in , ,

Dugaan Berat Janna Nick di Tanah Suci Demi Lakonan Dalam SURAT DARI TUHAN

Tiada rasa hormat dan tergamak mendera ibu mentua sehingga alpa tentang tanggungjawab dan kewajiban sebagai seorang isteri dan menantu, Janna Nick menempuh dugaan besar demi tuntutan lakonan watak Misha.

Terbaharu di slot Samarinda, drama berjudul Surat Dari Tuhan bakal bersiaran untuk menghiburkan kaki-kaki drama bermula dari 30 Oktober 2023, setiap Isnin hingga Khamis pada jam 10.00 malam di  TV3 dan juga strim eksklusif secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my, muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.

Drama terbitan Mache All Star United Sdn Bhd ini diarahkan oleh Pali Yahya dan merupakan hasil karya daripada Rozie Rashid dan Soula Nordin. Drama bersiri 30 episod ini menampilkan nama-nama pelakon yang sangat dikenali dalam industri tanah air seperti Janna Nick, Shukri Yahaya, Ummi Nazeera, Sheila Mambo, Trisha Ooi, Qistina Raisah, Wanns Ahmad dan ramai lagi!

Dugaan Berat Janna Nick Di Tanah Suci Demi Tuntutan Lakonan

Surat Dari Tuhan mengisahkan seribu satu dugaan melanda hidup Ryan (Shukri Yahaya) yang baru berkahwin dengan isterinya, Misha (Janna Nick) yang bersifat talam dua muka. Ryan telah membuat keputusan untuk memberi peluang kepada Misha dan berkahwin dengannya walaupun Misha pernah memutuskan pertunangan mereka beberapa hari sebelum hari perkahwinan mereka. Walaupun tidak dipersetujui oleh ibunya, Rafilah (Sheila Mambo), namun Ryan yakin bahawa Misha telah berubah. 

Kegusaran Rafilah terbukti menerusi layanan Misha terhadapnya. Tanpa pengetahuan Ryan, Rafilah terjatuh dari tangga kerana ditolak oleh Misha. Layanan Misha semakin menjadi apabila Ryan membawa mereka untuk menunaikan umrah bersama. Sepanjang keberadaan di Madinah, Misha langsung tidak membantu Rafilah untuk memudahkan perjalanannya, malah dia cuba untuk membunuh Rafilah. 

Sekembalinya Ryan dari Mekah, satu persatu masalah timbul. Rakan kongsi perniagaannya telah melarikan wang syarikat dan menyebabkan dia terjerumus dalam hutang. Suzana (Ummi Nazeera) yang merupakan pelanggan setia Ryan cuba membantu Ryan untuk menyelesaikan masalah hutang. Kehadiran Suzana membuatkan Ryan selalu tenang dalam menghadapi segala ombak badai yang melanda keluarganya. 

Menurut Janna Nick yang memegang watak utama dalam drama ini, “Surat Dari Tuhan ini merupakan sebuah naskhah yang sarat dengan mesej positif. Saya memegang watak sebagai Misha, menantu yang jahat! Rakaman dijalankan di tanah suci Mekah dan bayangkan betapa mencabarnya saya perlu bawakan watak ini. Sepanjang penglibatan dalam seni, ini merupakan watak  paling jahat pernah saya bawa. Namun, jauh di sudut hati, saya rasa sedih dengan watak Misha.”

“Ada kala apabila saya tengah shoot, terutama di Mekah dan Madinah, saya jadi takut untuk teruskan scene tertentu. Risau perkataan yang jahat dari mulut watak Misha tu dimakbulkan. Nauzubillah. Jadi, saya banyak istighfar setiap kali scene yang keluarkan kata-kata kesat. Saya pasti watak jahat saya ini bakal menjentik emosi penonton dan harap drama ini dapat sampaikan mesej yang mendalam kepada penonton,” tambah Janna.

Nantikan lakonan watak antagonis daripada Janna Nick menerusi slot Samarinda dalam Surat Dari Tuhan yang mula bersiaran pada 30 Oktober 2023, setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 10.00 malam di TV3 dan strim eksklusif secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

BADRUL MUHAYAT

Pelakon Badrul Muhayat Meninggal Dunia Ketika Tidur di Pulau Pinang

DJI Osmo Pocket 3 Dilancar Dengan Skrin Sentuh OLED Boleh Putar