in

Drama Muzikal Inspirasi Varsiti Lakonan Nazim Othman

Drama Muzikal Terbaru Inspirasi Varsiti Di TV2

Kehidupan bergelar penuntut kolej antara momen indah dalam kehidupan seorang insan. Suka duka dilalui bersama mewarnai kehidupan yang penuh cabaran. Situasi ini santai mewarnai plot dalam sebuah drama muzikal terbaharu disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menemui penonton mulai 23 Mei depan, setiap Rabu, jam 9.00 malam, drama bertajuk Inspirasi Varsiti ini mengetengahkan lakonan berkesan Nazim Othman, Nabil Zamanhuri, Nabila Dally, Livonia sepanjang 26 episod siarannya menerusi TV2.

Drama muzikal arahan Erma Fatimah ini berkongsi kisah suka duka dilalui sekumpulan penuntut sebuah kolej berdepan dengan ragam dan cabaran hidup pada usia remaja. Konflik cinta, kekeluargaan, persahabatan dan aspirasi kejayaan dalam hidup disatukan dalam muzikal yang menarik ini.

Nazim Othman Pegang Watak Sebagai Eddie Manakala Nabila Dally Sebagai Mira

Ia berkongsi kisah semester yang baru bermula dengan kehadiran penuntut baru bernama Eddie yang menjadi kegilaan ramai termasuk Mira. Namun dalam diam Eddie sebenarnya jatuh cinta pandang pertama kepada penuntut dikenali sebagai Chinta. Mira melakukan bermacam perkara untuk menarik perhatian Eddie. Sebaliknya Eddie juga berusaha mendapatkan cinta milik Chinta.

Riyan pula menggunakan kesempatan yang ada menjadi teman sekerja secara sambilan di café yang sama tempat Chinta bekerja untuk mendekati gadis itu. Kehadiran Eddie sememangnya kurang disenangi oleh Riyan kerana mereka masing-masing memiliki kumpulan muzik sendiri dan mahu menyertai pertandingan muzik yang sama.

Hubungan Riyan dan Chinta semakin rapat. Ini membuatkan Eddie makin kecewa dan sikapnya mula liar. Dia melayan sesiapa sahaja yang menghampirinya kecuali Mira. Eddie juga angkuh dan menganggap kumpulan muzik disertainya lebih bagus daripada Riyan. Mereka berebut menggunakan Studio muzik di kolej. Sementara itu kumpulan tarian ditubuhkan Mira seringkali menimbulkan kekecohan terhadap kumpulan Chinta. Mereka melakukan apa sahaja termasuk mencuri gerak langkah kumpulan Chinta yang saban hari berlatih bersungguh-sungguh demi ujibakat yang dianjurkan pihak kolej.

Di sebalik kisah cinta yang dihadapi mereka, pada masa sama masing-masing turut berdepan masalah keluarga. Chinta menderita bersama ibunya akibat menanggung hutang ayahnya yang meminjam wang daripada ceti haram. Riyan pula berdepan situasi bagaimana mahu memecahkan tembok egonya menerima kehadiran pensyarahnya sendiri sebagai ayah barunya.

Chinta sebenarnya sayangkan Riyan namun segalanya disembunyikan dengan alasan belum bersedia. Kehilangan Riyan satu hari menimbulkan perasaan ingin tahu di hati Chinta di manakan lelaki itu berada. Ketika itu Eddie muncul kononnya mahu membantu mencari Riyan. Tetapi sebenarnya dia cuba mengambil kesempatan mahu merogol Chinta.

Mujur Riyan muncul tepat pada masanya. Dia cuba menuntut keadilan bagi gadis kesayangannya itu. Tetapi sebaliknya Chinta tidak mahu perkara itu diperbesarkan. Mira pula masih setia cuba mendekati Eddie. Sebaliknya Eddie yang kecewa dengan Chinta menjalinkan hubungan dengan gadis bernama Lisa.

Ujibakat semakin hampir. Kumpulan tarian Chinta bersama teman-temannya giat berlatih. Tetapi apabila salah seorang daripada mereka menarik diri, Chinta mula putus asa. Kumpulan tarian Mira pula gembira dengan situasi itu kerana beranggapan peluang mereka semakin cerah.

Lalu bagaimanakah kesudahannya? Dapatkah mereka memenangi ujibakat tarian tersebut? Bagaimana pula pengakhiran cinta milik Chinta? Saksikan 26 episod drama muzikal ini hanya di TV2.

Nazim Othman Pegang Watak Utama

Nabil Zamanhuri Dan Nabila Dally

Drama Muzikal Inspirasi Varsiti

Babak Menarik Inspirasi Varsiti

Babak Dalam Inspirasi Varsiti

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Marina Bay Sands 24/7 Regional Contest

Elfira Loy Duta Terbaru Maybelline New York