in ,

Drama Cintaku Di Mukah Lakonan Zack X-Factor, Rizal AF, dan Wan Nor Azlin

RTM SIAR DRAMA KHAS SARAWAK, CINTAKU DI MUKAH MULAI 9 FEBRUARI 2010 DI TV2

Jika sebelum ini penonton pernah disajikan dengan drama-drama yang menggunakan dialek Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan mahupun Perak, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam usaha menambah variasi program siarannya mulai 9 Februari 2010 menyiarkan sebuah drama khas berlatarkan dialek dan mengambil lokasi negeri Sarawak pula bertajuk Cintaku Di Mukah setiap Isnin hingga Khamis, jam 3.30 petang mengisi slot Galeri Famili di TV2.

Diterbitkan Citra Ummah Network Sdn Bhd, drama bersiri 13 episod, Cintaku Di Mukah mengangkat kemelut hidup seorang pemuda Sarawak bernama Saharudin yang berasal dari Mukah, Sarawak. Saharudin mengahwini wanita yang amat dicintainya, Marina setelah menamatkan pengajian mereka di universiti.

Namun begitu perkahwinan mereka tidak mendapat restu dari kedua ibu bapa Marina kerana dia adalah satu-satunya anak yang mereka harapkan untuk menumpang hidup bersama mengurus perniagaan keluarga.

Akibat dari keras hati Marina, ibu bapanya akur akan perkahwinan itu namun semuanya berubah apabila Saharudin terpaksa pulang ke Mukah untuk menjaga ayahnya yang terlantar sakit.

Kedua ibu bapanya melarang keras Marina untuk mengikut Saharudin pulang ke Sarawak. Justeru hanya perpisahan yang menjadi titik tolak perkahwinan tanpa restu kedua ibu bapa itu. Tanpa disedari Saharudin, Marina telah mengandungkan anaknya disaat beliau pulang ke Mukah.

Sejak itu Saharudin tidak pernah pulang ke Semenanjung kerana dilarang oleh ibu bapa Marina untuk mereka bertemu di Sarawak membawa hinggalah ke 20 tahun kemudian tiba.

Saharudin telah berkahwin dengan Zaharah dan mendapat 3 cahayamata namun kekecewaan mengenangkan rasa bersalahnya terhadap Marina mengakibatkan anak-anak remajanya terabai tanpa perhatian seorang ayah. Mereka masing-masing mencari ruang hidup sendiri tanpa kasih sayang seorang ayah.

Kejayaan seorang dari anaknya, Imran melanjutkan pelajaran di Unimas dan kemelut kisah suka duka percintaan Imran bersama Dayang di Unimas serta kehadiran pelajar tahun akhir bernama Najmi telah mempertemukan kembali Saharudin dan Marina yang telah lama terpisah.

Namun masihkah ada ruang untuk menyambung kembali ikatan kasih antara kedua pasangan yang dipisahkan takdir ini? Bagaimana pula mereka berdepan dengan saat-saat tidak terduga apabila dipertemukan semula?

Teruskan bersama pelakon-pelakon popular tanah air antaranya Zack X-Factor, Rizal AF, Mahmud Ali Bashah dan Wan Nor Azlin untuk mengetahui siapakah Najmie di episod-episod akhir drama bersiri ini? Atau adakah pertemuan itu kesudahan yang membahagiakan atau menambah kedukaan Saharudin? Saksikan drama bersiri Cintaku Di Mukah setiap Isnin hingga Khamis, jam 3.30 petang di TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Diana Danielle & Shahz Jaszle di Final InnerShine® Berry Beautiful Eyes Search

Ammar Alfian Aziz Ugut Bunuh Wartawan Hiburan Di Facebook?