in

Drama Ohh… Bola Lakonan Ezani & Amyza Adnan

‘OHH…BOLA’ KONGSI KISAH SI GILA BOLA DI TV1

Apa yang akan berlaku sekiranya seorang ibu begitu bersungguh benar untuk menjadikan anaknya sebagai pemain bola sepak seperti minatnya sedangkan si anak pula sebaliknya. Manakala si ayah pula tertekan sebagai orang tengah untuk memihak kepada siapa. Situasi itu melatari plot drama menarik Ohh…Bola mengisi slot Panggung Ahad pada 6 Jun 2010 (Ahad), jam 10.05 pagi disiarkan menerusi TV1.

Membariskan pelakon Amyza Adnan, Ezani Nizarif, Joey, Hanim, Aina Izzati Mazri, Muhammad Daniel, Ahmad Raihan, Fathil Dhani dan Liza Abdullah, kisahnya bermula apabila tibanya musim ‘Piala Dunia’. Kedatangan musim kali ini disambut lebih gembira dan penuh semangat oleh Ruhaiza kerana baginya, pada tahun ini dia akan mempunyai lebih banyak peluang untuk mengajar dan meningkatkan kesedaran dan minat anaknya, Alif terhadap bola sepak.

Ruhaiza membimbing Alif dengan caranya tersendiri. Dia mendedahkan Alif dengan perlawanan-perlawanan bola sepak yang disiarkan di television, menunjukkan poster-poster pemain-pemain terbaik dan terkenal dunia serta melatih Alif di padang berhampiran kediamannya. Ruhaiza menganggap Alif juga sepertinya, meminati bola sepak. Dia selalu bercita-cita, satu hari nanti Alif akan menjadi pemain bola sepak profesional.

Untuk memenuhi impiannya itu, Ruhaiza memaksa suaminya, Fauzi bertemu dengan cikgu sukan semata-mata untuk memujuk cikgu agar menyerapkan Alif ke dalam skuad bola sepak sekolah. Fauzi tidak sanggup, namun Ruhaiza mengingatkan seandainya Fauzi tidak sanggup, dia akan lakukan apa sahaja untuk membolehkan Alif terpilih sebagai pemain skuad bola sekolah kerana apa yang ingin dilakukan itu, adalah demi masa depan Alif sendiri.

Sikap keterlaluan Ruhaiza memaksa Alif meminati dan bermain bola sepak, ada ketikanya ditegur Fauzi. Fauzi tidak mahu Alif dipaksa meminati sesuatu kerana dia ingin Alif berjaya kerana keinginannya sendiri bukan kerana paksaan. Namun Ruhaiza tidak pernah ambil peduli dengan teguran Fauzi.

Malah Fauzi pula yang selalu menjadi mangsa, dipaksa Ruhaiza ikut serta semasa ‘sesi latihan’ yang diberikannya kepada Alif. Tugas yang selalu dipegang Fauzi ialah, menjadi penjaga gol sedangkan dia dan Alif, ‘berentap’ di padang untuk menewaskan Fauzi.

Namun sikap Alif yang tidak begitu meminati bola sepak berubah selepas dia bertemu Rozie, kenalan ibunya. Kali pertama bertemu Rozie, Alif sudah jatuh hati kerana semasa pertemuan itu, Rozie telah menegur dan mencubit pipinya. Di luar pengetahuan Aliff, Rozie sedang merancang dan membuat persediaan untuk berkahwin tidak lama lagi dengan Yusri. Hubungan Rozie dan Ruhaiza mula akrab bila Ruhaiza terdengar Rozie dan Yusri bergaduh. Rozie tidak berpuas hati kerana Yusri lebih banyak meluangkan masa dengan minatnya terhadap bola sepak. Ketika itu Ruhaiza mula bertindak untuk menjadi orang tengah. Ruhaiza menasihati Rozie, kalau Rozie betul-betul cintakan Yusri, Rozie sepatutnya menghargai dan meminati apa yang Yusri suka.

Alif menganggap Rozie juga seperti ibunya, minat bola sepak. Kerana ingin menarik perhatian Rozie, Alif mula menunjukkan minat pada bola sepak. Dia bersungguh-sungguh ketika berlatih terutamanya ketika Rozie ada bersama-sama melihatnya berlatih.

Adakah Alif akan terpilih mewakili sekolahnya sekaligus memenuhi permintaan ibunya untuk berjaya sebagai pemain bola sepak profesional? Saksikan kesudahan drama menarik Ohh…Bola pada 6 Jun 2010 (Ahad), jam 10.05 pagi di TV1.

What do you think?

73 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Peraduan Jom Menonton Filem KAPOWW

Movie Day Out Pembaca Sensasi Selebriti – Andartu Terlampau