Drama KERONCONG UNTUK ANA Lakonan Haleeda, Syed Aiman & Erry Putra

SLOT PERMATA: “KERONCONG UNTUK ANA”, SETIAP ISNIN DAN KHAMIS BERMULA 21 MEI 2008, JAM 6.05 PETANG DI RTM1

Di sebalik kejayaan seorang lelaki pasti ada wanita yang menjadi pendorong di belakangnya. Begitu juga sebaliknya. Sumbangan wanita bernama Ana yang diaspirasikan drama Keroncong Untuk Ana dalam menyuntik semangat Imran dalam menempuhi cabaran hidup dapat dikongsi penonton setia slot Permata, setiap Isnin hingga Khamis, bermula 21 Mei 2008, jam 6.05 petang di RTM1.

Keroncong Untuk Ana menerusi 26 episod siarannya mengetengahkan kisah keteguhan hati Ana dalam membantu majikannya, Imran yang berdepan masalah dalam pernigaan kematian setelah ayahnya, Datuk Hamzah.

Imran yang berdepan saat sukar kehilangan keluarga tersayang cuba bangkit kembali dengan bantuan dihulurkan Ana, pekerja syarikat ayahnya yang paling setia. Sedangkan saat itu tiada seorang pun pekerja lain yang sudi sama-sama membangunkan kembali syarikat yang semakin merosot pencapaiannya.

Keluarga Datuk Husin dan isterinya, Datin Faridah yang pernah menjadi kenalan rapat keluarganya sejak bertahun-tahun dulu juga mengkhianatinya. Janji untuk menjodohkan Imran dengan Farah, anak gadis kesayangan mereka hanya tinggal janji. Segalanya kerana Datuk Husin membayangkan perniagaan Datuk Hamzah yang telah jatuh muflis dan tidak mampu dibangunkan semula.

Imran kesal dengan tindakan Datuk Husin dan keluarganya namun dia tidak mampu melakukan apa-apa malah membiarkan takdir hidupnya berlalu begitu sahaja. Begitu pun kehadiran Ana banyak membantu dirinya membentuk jati diri dan membangunkan semula syarikat diwarisi daripada ayahnya.

Malah Ana begitu bersungguh mendapatkan kontrak daripada dua orang ahli perniagaan berjaya yang diyakini dapat membantu memulihkan syarikat Imran. Namun dugaan yang terpaksa dihadapi tidak semudah disangka kerana mereka turut berdepan masalah yang ditimbulkan Roslan dan Salim, orang kepercayaan arwah ayahnya. Ada saja angkara yang cuba dilakukan mereka untuk menjatuhkan Imran.

Selain Ana, Imran turut mendapat sokongan penuh teman baiknya, Haris. Malah Haris menawarkan diri untuk membantu Imran dan Ana sama-sama berusaha menaikkan kembali prestasi syarikat itu.

Alasan kerja semakin mendekatkan hubungan Imran dengan Ana hingga membuahkan rasa cinta di hati masing-masing. Dalam diam Imran mengagumi semangat di samping kecantikan semula jadi dimilki gadis yang sentiasa berdampingan dengannya itu.

Meski pun timbul kekecohan di hari pernikahan mereka kerana Ana gagal menjejak ayah kandungnya untuk dijadikan wali pernikahan mereka namun akhirnya majlis itu berlangsung dengan selamat yang menyaksikan mereka sah diijabkabulkan sebagai suami isteri.

Hidup mereka dilimpahi kebahagiaan apatahlagi setelah mereka dikurniakan cahayamata diberi nama Rosman. Hubungan cinta mereka bertambah kukuh dan erat. Tetaoi kehadiran Datuk Husin dan Datin Faridah kembali mengeruhkan keadaan.

Keterlanjuran dilakukan Farah bersama teman lelakinya, Roy terpaksa ditebus dengan pernikahannya dengan Imran. Imran berkeras tidak mahu menikahi Farah kerana hidupnya sudah lengkap dengan kehadiran Ana dan Rosman. Tetapi dia tidak mampu menolak takdir.

Ana yang terdesak menunaikan desakan Datin Faridah menyatukan Imran dengan Farah kemudiannya nekad membawa Rosman meninggalkan Imran biar pun hatinya berat mahu berbuat begitu. Apatahlagi mengenangkan masa depan Rosman.

Ana memutuskan tinggal dan menjadi sukarelawan di rumah anak-anak yatim yang pernah dihuninya sewaktu zaman kanak-kanak. Imran pula semakin kusut dan kelam-kabut hidupnya tanpa kehadiran Ana dan anaknya.

Farah pula tidak henti-henti membuat angkara meski pun telah melahirkan anak lelaki diberi nama Fendi. Malangnya, Fendi dibiarkan tanpa perhatian seorang ibu kerana sibuk mengadakan skandal dengan Roy, bekas kekasihnya. Imran tambah tertekan lalu semakin giat mencari Ana untuk menyatukan semula ikatan keluarganya.

Cubaan Datuk Husin dan Datin Hamzah mengungkit supaya Imran membayar semula hutang keluarganya membawa kepada pembongkaran skandal pembohongan mereka terhadap harta arwah Datuk Hamzah. Begitu juga pecah amanah dilakukan Roslan terhadap bekas majikannya itu. Atas bukti yang kukuh, Roslan akhirnya dihadapkan ke muka pengadilan.

Mampukah Imran dan Ana kembali menyulam bahagia yang terganggu dek kehadiran insan-insan tidak berperikemanusiaan seperti Datuk Husin, Datin Faridah, Farah, Roslan dan Salim? Keroncong Untuk Ana membariskan pelakon-pelakon hebat termasuk Haleeda, Syed Aiman, Zaidi Omar, Dato’ Jalaluddin Hassan, Rosnah Johari, Yus Waizar dan Erry Putra.

Jangan ketinggalan menyaksikan  Keroncong Untuk Ana, setiap Isnin hingga Khamis, bermula 21 Mei 2008, jam 6.05 petang di RTM1.

[tags]keroncong untuk ana, Syed Aiman, Zaidi Omar, Dato’ Jalaluddin Hassan, Rosnah Johari, busana muslim, ct bertudung labuh, fesyen muslim, gaya ayu siti, Yus Waizar, Erry Putra, datin faridah, kisah datin, bmw, drama malaysia[/tags]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gossip Azharina Rampas Tunang Orang Adalah Tidak Benar

Gambar Majlis Hari Jadi Faradhiya Bersama Teman Istimewa?