in , ,

Drama Menarik Slot Mustika Cuti Sekolah

EMPAT DRAMA KHAS CUTI SEKOLAH ISI SLOT MUSTIKA DI RTM

Sepanjang empat hari berturut-turut cuti persekolahan ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi Slot Mustika iaitu Isnin hingga Khamis, jam 1.30 petang menghadiahkan penonton cilik sekeluarga dengan tayangan drama-drama menarik bermula dengan Wisel (14 Mac 2011), Teduhan Kasih (15 Mac 2011), Budak KL (16 Mac 2011) dan diakhiri Aloy (17 Mac 2011) di TV2.

Drama Wisel lakonan Na’im Daniel, Farah Amirah, Adam Aliff Tay, Dharma Seelan, Azhar Sulaiman dan Nadia Mustafar mengisahkan empat orang kanak-kanak, Najmie, Hananie, Josh dan Benny dari Kelab Alam Sekitar dari sebuah sekolah elit yang tersesat akibat keegoaan masing-masing ketika menjalani ekspedisi di hutan.

Segala-galanya berpunca apabila Cikgu Hamid iaitu guru pembimbing melantik Najmie sebagai penghulu. Najmie diberikan wisel sebagai persediaan jika berlaku apa-apa. Josh merasakan dia yang paling layak kerana dia merupakan atlit terbaik sekolah. Manakala Benny pula merasakan dia yang paling layak kerana dia merupakan pelajar terbaik sekolah.

Drama Aloy 2

Justeru, Benny dan Josh melakukan pelbagai perkara untuk menyakitkan hati Najmie sehinggalah mereka berebut wisel. Malangnya ketika perebutan itu berlaku, wisel terjatuh ke dalam anak sungai. Insiden yang berlaku juga menyebabkan mereka tersesat di dalam hutan.

Lakonan Fauzi Nawawi, Rozita Che Wan, Tony Eusof dan Hanis Kamal Bakar pula menyusul menerusi drama Teduhan Kasih yang berkongsi kisah Najman, seorang anak kecil yang ingin menumpang hidup di dunia yang penuh mencabar ini. Ibunya meningggal dunia dalam kemalangan dan bapanya merengkok dalam penjara kerana menjadi pengedar dadah. Ibunya meninggal dunia semasa usianya terlalu muda untuk mengerti sebuah kehidupan, hidupnya terumbang ambing, dia tinggal bersama neneknya kemudian bersama bapa saudaranya setelah neneknya meninggal. Bapa saudaranyalah yang telah menyara persekolahannya. Mujurlah keperitan hidupnya mendapat simpati dari seorang insan. Cikgu Salman yang sentiasa mengawasi perkembangan kanak itu semenjak dia menjejak kaki ke sekolah menengah. Dia yakin dengan kebolehan budak ini .

Cikgu Salman banyak memain peranan dalam hidup kanak kanak ini walaupun dia tinggal bersama bapa saudaranya tetapi Cikgu Salmanlah yang banyak mengorbankan masa dan tenaga untuk anak ini. Seorang guru yang amat memahami tentang latar belakang remaja ini tidak jemu-jemu berusaha membantu walaupun ia sendiri mendapat tentangan dari banyak pihak.

Kisah Iqbal berasa kurang senang apabila dipaksa oleh ibunya, Marina supaya mengikuti dia ke Kuantan dengan alasan untuk mengurus perniagaan resort mereka di samping bercuti pada musim cuti sekolah pula melatari telemovie Budak KL lakonan Na’im Danial, Azhari Azizam, Ng Zhen Tze, Aida Aris, Zoey Tan dan Badrul Muhayat.

Iqbal menganggap bercuti di kampung seperti itu akan membosankan dan memalukan. Di sana dia berkenalan dengan anak pengurus resort milik keluarganya bernama Jason. Namun sikap dingin Jason menyebabkan dia semakin kebosanan. Bagaimanapun ketika bersama budak-budak di kampung, telah mengubah persepsi Iqbal terhadap mereka yang dianggap jauh ketinggalan. Malah ketika bersama mereka juga, Iqbal mula merasai erti zaman kanak-kanak yang sebenarnya dan mula memahami erti persahabatan yang sebenarnya.

Kemudiannya saksikan juga drama Aloy dibintangi pelakon Ahmad Ezzrin Loy, Adzriefaiz, Nurdiyana, Fadilah Mansor dan Mohd Idris Mohd Diah. Plot cerita mengangkat babak kehidupan Azizul atau Aloy yang dikenali sebagai kanak-kanak lembik di kampungnya. Aloy yang merupakan anak bongsu dari tiga beradik sangat disayangi oleh seluruh ahli keluarganya. Atas sebab ini, dia juga tidak digalakkan bercampur-gaul dengan kanak-kanak lain di kampungnya, bimbang berlaku sesuatu kejadian yang tidak diduga.

Disebabkan hal tersebut, Aloy cuma mempunyai Mira sahaja sebagai teman, dan kawan yang sering menemankannya ke sekolah. Satu hari Aloy bergaduh dengan 4 orang budak yang mengejek bapanya. Aloy kalah. Abangnya, Azman yang kebetulan balik bercuti telah mengajarnya seni mempertahankan diri kerana kasihankan Aloy.

Pastikan anda meluangkan masa menyaksikan empat drama menarik ini hanya di TV2.

Rozita Che Wan Dalam Teduhan Kasih

Teduhan Kasih

Teduhan Kasih1

Teduhan Kasih2

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kenny G Concert Kuala Lumpur

Selebriti Jayakan Dapur Remaja