in ,

Drama Bersiri Metafora

Drama Bersiri Metafora Bongkar Misteri Kapal Terbang Terhempas Di TV2

Misteri yang berlaku 30 tahun lalu akibat nahas kapal terbang terhempas cuba dibongkar kembali menerusi drama bersiri “Metafora” yang mengisi slot Galeri Famili mulai 28 Disember ini, setiap Isnin hingga Rabu, jam 2.30 petang menerusi TV2. Adakah sememangnya wujud rampasan kapal terbang sebelum berlakunya kemalangan atau ia sememangnya tidak dirancang? Persoalannya ini pastinya menjadi teka-teki yang bakal terungkai dalam drama bersiri ini.

Menariknya, drama rantai yang meletakkan pelakon Aqasha sebagai peneraju utama selain Kazaruddin Saisi, Abu Bakar Juah, Fauziah Nawi, Almy Nadia, Anne Abdullah, Mahmud Ali Basha, Kenji Sawahi dan Jessie Lim ini turut diselitkan dengan babak-babak kekeluargaan, kasih sayang, dendam, pergolakkan hidup dan percintaan yang realitinya berlaku dalam kehidupan seharian.

Mengisi 13 episod siarannya, “Metafora” mengisahkan konflik yang berlaku dalam diri Hafizi yang membawa diri ke sebuah kampung tempat lokasi di mana berlakunya kejadian kapal terbang terhempas di Tanjung Kupang. Kehadirannya di kampung itu disambut baik pemilik homestay tempatnya menginap, Haji Isa yang terkenal dengan keramahan dan tinggi ilmu agama. Situasi itu membuatkan Hafizi selesa dalam meneruskan misi menunaikan wasiat ibunya.

Kehadiran Hafizi kurang disenangi oleh Haris yang menganggap Hafizi mahu merebut kekasihnya, Azura yang juga anak kepada Haji Isa. Namun hakikatnya Azura tidak menyenangi sikap Haris yang suka berpoya-poya.

Sementara itu kawasan kampung mereka dihantui dengan kejadian-kejadian aneh yang kemudiannya menarik perhatian Amir, pemuda dari bandar untuk menerbitkan sebuah dokumentari tentang kejadian kapal terbang terhempas yang sebenarnya berpunca daripada rampasan kapal terbang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pelbagai konflik berlaku di mana Andy Wong dan ibunya diburu Robert Chow, rakan kongsi mendiang suaminya yang mendakwa mereka menyembunyikan wang kongsi yang dibawa ketika nahas berlaku. Junaidi yang merupakan anak kepada isteri kedua Dato’ Samad yang juga mangsa nahas juga menyimpan dendam kerana ibu tirinya membolot harta peninggalan arwah ayahnya. Kemuncaknya dia yang berkawan baik dengan Haris yang cemburukan Hafizi mereka-reka cerita bahawa ayah Hafizi sebenarnya penjenayah yang cuba merampas kapal terbang sewaktu kejadian berlaku.

Di situ juga muncul Ghani, seorang wartawan yang menjadi saksi penting ketika berlakunya kejadian nahas 30 tahun lalu itu. Ghani meneruskan usahanya untuk menerbitkan sebuah buku bertajuk Tragedi Tanjung Kupang berdasarkan pengalaman dan bukti-bukti yang diperolehinya semasa membuat liputan kejadian.

Usaha diteruskan Amir berhasil apabila dokumentari itu berjaya disiapkan atas bantuan Ghani. Malah ia juga berjaya membongkar kebenaran bahawa wang yang disangkakan Robert Chow dibelot oleh Andy Wong sebenarnya telah bertaburan ketika nahas berlaku hingga salah seorang daripada orang kampung yang mengutipnya telah disahkan gila kerana mengambil duit itu.

Keberanan juga berjaya dibuktikan apabila mereka mendapati ayah Hafizi bukanlah penjahat yang dimaksudkan. Malah Taha yang bertanggungjawab mencuri cincin daripada mayat ayah Hafizi juga memulangkan cincin tersebut yang diwasiatkan ibunya untuk menjejak semula keluarga sebelah ayahnya yang berada di Jepun.

Namun apakah halangan yang terpaksa dihadapi oleh Hafizi? Dapatkah dia menjejak semula keluarganya di Jepun? Bagaimana pula kesudahan cinta Azura dan Haris? Saksikan kisah penamatnya dalam drama rantaian “Metafora” di TV2.

Metafora

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Samsung Debuts a Duo Wave Smartphones

Ezany Nizariff & Sheera Iskandar Dalam Telemovie Imam