in

Drama Tarikh Kematian Lakonan Norish Karman

Drama Penuh Keinsafan Lakonan Norish Karman Dalam Tarikh Kematian di TV1

Seorang wanita yang sepanjang hayatnya tidak pernah menunaikan solat kembali bertaubat apabila menyaksikan kematian seorang lelaki alim yang pada penghujung nyawanya terjebak dengan dosa tanpa sempat bertaubat atas kesalahannya. Godaan yang datang tidak berjaya ditepis lelaki alim itu bermula dengan ajakan meminum arak hingga kemudiannya terlibat dengan zina dan membunuh. Dia menemui ajal dengan cara yang memalukan berbanding semasa hayatnya disanjung kerana ilmu agamanya yang tinggi.

Ia sekaligus membuktikan kebenaran bahawa tahap keimanan seseorang itu boleh berubah bila-bila masa dan terhadap sesiapa sahaja yang diingini olehNya. Kisah pengajaran ini dikongsi sama penonton saluran TV1 menerusi drama Tarikh Kematian pada 20 Januari 2012, jam 10.30 pagi mengisi slot Nurani.

Telemovie Tarikh Kematian

Kisah berkisar tentang watak Wahidah seorang penulis terkenal yang merasa tertekan kerana kariernya yang kian pudar telah menimbulkan masalah kepada orang-orang di sekelilingnya. Wahidah juga turut menghadapi masalah dengan bapa mertua dan suaminya pula telah curang terhadapnya.

Wahidah kemurungan dan ketika itu suaminya Jazman berulang-alik ke hospital cuba mendapatkan rawatan untuknya. Tidak cukup dengan itu, Jazman turut membawa Wahidah mendapatkan nasihat dan kaunseling daripada seorang alim dikenali sebagai Pak Qayyum. Dari segi luarannya Pak Qayyum dilihat seorang yang warak namun hakikatnya dia bersembunyi di sebalik perwatakannya itu. Dia seorang yang sombong dan begitu berbangga dengan ilmu agama yang dimiliki.

Dalam diam rupanya ada seorang pemuda yang menaruh dendam padanya. Jalil begitu marah terhadap Pak Qayyum kerana menolak lamarannya untuk mengahwini anaknya. Dalam diam dia mengatur strategi menggunakan Ghani untuk mengguji iman Pak Qayyum dengan mengumpan seorang wanita muda menggodanya.

Meskipun pada mulanya Pak Qayyum berjaya untuk menepis nafsunya namun godaan demi godaan telah menewaskannya. Dia menjalinkan hubungan terlarang dengan perempuannya itu yang kemudiannya menjadi ‘bahan’ kepada Jalil untuk mengugutnya. Pak Qayyum tersungkur di kaki nafsunya sendiri.

Sementara itu Wahidah yang berperang dengan perasaannya sendiri mula insaf melihat pengajaran yang diperolehinya daripada kejadian yang menimpa Pak Qayyum. Dia ingin kembali ke pangkal jalan namun masihkah ada kesempatan buat dirinya?

Menampilkan Norish Karman sebagai watak utama, drama ini turut dibintangi oleh Norman Hakim, Dato’ Rahim Razali, Memey Suhaiza, Hafidzuddin Fazil, Maimon Talib dan Shalina Aida.

Norman Hakim Dan Dato Rahim Razali

Norish Karman Sebagai Wahidah

Aksi Gaduh Norish Dan Norman

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Sempena Sambutan Maulidur Rasul

Drama Bersiri Bukan Aku Lakonan Hairee Othman Aliza Rafar