in ,

Drama Cindai Merah Lakonan Pekin, Sheera, Nadia Emily, Aznah Hamid

CINDAI MERAH, SLOT GALERI FAMILI DI RTM2

Slot Galeri Famili yang disajikan kepada penonton setia saluran RTM2 sememangnya sarat dengan mesej berguna dengan mengetengahkan kisah realiti persahabatan, percintaan dan semangat juang untuk berjaya dan terbaharu menerusi Cindai Merah yang disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 1.30 petang. 

Cindai Merah terbitan Television Airtime Services ini diwarnai kisah kegigihan seorang pemuda bernama Nasir yang dibelenggu masalah keluarga kerana setelah kematian ayahnya, dia menggalas sepenuhnya tanggungjawab menyara hidup adik-adiknya yang masih bersekolah dan ibunya yang uzur.

Nasir bekerja di sebuah bengkel kimpalan besi. Dengan pendapatannya yang terhad, dia kemudiannya membantu kawannya berniaga burger di sebelah malam. Begitu pun Nasir sebenarnya memiliki kemahiran tinggi untuk membuat arca daripada besi terbuang dan gentian kaca. Juga pakar dalam kerja semburan cat warna.

Ditakdirkan Nasir berkenalan dengan Fira, anak seorang ahli perniagaan terkenal sewaktu Fira terlibat menjalani projek praktikal bidang Senireka Dan Lanskap yang diikutinya di IPTA. Mereka jatuh hati antara satu sama lain. Namun menyedari jurang perbezaan antara mereka, perasaan itu hanya dipendamkan Nasir dalam hatinya.

Namun perhubungan mereka ditentang keras abang Fira, Farid yang kemudiannya berusaha keras mahu memisahkan keduanya. Farid yang bercita-cita mahu menjadi pelumba kereta terkenal bukan sahaja tidak berminat menyambung pelajaran sebaliknya melibatkan diri dalam lumba haram.

Farid tidak mengendahkan langsung nasihat teman baiknya, Yoges. Malah dia meminta Yoges yang mengenali Nasir supaya membelasahnya kerana menjalinkan hubungan dengan adiknya. Tetapi permintaannya itu ditolak baik oleh Yoges yang tidak mahu terlibat dalam kegiatan menyalahi undang-undang.

Nasir tinggal serumah dengan Razak yang juga bekerja sebagai penghantar surat. Meski pun tidak terlibat dalam lumba haram, Razak selalu meluangkan masanya menjadi penonton dan bergaul dengan budak-budak motor.

Kehadiran Ken Wah yang diajak oleh Nasir tinggal serumah dengannya telah menimbulkan perasaan cemburu di hati Razak. Tetapi segalanya tidak lama kerana keikhlasan Ken Wah membantu Razak yang berdepan masalah kesempitan wang. Selain Nasir, Ken Wah bersahabat baik dengan Harris yang juga seorang wartawan akhbar harian.

Kepulangan Nasir bersama Harris dan Ken Wah ke kampung melawat keluarganya telah memutikkan perasaan cinta di hati Ken Wah untuk adik Nasir, Nani. Harris pula berjanji mahu mencarikan Nani pekerjaan di Kuala Lumpur dan menyebabkan hubungan mereka semakin rapat. Malah Harris seringkali berkongsi krisis yang dialami dengan tunangnya, Adila dan menjadikan Nani sebagai pendengar setia.

Situasi itu menimbulkan perasaan cemburu di hati Ken Wah. Sedangkan ketika itu Nasir pula begitu bersungguh mengusahakan perniagaan sendiri berkat bantuan kewangan daripada Fira.

Dapatkah Nasir menghadapi segala dugaan serta rintangan dalam perniagaan dan percintaan yang perlu dilalui pada satu masa? Bagaimana pula kesudahan episod cinta Ken Wah dan Nani?

Saksikan lakonan Pekin, Sheera, Ah Chong, Nadia Emily, Aznah Hamid, Hafizzudin dan Elly Azman menerusi  Cindai Merah yang disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 1.30 petang di RTM2.

[tags]slot galeri famili, cindai merah, myeg, ngurah rai, renew roadtax online, anak luar nikah, bob hair, cimb malaysia, dating in malaysia, hubungan remaja, Pekin, Sheera, Ah Chong, Nadia Emily, Aznah Hamid, Hafizzudin, Elly Azman, jue aziz, jue jehan, kedah, kekasih ako mustapha, kelantan[/tags]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Biodata Kamal Adli Hos Model Pelakon

Senarai Penuh Pencalonan Lima Tempat Teratas Anugerah Festival Filem Malaysia ke 21