in

Drama & Filem Melayu di TV3

Sepanjang bulan Julai ini, TV3 tidak ketinggalan menyajikan pelbagai cerita-cerita yang menarik untuk tontonan semua peringkat umur. Para penonton bakal dihiburkan dengan deretan rancangan-rancangan istimewa yang bakal ditayangkan menerusi 2 slot istimewa –Cerekapilihan dan Pesona 3. Bagi semua peminat drama dan filem Melayu, pastikan anda terus melekat di kaca televisyen untuk menyaksikan pelakon-pelakon handalan seperti Aida Aris, Rusdi Ramli, Catriona Bahrin Ross, Wan Maimunah, Azizah Mahzan, Wahid Satay, Maria Menado, Mustapha Maarof dan ramai lagi. TV3 juga memaparkan pelbagai kisah yang membawa seribu pengorbanan, pengertian, dan tauladan kepada semua penonton khususnya seisi keluarga. Di harap penonton dapat menghayati dan mengambil iktibar daripada kisah yang dipaparkan.

Nikmati kegembiraan, tontoni TV3!

CEREKAPILIHAN, JUMAAT, 1.30 TENGAHARI

Sutera Demi Aisyah (4 Julai 2008)
Aishah merasa kecewa bila ibunya Ros selalu memarahinya dan menganggap dirinya tidak disayangi oleh ibunya. Semuanya terbongkar bila Aishah ternampak keratan akhbar tentang keluarga kandungnya. Ayahnya Iskandar menceritakan keadaan sebenar kepada Aishah. Jeff merupakan rakan baik Iskandar yang ditugaskan ke kawasan Kedah berdekatan sempadan Thailand. Di sana dia terpikat dengan Sutera dan akibat difitnah Kudin, mereka dipaksa dikahwinkan oleh ayah Sutera di Thailand. Jeff terpaksa pulang menemui ibunya yang sedang sakit tenat. Sewaktu menziarahinya, ibu Jeff minta agar Jeff mengahwini Ros. Jeff akur tetapi terpaksa menolak bila tiba hari perkahwinannya kerana dia merasa bertanggungjawab terhadap Sutera yang sedang sarat megandung anak sulung mereka. Jeff membatalkan perkahwinannya dengan Ros lalu Iskandar mengambil alih tempat Jeff dan mengahwini Ros. Apakah yang terjadi selanjutnya?
Pelakon: Aida Aris, Rusdi Ramli, Catriona Bahrin Ross

Syurga Di Mana (11 Julai 2008)
Hidup Tijah sememangnya susah ibarat jatuh ditimpa tangga setelah suaminya meninggal dunia semasa mencari buluh di dalam hutan. Hati Tijah semakin rungsing apabila kakaknya Timah menuntut agar hutang kenduri arwah dan membeli kain kapan ditunaikan dengan segera dan jika tidak mereka mahu mengambil Hisham, satu-satunya anak lelaki Tijah. Kehidupan Tijah semakin mencabar apabila dia dituduh Sarimah, menjual diri pada Salim dan berkahwin dengannya kerana Tijah mahu mendapatkan duit. Sebenarnya semuanya ini dirancang oleh Timah dan ibunya Leha. Sarimah lari meninggalkan Tijah dan Hisham dan bersumpah tidak akan menjejakkan kaki ke rumah ibunya lagi. Leha pula jatuh lumpuh tetapi Timah tidak mahu menjaga ibunya lagi dan menyerahkan tanggungjawab menjaga Leha kepada Tijah. Tijah menerimanya dengan rela walaupun mengetahui keadaanya yang sungguh daif. Apakah yang berlaku selanjutnya?
Pelakon: Wan Maimunah, Azizah Mahzan, Mariani, Jasmin Hamid

Erti Kasih (18 Julai 2008)
Kamal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah bank telah bersubahat dengan sekumpulan perompak merompak pelanggan bank tersebut. Kamal menyertai kumpulan tersebut kerana memerlukan wang untuk menampung kos rawatan isterinya yang menghidap penyakit buah pinggang. Pihak polis berjaya memberkas Kamal dan perompak-perompak tersebut. Kamal didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun. Ketika dalam penjara, Kamal diberitahu bahawa rumahnya telah terbakar dan mengorbankan isteri dan anak perempuannya. Anak  lelakinya Faizal terselamat dan ditempatkan di rumah kebajikan. Setelah keluar dari penjara Kamal berusaha mencari anaknya tetapi gagal kerana anaknya telah berpindah ke luar negara bersama dengan keluarga angkat. Kamal dipulaukan oleh penduduk kampung kerana beliau merupakan bekas banduan. Kamal telah hidup terpencil dari masyarakat. Namun keadaan berubah apabila Kamal terbabit dengan satu kejadian langgar lari. Seorang pemuda bernama Faizal telah membawanya ke hospital dan semenjak dari itu mereka menjadi rapat. Apakah kisah selanjutnya?
Pelakon: Harun Hashim, Zul Huzaimy Marzuki, Lt Kol Abu Bakar, Kasmadiana, Maimon Mutalib

Cinta Sepahit Kayu Manis  (25 Julai 2008)
Walaupun sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak yang sudah remaja Zaris tetap menjalinkan hubungan dengan seorang model, Marina. Setiap kali bertemu, Marina akan mendesak Zaris agar masuk meminangnya. Masalahnya Marina mahu Zaris menceraikan isterinya Ratna. Zaris tidak sampai hati kerana Ratna telah banyak berkorban untuk Zaris. Bila bertanya ibunya, ibunya marah mendengar hasrat Zaris dan meminta Zaris tunjukkan apakah kekurangan Ratna hingga menyebabkan Zaris mahu menduakan Ratna. Zaris terdiam kerana Ratna tidak ada apa-apa kelemahan. Malahan ibu Zaris menuduh Zaris seorang anak yang tidak mengenang budi. Dia tidak mahu Zaris mengikut jejak langkah ayahnya yang telah membuat hidupnya menderita akibat berkahwin lain. Sikap Zaris berubah dan sering marah-marah terhadap anak-anaknya tanpa sebab. Malah dia sering mencari kesalahan Ratna. Macam-macam andaian terlintas di fikiran Rizal dan Fasha di atas perubahan sikap ayahnya. Ratna pula dalam dilema kerana didapati mempunyai ketumbuhan di payudaranya. Dia merahsiakan perkara ini daripada Zaris dan anak-anaknya dan tidak mahu menjalani pembedahan kerana bimbang keluarganya akan risau.  Keadaan menjadi semakin tegang apabila Kedudukan Marina mengugut mahu berkahwin jika Zaris tidak masuk meminang. Apakah yang terjadi kepada keluarga ini selanjutnya?
Pelakon: Hani Mohsin, Jasmin Hamid, Rosnah Johari

PESONA 3, AHAD, 3.00 PETANG

Selendang Delima (6 Julai 2008)
Kisah terjadi di zaman bahari di mana sebuah negeri bernama Banda Biru telah diserang oleh seekor burung garuda. Akibatnya habis rakyat dan Raja mati terbunuh kecuali dua anak baginda iaitu Bang Segara dan adindanya Sri Banian. Raja Kayangan telah menghantar anakandanya Dewa Laksana untuk membunuh burung garuda itu tetapi dia telah jatuh cinta dengan Sri Banian. Raja Kayangan telah murka dengan tindakan anakandanya itu dan telah menyumpahnya menjadi patung hitam. Sri Banian pula telah menyuruh Bang Segara membawa sebuah peti ke mana sahaja dia pergi. Bang Segara sedih apabila mendapati Sri Banian sudah mati tetapi sebenarnya dia pengsan untuk selama-lamanya. Bang Segara bersama peti itu dibawa belayar dan sampai ke sebuah negeri lain yang bernama Benu Puri di mana rajanya baru mangkat dan tiada waris lelaki untuk menggantinya. Mengikut wasiat baginda, Perdana Menteri telah membuat pengumuman barang siapa dapat mematahkan pedang gajah putih dia berhak untuk menjadi Raja. Dia juga akan berkahwin dengan tujuh orang puteri Raja dan berhak memilih salah seorang isterinya itu untuk dijadikan Permaisuri. Bang Segara berjaya mematahkan pedang gajah putih dan ditabalkan menjadi Raja. Selepas berkahwin dia memilih Puteri Bongsu menjadi Raja Permaisuri. Namun, semasa Raja Bang Segara melawat ke daerah lain negeri itu, isteri-isterinya telah membuka peti itu walaupun dilarang membukanya. Mereka berjumpa seorang perempuan muda bernama Selendang Delima.
Pelakon: Wahid Satay, Maria Menado, M Amin, Abdullah Chik

Darahku (13 Julai 2008)
Filem ini mengisahkan tentang Aman, seorang anak yang dibenci bapanya. Segala yang dibuat tidak dipedulikan tetapi sebaliknya bagi adiknya Hussain. Suatu hari, Aman ditawarkan sebagai tukang sapu di sebuah kelab tinju dan bermula dari situlah dia menjadi seorang peninju yang terkenal. Manakala, Hussain sering berlagak seperti anak orang kaya. Dia berkahwin dengan Faridah setelah tamat pengajiannya dan mengenepikan bapanya yang miskin. Bapanya terkilan dengan tindakan Hussain dan insaf dengan layanannya kepada Aman selama ini. Hayatilah kisah yang menyayat hati ini.
Pelakon: Malek Selamat, Ghazali Sumatri, Maria Menado

Sumpah Pontianak (20 Julai 2008)
Chomel merupakan seorang wanita yang mempunyai rupa wajah yang hodoh. Disebabkan itulah dia tidak begitu disukai oleh orang-orang kampung. Sekiranya apa yang terjadi di kampungnya dia akan dituduh. Satu hari satu kejadian bunuh telah berlaku di kampungnya lalu orang kampung telah menghalau Chomel dari kampung tersebut malahan dia telah dikatakan seorang hantu. Dalam masa yang sama pula Maria seorang gadis kampung tersebut telah hilang dan ini menyebabkan orang kampung percaya bahawa Maria telah dilarikan ataupun dibunuh oleh Chomel. Kini Chomel tidak dapat lagi lari dan begitu tertekan akan segala tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Lalu dia mula menuntut ilmu hitam demi menjaga keselamatan dirinya dan membalas perbuatan orang kampung.
Pelakon: Maria Menado, Salmah Ahmad, Mustapha Maarof

Raja Bersiong (27 Julai 2008)
Filem ini mengisahkan seorang Raja (Malek Selamat) yang telah ketagih darah manusia. Perkara ini terjadi semasa tukang masak terpotong jarinya setika menyediakan santapan DiRaja. Satu hari telah berlaku satu kejadian ganjil keatas dirinya dan sepasang gigi siong telah tumbuh. Lama kelamaan baginda begitu ketagih darah lalu baginda menyuruh tukang masak supaya mencampurkan darah dalam setiap masakannya. Demi desakan inginkan darah baginda secara diam-diam telah membunuh rakyat jelata untujk mendapatkan darah. Dalam usaha untuk menghalang perkara ini tidak berlanjutan dan demi keselamatan isterinya, Comel dan puteranya, baginda telah menitahkan Datuk Gontor supaya mengurungnya. Demi kasih sayang seorang isteri yang setia, Comel cuba mengubati baginda Raja.
Pelakon: Maria Menado, Malek Selamat, Ahmad Nisfu

[tags]Aida Aris, Rusdi Ramli, Catriona Bahrin Ross, Wan Maimunah, Azizah Mahzan, Wahid Satay, Maria Menado, Mustapha Maarof, Maria Menado, Malek Selamat, Ahmad Nisfu, Salmah Ahmad, Ghazali Sumatri, Wahid Satay, gambar, M Amin, Abdullah Chik, Hani Mohsin, Jasmin Hamid, Rosnah Johari, Harun Hashim, Zul Huzaimy Marzuki, Lt Kol Abu Bakar, Kasmadiana, Maimon Mutalib[/tags]

What do you think?

73 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Gambar Farah AF2 & Isma Yusoof Dalam Drama Popular

Video Promosi Drama Impian Kamal Hero Remaja