in , ,

Drama ‘Rumah Tanpa Luka’ Hidangkan Pertarungan Green Flag & Red Flag

Drama Penuh Emosi Dengan Isu Keluarga Dan Anak Istimewa

Astro Ria sekali lagi menghadiahkan penonton dengan sebuah drama emosi sarat konflik keluarga yang mampu mengusik jiwa. Bermula 1 September lalu, drama Rumah Tanpa Luka hasil kolaborasi Suhan Movies & Tradingbersama BamBam Studios menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam. Drama ini turut boleh distrim melalui Astro Go dan Sooka bagi mereka yang lebih selesa menonton secara digital.

Apa yang menjadikan drama ini berbeza adalah fokusnya terhadap anak istimewa penghidap Down Syndrome yang tidak diinginkan oleh ibu bapa sendiri. Kisah ini menyingkap realiti pedih masyarakat, bagaimana anak sulung sering digalas dengan tanggungjawab besar yang sepatutnya bukan miliknya, lalu mencetus persoalan tentang kasih sayang, pengorbanan dan nilai kemanusiaan.

Lakonan Mantap Dan Gandingan Pertama Pelakon Popular

Rumah Tanpa Luka diarahkan oleh Nur Ain Sharif dan mempertemukan gandingan pertama Erysha Emyra, Shukri Yahya, dan Nadhir Nasar. Menurut Nadhir yang memegang watak Hayden Hayyan, judul drama ini sendiri sudah cukup bermetafora.

“Kita tahu setiap rumah, kalau terlalu bahagia pun pasti ada lukanya walaupun sedikit. Kalau nak tahu banyak ke sedikit luka yang ada, kenalah tengok drama ini,” jelas Nadhir yang melihat naskhah ini sebagai simbolik kepada realiti hidup.

Drama 'Rumah Tanpa Luka' Hidangkan Pertarungan Green Flag & Red Flag

Shukri Yahya Tampilkan Watak Lelaki Idaman Green Flag

Shukri Yahya membawakan watak Qiuzi atau Q, seorang mekanik yang rupanya mempunyai lima bengkel kereta. Shukri menegaskan wataknya kali ini agak luar biasa kerana jarang muncul di kaca televisyen.

“Yang selalu nampak adalah watak-watak pukul bini, curang, kena pukul, tapi watak kali ni lain. Watak Qiuzi ni sangat green flag – lelaki yang ramai perempuan impikan, yang entah ada entah tidak dalam dunia nyata. Dia seorang yang easy going, down to earth, humble, setia, malah tak pandai bercinta. Kehadiran Qiuzi akan meredakan suasana,” kata Shukri penuh yakin.

Dengan sifatnya yang sederhana tetapi kuat, Qiuzi dilihat sebagai simbol lelaki idaman – tidak menunjuk-nunjuk walaupun berjaya, malah hadir membawa harapan dan keseimbangan dalam drama penuh konflik ini.

Drama 'Rumah Tanpa Luka' Hidangkan Pertarungan Green Flag & Red Flag

Nadhir Nasar Sebagai Hayden Hayyan Yang Dilabel Red Flag

Berlawanan pula dengan Nadhir yang memegang watak Hayden Hayyan, seorang karakter yang antagonis dan sering digambarkan sebagai red flag. Namun, Nadhir menolak pandangan itu.

“Saya pun tak faham kenapa orang labelkan Hayden red flag, walhal dia seorang yang bertanggungjawab. Hayden sebenarnya anak mak. Sebab tu dia jadi macam tu. Bila tengok drama ini, penonton akan nampak yang dia sangat bertanggungjawab dengan keluarganya,” jelas Nadhir.

Bagi Nadhir, cabaran utama dalam membawa watak ini adalah emosi roller coaster yang perlu dikawal. “Paling mencabar buat saya adalah seni dan marah dan tidak marahnya Hayden. Dari episod ke episod, perjalanan watak ini tak boleh dijangka. Kadang tinggi, kadang rendah. Itu cabaran terbesar untuk saya,” katanya lagi.

Kehadiran Naura Arissa Sebagai Anak Istimewa Rose Ameena

Salah satu aspek paling menyentuh hati ialah watak Rose Ameena, lakonan Naura Arissa, seorang kanak-kanak Down Syndrome yang tidak diterima oleh ibu bapa sendiri dan dianggap sial. Namun, Rose mempunyai jiwa yang besar meskipun sering dibuli di sekolah, hanya ditemani oleh seorang kawan baik bernama Dewi.

Bagi Shukri Yahya, pengalaman berlakon bersama Naura membuka perspektif baharu. “Mula-mula saya rasa agak susah sebab dia anak istimewa. Tapi rupanya senang sangat sebab dia sangat memberi. Kita cuma kena jaga hati dia, jangan buat dia takut atau terkejut. Sangat seronok berlakon dengan adik Naura,” kongsinya.

Nadhir turut bersetuju. “Saya luangkan banyak masa dengan dia di set. Bila dia dah kenal kita, dia tahu bila masa nak action dan cut. Dia faham bila kita sedang berlakon. Jadi bekerja dengan anak istimewa bukan cabaran, malah berkat untuk kami semua,” katanya.

Drama 'Rumah Tanpa Luka' Hidangkan Pertarungan Green Flag & Red Flag

Sinopsis Dan Barisan Pelakon Lengkap

Drama ini membawa penonton menyelami kisah Kalsum, seorang wanita yang tetap setia menjaga Rose Ameena meskipun dibuang keluarga. Kehadiran Qiuzi memberi sinar baru dalam hidupnya, namun segalanya berubah dengan kembalinya Hayden Hayyan.

Antara barisan pelakon yang menjayakan drama ini termasuk:

  • Erysha Emyra sebagai Kalsum
  • Shukri Yahya sebagai Qiuzi
  • Nadhir Nasar sebagai Hayden Hayyan
  • Naura Arissa sebagai Rose Ameena
  • Hajjar sebagai Dahlia
  • Kismah Johar sebagai Nek Rogayah
  • Ziela Jalil sebagai Datin Normala
  • Syean Mokhtar sebagai Dato Zaidi
  • Hafreez Adam sebagai Amril
  • Yuna Rahim sebagai Naira
  • Hanan Adraa sebagai Dewi
  • Zaefrul Nordin sebagai En. Ibrahim
  • Aziz M. Osman sebagai Pak Yasir
  • Rasya Dean sebagai Syakira
  • Raja Azmi sebagai Hajah Kamilah

Apa Kata Budiey?

Rumah Tanpa Luka jelas bukan sekadar drama biasa. Ia sarat dengan mesej sosial, menyingkap isu penerimaan anak istimewakonflik keluarga, dan dilema green flag vs red flag dalam kehidupan sebenar. Kekuatan drama ini terletak pada gabungan lakonan mantapnaskhah penuh emosi, serta kehadiran pelakon cilik istimewa yang mencuri perhatian.

Bagi Budiey, drama ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga mendidik masyarakat supaya lebih empati dan menerima kelainan sebagai satu anugerah, bukan beban. Penonton akan diajak merenung semula erti kasih sayang dalam keluarga serta menyedari bahawa setiap “rumah” pasti ada lukanya, tetapi luka itu boleh disembuhkan dengan kasih, pengorbanan, dan penerimaan.

Kalau nak tahu siapa sebenarnya red flag atau green flag, dan bagaimana perjalanan hidup Rose Ameena penuh ranjau ini, jangan lepaskan peluang menonton drama ini. Soalannya sekarang: sanggupkah kita melihat kembali cermin diri sendiri selepas menonton?

Budiey berani kata, drama ini bakal jadi antara drama paling impactful tahun ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

UNIQLO Hadirkan Koleksi LABUBU UT Eksklusif Buat Peminat