in , ,

Drama Mahligai Itu Milikku Lakonan Norish Karman

KEPAHITAN MADU DALAM DRAMA MAHLIGAI ITU MILIKKU

Tidak terlintas di fikiran cinta akan diduakan dan janji manis hanyalah omong kosong semata atas kesetiaan si isteri. Kepercayaan yang diberikan sepenuh jiwa kepada seorang insan bernama suami kini tinggal debu sahaja apabila suami melafazkan hasrat untuk berkahwin lagi.

Bagaikan hendak luruh hati apabila mengenangkan nasib diri dan keluarga pada masa akan datang. Adakah diri sendiri dapat berdepan dengan kenyataan bahawa diri akan dimadukan? Ikuti kisah penuh syahdu bertajuk Mahligai Itu Milikku yang akan bersiaran menerusi slot Skrin Di 9 pada 2 Mac ini (Rabu) jam 8.30 malam.

Ketabahan dan kepahitan isteri bermadu digarab dalam sebuah telefilem yang berkisarkan kisah kehidupan Syura (Norish Karman) yang merupakan seorang isteri dan ibu yang cukup sempurna dan bertanggungjawab. Rumah tangganya bersama suami tercinta, Ramli (Arash Mohamad), sungguh bahagia bersama dua orang anak mereka, Aidil (Mohd Addy Ashraf) dan Aida (Nurul Elfira Loy).

Addy sebagai Aidil dan Elfira sebagai Aida

Selama menyelami alam perkahwinan, Ramli sentiasa meyakinkan Syura bahawa cintanya hanya untuk Syura dan kejujuran jelas terpancar dari raut wajah Ramli. Syura mempercayai suaminya seratus peratus dan yakin tiada apa yang dapat memisahkan mereka. Itulah kunci kebahagiaan Syura terhadap suaminya.

Sungguh tidak disangka bahawa Ramli tergamak melukakan hatinya kerana Syura sememangnya seorang isteri yang solehah, cantik paras rupa, baik budi pekerti dan begitu teliti menjaga kehidupan harian Ramli. Di manakah silapnya Syura yang bertanggungjawab dan lengkap sifatnya sebagai seorang isteri diduakan semudah itu? Atau adakah kesetiaan Ramli tidak sekuat Syura menyebabkan hadirnya orang ketiga?

Kepercayaan yang menggunung terhadap suaminya selama ini akhirnya hancur berkecai apabila munculnya Shima (Adrea Abdullah), setiausaha baru Ramli yang lebih muda dari Syura. Shima menyimpan perasaan terhadap bosnya itu dan mencuba sedaya-upaya untuk menggodanya namun Ramli tetap setia kepada Syura dan tidak pernah terfikir untuk menduakannya. Shima terasa begitu marah dan tercabar apabila Ramli tidak mengendahkan godaanya itu.

Dari mula Shima bekerja, dia telah merancang pelbagai strategi untuk menjauhkan Ramli dari keluarganya supaya dia sendiri- dapat mendekati Ramli. Dengan bantuan rakan sekerja Ramli, Shima akhirnya berjaya menjerat Ramli dalam kancah maksiat dan keadaan itu telah memaksa Ramli untuk berkahwin dengan Shima bagi menjaga maruahnya.

Walaupun berat hati seorang isteri untuk menerima hakikat, namun Syura akhirnya terpaksa akur dan memberi restu ke atas keputusan suaminya untuk mengahwini Shima. Sebagai seorang isteri, Syura wajib mentaati suaminya dalam hal kebaikan sekiranya tidak menyusahkan.

Kesetiaan Syura terhadap suaminya tetap kuat dan masih berada di samping suami tercinta walaupun pahit yang terpaksa ditelan.. Syura tabah mengharungi hari-harinya dengan tangisan dan kesedihan yang menyelubungi dirinya. Namun, anak-anak pengikat kasih, penguat cinta dan sayang pada mahligai yang telah dibina bersama lelaki tercinta bertahun lamanya.

Apakah takdir hidup mereka sekeluarga? Apakah pula kisah silam Shima yang telah menghantui dirinya hingga ke alam bahtera perkahwinan? Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Mahligai Itu Milikku pada 2 Mac ini jam 8.30 malam, hanya di TV9, saluran Di Hatiku. Telefilem ini diterajui oleh Heykal Hanifah sebagai pengarah, Julia Juhasu sebagi penerbit eksekutif serta Rosyam Nor dan Runika Mohd Yusof sebagai penerbit.

Adrea Abdullah sebagai Shima

Arash Mohamad sebagai Ramli

cap005

cap006

cap009

Syura dan anak-anak

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Maxis Sends A Malaysian Fashionista To Paris

Gambar & Senarai Peserta Protege Mentor Musim 5