in

DRAMA NOKTAH DENDAM DAN DRAMA GILA DI RTM2

DUA DRAMA MENARIK, NOKTAH DENDAM (SETIAP SELASA) DAN GILA (SETIAP RABU) MENGISI SLOT RATU DI RTM2

Ruang santai malam anda pastinya lebih bermakna sekiranya dimanfaatkan dengan meluangkan masa menonton bersama keluarga. Di samping berpeluang merapatkan silaturahim sesama ahli keluarga, ia juga menyumbang kepada membentuk sahsiah diri mulia berdasarkan kepada bentuk program yang ditonton.

Justeru pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi slot Ratu menyajikan dua drama bersiri menarik dua hari berturut-turut, Noktah Dendam (setiap Selasa) dan Gila (setiap Rabu), jam 9.00 malam di RTM2 yang pastinya menjanjikan pulangan memuaskan daripada mesej cerita yang ingin disampaikan.

Noktah Dendam dalam 26 episod siarannya ini mengisahkan dua latar cerita berbeza yang berlaku melibatkan dua buah keluarga iaitu Mahadi di Malaysia dan Richard di Indonesia. Namun atas sebab urusan perniagaan,  jalinan cinta dan dendam pemuda bernama David telah mencantumkan latar cerita ini. 

Episod pertamanyanya memperkenalkan watak Mahadi, pemilik sebuah kedai barang perhiasan terkenal di ibu negara memiliki anak gadis bernama Anita. Mahadi baru berkahwin dengan Marina dan perkara itu tidak disenangi oleh Anita. Hubungan antara mereka dingin.

Manakala Richard pula adalah ahli koprat berjaya di Indonesia yang mempunyai isteri dikenali Meliana serta dua orang anak lelaki yang cukup berbeza tingkahnya, David dan Laga. Laga yang juga penerbit filem menawarkan Sandra menjadi model namun Sandra menolak tawaran itu. Dia kemudiannya memutuskan untuk ke Itali mengejar citanya sebagai model. Laga yang baru mengetahui perkara itu tidak sanggup berpisah dengan Sandra lalu menyertai kekasihnya itu menetap di sana.

Mahadi berniat mengembangkan perniagaan ke Indonesia lalu mencuba nasib di sana. Ketika itu syarikat milik Richard mula rasa terancam dengan kehadiran usahawan berjaya seperti Mahadi.

David yang sememangnya cemburukan Laga pula bertindak agresif melakukan pelbagai perancangan untuk memusnahkan Richard dan Laga. Malah dia tergamak mahu merompak barang kemas milik syarikat ayahnya sendiri demi mengaut keuntungan mudah.

Anita pula menjalinkan hubungan dengan Syamsul yang telah banyak membantunya. Namun kerana salah faham, Anita menyangkakan Syamsul ada hubungan sulit dengan ibu tirinya, Marina. Tetapi apabila perkara itu berjaya diselesaikan ia sekaligus menjernihkan hubungan antara Marina dengan Anita.

Tindakan David semakin keterlaluan hingga sanggup menculik Laga dan Sandra di Itali. Namun Laga terselamat manakala Sandra pula hilang tanpa jejak. Kecewa dengan kehilangan Sandra, Laga pulang ke Indonesia dengan hasrat mahu membantu ayahnya di pejabat. Perkembangan ini menggembirakan hati Richard. Namun ia membuatkan David berasa bimbang kerana takut Laga akan mengganggu perancangan jahatnya.

Oleh itu, David kemudiannya datang Malaysia untuk menyiasat tentang Mahadi. Dia merasakan jika dia dapat membantu Richard menumpaskan Mahadi, dia akan dihargai oleh Richard. Di Kuala Lumpur, David cuba memanipulasi Marina untuk menjatuhkan Mahadi. Bermulanya konflik apabila David mempergunakan Marina kerana ketika wanita itu bekerja di kelab malam, mereka pernah menjalinkan hubungan.

Anita mula salah faham terhadap Marina yang tersepit dengan keadaan. Sementara itu pertemuan Anita dengan Laga yang kebetulan bertemu buat pertama kalinya di Bali telah menimbulkan bibit cinta. Perkara itu mengundang kecewa di hati Sandra yang selama ini hilang ingatan tetapi mulai sembuh. Begitu juga dengan Syamsul yang menganggap Laga lebih layak memiliki Anita.

Berakhirkah dendam yang merajai hati David terhadap orang-orang di sekelilingnya? Apakah pula pengakhiran kisah cinta antara pasangan Anita dengan Syamsul dan Laga dengan Sandra? Noktah Dendam terbitan CRE Asian Sdn Bhd dilakonkan oleh Marcellino, Dato Jalaluddin Hassan, Roy Marten, Marisa Yasmin Donny Kesuma, Ery Sulaiman, Jesse Lim dan Nisha Dir.

Manakala Gila terbitan Bright Network Sdn Bhd sepanjang 13 episod siarannya pula saban minggu tampil dengan episod ’gila’ yang berbeza daripada kacamata atau pandangan wanita bernama Tumirah yang dianggap ‘orang gila’ yang tinggal di sebuah pekan kecil.

Kelakuan dan penampilan Tumirah yang dilakonkan wataknya dengan berkesan oleh Wan Maimunah menunjukkan ciri-ciri seorang yang kurang siuman dengan berseorangan merayau-rayau, bercakap, ketawa dan menangis seperti dapat dilihat sebagai seorang yang ‘gila’.

Begitupun setiap episod menampilkan cerita-cerita tentang masyarakat di pekan itu  orang di sekeliling Tumirah; orang orang yang melihat, menganggap dan memanggilnya ‘orang gila’. Namun, orang orang yang menganggap diri mereka sebagai ‘siuman’ itulah juga merupakan orang orang yang gila status, gila judi, gila perempuan, gila duit dan gila bermacam macam lagi.

Antara episod yang menemui penonton termasuklah Gila Bajet, Gila Nombor, Gila Idola, Gila ‘Auto Mania’, Gila Nasib, Gila Bayang, Gila Tipu, Gila Bola, Gila Gajet, Gila Sempurna, Gila Pencinta Wanita dan Gila Kerja, Kerja, Kerja yang tidak dinafikan jalan ceritanya berlaku dalam masyarakat kita sekarang.

Antara pelakon yang menjayakan watak menerusi Gila termasuklah Syahrul Kamarudin, Linda Hashim, Ezany Nizariff, Aliza Abdullah, Jesse Lim dan Shahruddin Thamby.

Jangan lupa janji temu menyaksikan dua drama bersiri menarik ini, Noktah Dendam (setiap Selasa) dan Gila (setiap Rabu), jam 9.00 malam di RTM2 yang pastinya bermanfaat dan sarat dengan pengajaran berguna untuk tontonan seisi keluarga.

What do you think?

73 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply
  1. ‘Antara episod yang menemui penonton termasuklah Gila Bajet, Gila Nombor, Gila Idola, Gila ‘Auto Mania’, Gila Nasib, Gila Bayang, Gila Tipu, Gila Bola, Gila Gajet, Gila Sempurna, Gila Pencinta Wanita dan Gila Kerja, Kerja, Kerja yang tidak dinafikan jalan ceritanya berlaku dalam masyarakat kita sekarang.’ naik Gila bc banyak Gila nih, haha

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

EGA A LUDJEMBERG DAN ARYANI FITIRNA DALAM DRAMA OLIVIA

Datuk Jalaluddin Hassan Kahwin Lagi?