in , ,

Elfira Loy Ke Qatar Sertai Wardah, Sokong Kepimpinan Wanita Muslim Global

Misi Ke Qatar Bukan Sekadar Pelancongan, Tapi Demi Meningkatkan Martabat Wanita Muslim

Elfira Loy, pelakon dan pengacara yang tidak asing lagi dalam dunia hiburan tanah air, baru-baru ini telah melangkah ke satu pengalaman yang cukup bermakna apabila beliau dijemput oleh jenama kosmetik dan kecantikan terkenal, Wardah Beauty, untuk menghadiri sebuah acara penting di Doha, Qatar. Namun, perjalanan ini bukan sekadar melancong atau menghadiri majlis rasmi biasa. Sebaliknya, ia adalah tentang menyaksikan satu kerjasama global berimpak tinggi yang membawa mesej besar dalam memperkasakan wanita Muslim.

Elfira menjadi saksi kepada peristiwa penuh bersejarah yang menggabungkan Paragon Wardah dan Al Mujadilah Women Center, sebuah pusat pembelajaran perintis dan juga masjid pertama yang dibina khusus untuk wanita Muslim di rantau tersebut. Kolaborasi ini dilihat sebagai langkah penting dalam menghubungkan iman dan kepimpinan global, sesuatu yang sangat bermakna kepada Elfira sendiri.

Inspirasi Dari Kata-Kata Panelis Hebat Yang Menyentuh Jiwa

Elfira, 31 tahun, mengakui bahawa perbincangan mengenai kepimpinan wanita yang disampaikan oleh panel-panel terkemuka benar-benar memberi kesan mendalam kepadanya. Kata Elfira:

“Mendengar panel-panel hebat berbincang tentang kepimpinan wanita benar-benar memberi inspirasi dan mencetuskan pemikiran. Pandangan mereka membuatkan saya meremang dan memberi saya visi baharu untuk masa depan.”

Beliau juga sangat tersentuh dengan kata-kata Ibu Retno, yang berkata:

“Apabila kita mendidik seorang wanita, kita mendidik satu generasi.”

Sementara itu, Dr. Siddiqi menyampaikan satu nasihat penting:

“Pilih musimmu. Kamu tak perlu lakukan semuanya serentak. Ambil masa kamu – untuk menjadi ibu terbaik, kakak terbaik, atau pemimpin terbaik.”

Dan paling menyentuh hati Elfira ialah pesanan Dr. Sari:

“Apa sahaja yang saya lakukan, saya mahu ia diberkati.”

Elfira Loy Ke Qatar Sertai Wardah, Sokong Kepimpinan Wanita Muslim Global

Suara Wanita Dihargai Dan Dimuliakan Dalam Islam

Amalia Sarah Santi, EVP dan Ketua Pegawai Perniagaan Global ParagonCorp, turut menekankan pentingnya suara wanita dalam konteks keagamaan dan kemasyarakatan. Kata beliau:

“Dalam surah Al Mujadilah, suara perempuan bukan hanya didengar, tetapi juga dimuliakan. Meninggikan suara bukanlah tanda kehilangan rasa malu, tetapi adalah perbuatan keimanan.”

Beliau juga menambah bahawa kolaborasi bersama Al Mujadilah ini akan mewujudkan program konkrit untuk membina ekosistem global yang menyokong wanita supaya berkembang dan memberi impak yang besar dalam komuniti masing-masing.

Fokus Utama: Kepimpinan Dan Pemerkasaan Wanita Di Peringkat Global

Kerjasama ini bakal melahirkan dua jenis program utama. Pertama, program pembangunan kapasiti wanita, yang akan memperkukuhkan bakat dan peranan wanita dalam pelbagai sektor. Kedua, pertukaran informasi dan jaringan ilmu, yang memberi peluang kepada penyelidikan, pembelajaran dan pemerkasaan program secara menyeluruh.

Acara ini juga telah menyaksikan Dialog Kepimpinan Wanita Global yang bertemakan “Leading with Purpose: Women in Faith, Business, and Global Policy”. Forum ini telah menjadi platform utama yang membincangkan peranan wanita dalam membina masyarakat inklusif dan lestari.

Antara tokoh-tokoh hebat yang hadir ialah Dr. Sohaira Siddiqui, H.E Retno Marsudi, dan Dr. Sari Chairunnisa. Forum ini dimulakan oleh ucapan alu-aluan daripada Lita Kardatin Hassan, isteri Duta Besar Indonesia ke Qatar dan dimoderatorkan oleh Dewi Sandra, Duta Jenama Wardah.

Dalam sesi yang sama, diumumkan pelantikan Dr. Sohaira Siddiqui sebagai Ahli Lembaga Paragon Wardah Stewardship for Global Impact.

Elfira Loy Ke Qatar Sertai Wardah, Sokong Kepimpinan Wanita Muslim Global

Paragon Wardah Kukuhkan Peranan Di Peringkat Antarabangsa

Melalui kerjasama strategik dengan Al Mujadilah Women Center yang merupakan ahli Qatar Foundation, ParagonCorp mengambil langkah besar dalam memperkukuhkan jenama dan perjuangannya di peringkat antarabangsa.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) ini telah disempurnakan oleh Dr. Sohaira Siddiqui dan Amalia Sarah Santi, dan turut disaksikan oleh H.E. Retno Marsudi serta Dr. Sari Chairunnisa. Majlis ini berlangsung pada 18 Mei lalu di Al Mujadilah Women Center, Doha.

Paragon Wardah turut memperkenalkan pelbagai inisiatif pemerkasaan wanita seperti Women Space, House of W – Women, Wisdom, Wardah serta program sosial, pembelajaran dan kepimpinan di peringkat antarabangsa.

Salah satu program unggulan yang diperkenalkan ialah Ri’āya Young Adult Stewardship Program yang diterajui oleh Al Mujadilah Women Center.

Elfira Loy Ke Qatar Sertai Wardah, Sokong Kepimpinan Wanita Muslim Global

Apa Kata Budiey?

Perjalanan Elfira Loy ke Qatar ini lebih daripada sekadar momen glamor atau penampilan antarabangsa. Ia adalah cerminan kepada peranan besar wanita dalam membina tamadun dan peradaban. Dalam dunia yang semakin mencabar ini, wanita bukan sahaja wajar diberi ruang, malah perlu didorong dan diangkat ke posisi strategik dalam masyarakat.

Kerjasama antara Wardah dan Al Mujadilah bukanlah satu kebetulan – ia adalah manifestasi kesedaran kolektifbahawa dunia tidak akan maju tanpa menyantuni potensi wanita. Moga lebih banyak organisasi tampil seperti Wardah, mengangkat suara wanita, bukan sekadar di podium kecantikan, tetapi di pentas perbincangan global yang membawa perubahan sejati.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Dr. Athrash Buka Pusat Psikologi & Latihan ATMA di Bandar Baru Bangi