encik Tengku Raya (Raya Keempat, 9.00 malam), Sehelai Songket Berbunga Penuh (Raya Kelima, 5.00 petang), Dilwale (Raya Kelima, 9.00 malam) dan Kau, Aku, Kita Raya (Raya Keenam, 10.00 malam).

Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kisah Tragis di Penghujung Ramadhan

Telemovie JUBAH UNTUK AIRIN Satukan Siti Elizad & Ungku Ismail