in

Drama Mahabbah Lakonan Azlee Khairi Nur Fathia

APAKAH CINTA INI ANUGERAH ATAU BEBAN?
Kisah Perih Pasangan Iskandar & Sabila Dalam Mencari Sinar Kebahagiaan

Mahabbah

Sesungguhnya setiap percintaan mempunyai kisah tersendiri dan jika tidak mendapat restu dari ibu bapa, itulah lumrah yang harus dilalui oleh pasangan kekasih dengan tabah. Begitulah suratan yang harus dilalui Iman Mutiara dan Ihsan Shafik sebelum ibu bapa mereka akur akan takdir yang menyatukan mereka tidak kira apa yang dilakukan oleh Azlin dan Zafrul. Menyusuli drama siri Pelangi Kasih, sebuah lagi drama baru mengisi slot Samarinda iaitu “Mahabbah”, memaparkan kisah pasangan kekasih, Iskandar dan Sabila yang menyintai antara satu sama lain semenjak mereka di universiti lagi. Selepas menamatkan pengajian, Iskandar berhasrat untuk menikahi Sabila namun hasrat itu mendapat tentangan hebat daripada bapanya iaitu Tan Sri Sabri.

Iskandar Melamar Sabila

Drama bersiri 25 episod terbitan Asia Media Content telah membuka tirainya pada 27 Mac 2012 dan bersiaran setiap hari Selasa dan Rabu pada jam 10.30 malam manakala pada hari Khamis jam 9.30 malam. Drama yang diarahkan oleh Jamal Khan (sebelum ini pernah mengarah drama untuk slot Samarinda, “Sahara” dan drama slot Seram, “You Saka Pergi Jauh-Jauh”) dan nukilan skrip oleh Zarihah Hassan membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Azlee Khairi, Nur Fathia Latiff, Dato’ Jalaludin Hassan, Aida Aris, Fazlina Ahmad Daud, Aiman Hakim Ridza, Anzalna Nasir dan ramai lagi.

Mahabbah membuktikan setiap insan mempunyai persepsi tersendiri mengenai cinta. Tan Sri Sabri (Dato’ Jalaludin Hassan) menganggap sebuah perkahwinan itu tidak seharusnya berlandaskan cinta semata-mata, malah harus berlandaskan legasi perniagaan. Tan Sri Sabri menganggap Sabila (Nur Fathia Latiff) tidak layak untuk menjadi menantunya, malah merasakan Sabila adalah pesaingnya yang akan mempengaruhi hidup Iskandar. Dia merasakan hubungan itu perlu dihalang dan memaksa Iskandar (Azlee Khairi) untuk membuat pilihan, samada keluarga atau Sabila.

Walau apapun rintangan yang datang menguji, cinta Iskandar terhadap Sabila melebihi dari segalanya. Iskandar tetap dengan pendiriannya untuk berkawin dengan Sabila. Sesungguhnya, takdir menyebelahi Iskandar dan hajat untuk berumahtangga bersama Sabila menjadi kenyataan. Selepas berkahwin, mereka dianugerahkan cahaya mata yang bernama Asyraf. Meskipun kehidupan Iskandar bahagia di samping keluarga tersayang, namun di sebalik kebahagian itu dia terpaksa menanggung derita akibat daripada penyakit kanser yang dihadapinya.

Iskandar dan Sabila Baru Diijabkabul

Iskandar cuba menyembunyikan penyakit kanser yang dialaminya dari pengetahuan Sabila. Namun begitu penyakitnya itu bertambah teruk sehingga menyebabkan dia pengsan. Iskandar dikehendaki untuk menjalani pembedahan dan ini memaksa meminta pertolongan dari bapa mertuanya. Tan Sri Sabri bersetuju untuk menghulurkan bantuan tetapi mengenakan syarat supaya Sabila meninggalkan Iskandar dan Asyraf.

Sabila bersetuju untuk menuruti syarat bapa mertuanya itu dan meninggalkan Iskandar sejurus pembedahan dilakukan. Berbulan lamanya Iskandar menanti kepulangan Sabila. Namun penantian itu berakhir dengan kehadiran surat cerai daripada Sabila. Sabila terpaksa menipu dengan memberi alasan bahawa dia ingin kembali ke pangkuan bekas kekasihnya. Tan Sri Sabri berusaha untuk menjodohkan Iskandar dengan pilahannya, Kartina (Anzalna Nasir). Selepas beberapa tahun, Iskandar menjumpai Sabila menerusi majalah sebagai pereka fasyen yang berjaya.

Asyraf disahkan mempunyai masalah lemah jantung dan memerlukan penderma. Sejurus Sabila mengetahui mengenai penyakit yang dialami oleh Asyraf, dia terus datang untuk menghulurkan bantuan. Pada masa yang sama, Iskandar ingin mengetahui kebenaran daripada Sabila. Berjayakah Iskandar mendapat kebenaran yang bertahun lamanya disembunyi oleh Sabila? Adakah kepulangan Sabila akan mengubah segala-galanya? Berjayakah Iskandar dan Sabila mengecapi kebahagian yang pernah punah sebelum ini? Ingin mengetahui apakah yang berlaku seterusnya?

Jangan lepaskan peluang menyaksikan Mahabbah menerusi slot Samarinda, setiap hari Selasa dan Rabu jam 10.30 malam manakala pada hari Khamis jam 9.30 malam di TV3. Penonton yang terlepas menyaksikannya boleh menonton melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my dan juga layari Facebook & Twitter tv3malaysia untuk mendapatkan berita terkini mengenai drama MAHABBAH.

Hasrat Iskandar Dipersoal Oleh Bapanya, Tan Sri Sabri

Dato Jalaluddin Hassan Sebagai Tan Sri Sabri, Bapa Yang Mementing Darjat Semata-mata

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Philippines Airasia Launches First Flights To Davao & Kalibo

Trailer Filem Aku, Kau & Dia Lakonan Remy Ishak