in ,

Drama Cinta Untuk Ain Lakonan Que Haidar, Nabila Huda, Sherry Ibrahim

Pada 16 Februari lalu telah berlangsung sesi ramah mesra antara media dan para pelakon Drama Cinta Untuk Ain di Sri Pentas. Budiey ingin mengucapkan syabas buat TV3 kerana setelah Slot Lestary bersiaran hampir 5 tahun, diperkenalkan pada tahun 2004, sampai sekarang masih berjaya mengekalkan prestasinya dengan meraih jumlah penonton melebihi 3 juta setiap minggu.

Mulai 24 Februari 2009, satu lagu drama romantis yang digarap oleh Akhbar Hashim dan diarahkan oleh Heykal Hanafiah akan menemui penonton TV3 setiap Selasa jam 9 malam.

Drama 13 episod ini menampilkan pelakon berpengalaman seperti Que Haidar, Nabila Huda, Eizlan Yusof, Fauzi Nawawi, Ako Mustafa, Sherry Ibrahim, Rahim Jailani dan Rozie Othman.

Pasangan Ideal?

Watak jahat dan perogol

Sherry Ibrahim

Heykal, seorang pengarah yang dikatakan berpengalaman luas dan sangat kreatif. Pernah mengarah drama Dosa Semalam, Terlerai Takbir Kasih, Sebelum Sejadah Dibentang dan banyak lagi. Mungkinkah drama ini ada imbas-imbas macam drama Rashid Sibir kerana pengarahnya adalah anak didik Rashid? Haikal menjelaskan sebagai pengarah baru dia banyak menimba ilmu daripada Rashid sebelum ini.

“Saya tidak nafikan pengaruh Rashid memang ada setiap kali saya mengarah drama kerana saya tidak boleh lari daripada gaya kerjanya memandangkan dia cikgu saya. Banyak ilmu diturunkan Rashid kepada saya. Sejak mula membabitkan diri dalam bidang penerbitan drama mahupun filem sehinggalah sekarang. 

Sebelum mengarah saya pernah menjadi pengurus produksi milik Rashid dan diberi tanggungjawab selaku penolong pengarah dan diangkat menjadi pengarah dalam beberapa drama terbitan Opera Klasik. Kalau ada yang berkata Cinta Untuk Ain ada iras dengan drama arahan Rashid, saya tidak boleh menafikan. Kalau selama ini ramai memuji karya dihasilkannya mengapa tidak saya mengikut. Saya akan menceduk apa saja sekiranya ia boleh memberikan kebaikan atau membuatkan drama arahan saya bagus pada pandangan penonton,” katanya.

Begitupun jelas Haykal, sepanjang penggambaran Cinta Untuk Ain, dia menerapkan gaya pengarahan baru bagi membentuk identiti sendiri supaya penonton tidak menyamakan drama itu dengan karya Rashid. Mengenai Cinta Untuk Ain, kata Haykal dia tidak menghadapi banyak masalah kerana semua krew dan pelakon sudah biasa bekerja dengannya.

“Walau walaupun temanya cinta tetapi plotnya banyak dan agak berat terutama membabitkan watak utama Ain lakonan Nabila Huda. Ain digambarkan seorang gadis yang mempunyai sejarah silam iaitu pernah dirogol dan dijual bapa tirinya untuk dijadikan pelacur. Sewaktu cuba melarikan diri dia terjatuh lalu hilang ingatan. Sepasang suami isteri yang kehilangan anak perempuannya bertemu dengan Ain dan mengambilnya menjadi anak angkat mereka. Secara perlahan-lahan sewaktu bertemu dengan Shahrul (Que Haidar) dia mula mengingati sejarah silamnya. Shahrul meluahkan perasaan cintanya pada Ain tetapi gadis itu takut hendak menerimanya kerana bimbang dengan sejarah hitam dialami.

“Bagi memastikan lakonan dihasilkan berkesan selalunya saya akan menggunakan Nabila sebagai senjata dengan memintanya bermain cinta dengan Que. Tetapi perkara seperti ini bukan selalu saya lakukan sebaliknya ia dibuat sekiranya membabitkan babak besar dan penting,” katanya.

Apa kata Nabila Huda sebagai Ain:

“Sebagai pelakon apabila sering sangat diberikan watak jahat saya berasakan ia tidak lagi memberikan cabaran. Dalam drama ini kali kedua saya memegang watak gadis teraniaya dan memerlukan saya banyak menangis. Kali pertama saya memegang watak seakan sama dalam Laila Majnun. Penting sebagai pelakon saya menunjukkan kepelbagaian dalam memainkan watak. Saya mengharapkan Cinta Untuk Ain akan memberi peluang kepada penonton melihat kemampuan sebenar saya,” katanya.

Que menjelaskan kerana dia dan Nabila rakan akrab, apabila membabitkan babak cinta membuatkan dia berhadapan dengan masalah untuk melakukan aksi romantis.

“Nabila suka mengusik saya sewaktu penggambaran dijalankan. Mengambil contoh sewaktu babak kami bernikah, apabila kamera merakamkan wajah saya, dia yang berada di depan akan membuat ‘wajah’ lucu. Sehinggakan saya selalu saja hendak ketawa walaupun waktu itu sebenarnya babak sedih.”

Que turut berasakan bekerja dengan produksi Cinta Untuk Ain cukup mudah kerana semua orang memberikan kerjasama baik dan tahu tanggungjawab masing-masing.

“Bayangkan selepas hampir sebulan berada di lokasi hubungan kami menjadi sangat rapat. Kalau kata babak untuk saya tidak ada dalam dua tiga hari, ada antara kakitangan produksi menghubungi saya dan minta saya datang ke lokasi untuk melepaskan rindu. Begitu juga dengan Nabila yang kadang-kadang sanggup bangun awal pagi untuk masak sebelum datang ke lokasi menjamu semua krew termasuk para pelakon yang ada. Ibaratnya kami bekerja dalam satu keluarga yang besar,” katanya.

Saksikan drama ini setiap Selasa jam 9 malam.

Budiey: Suka tengok gelagat artis bercinta kat luar dari bercinta dalam drama.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Raja Azura, Azfar OIAM, Ikhwan Hotfm Dalam Friskies… Meow Belai Si Comel

Peraduan Jom Menonton Filem Punisher War Zone