in ,

Drama Bersiri Korea Pasta Kongsi Resipi Chef Muda

Drama Bersiri Korea : Pasta Kongsi Resipi Chef Muda Mulai 3 Oktober Ini di TV2

Pengaruh drama bersiri Korea sememangnya kuat di kalangan masyarakat kita terutama bagi remaja yang mengagumi kekacakan dan kecantikan pelakon-pelakon mereka di samping plot kisah percintaan yang menarik dipaparkan.

Terbaharu Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengajak penonton setianya mengikuti 30 episod yang mengangkat plot kisah resipi cinta dan semangat di kalangan chef muda dan menarik berlegar sekitar babak berlaku dalam restoran Itali yang bernama “Mamma Mia”.

Mengetengahkan pelakon hebat Gong Hyo-jin, Lee Sun-gyun, Lee Ha-nee, Lee Hyung Chul, Jo Sang Ki, Baek Bong K dan Heo Tae Hee, drama bersiri Pasta disiarkan mulai 3 Oktober 2011, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 5.00 petang mengisi slot Kristal di TV2.

pasta

Realitinya Pasta mengangkat impian dan kejayaan seorang wanita muda yang bercita-cita untuk menjadi chef di restoran elit Sfera La.

Kisahnya bermula dengan watak Seo Yoo Kyung memulakan kerjaya sebagai pembantu dapur di restoran Sfera La. Dia sanggup memulakan kerjaya daripada peringkat bawah dengan melakukan kerja pembantu dapur untuk mencapai cita-citanya bergelar seorang chef.

Sementara itu Choi Hyun Wook, chef utama di restoran Sfera La telah mempelajari seni masakan di Itali dan bermula sebagai pembantu chef di sebuah hotel di Sicily sebelum mencapai kejayaan kini menjadi chef masakan Itali yang paling banyak diiktiraf di Korea.

pasta

Keberanian chef pasta, Yoo Kyung sebagai pembantu dapur dan chef junior di sebuah restoran mewah Itali tidak seperti yang diharapkan apabila berlaku kebakaran di dapur pada hari pertama dia bekerja di situ.

Kejadian tersebut sememangnya melemahkan semangat Yoo Kyung apabila dimarahi ketua chef. Begitu pun dia cuba bangkit untuk mengumpul kepercayaan ketuanya itu. Namun usahanya tidak mudah kerana Hyun Woo tanpa diduga membawa masuk pasukan sendiri terdiri daripada kalangan chef Itali yang terlatih untuk bekerja dengannya. Nyata dia hilang kepercayaan terhadap kebolehan orang Korea sendiri hingga mengambil keputusan sebegitu.

Konflik berlaku apabila persaingan mula berlaku dan pada masa yang sama turut diselitkan kisah percintaan berputik antara Yoo Kyung dengan Hyun Woo tanpa diduga.

Saksikan Pasta yang telah memenangi Anugerah Drama MBC 2010 menerusi dua ketegori iaitu Pelakon Wanita Terbaik dimenangi Gong Hyo Jin dan Anugerah Pasangan Terbaik milik Lee Sun Gyun dan Gong Hyo Jin ini hanya di TV2.

pasta

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Lirik Lagu Kartita AwanBand

Pertukaran Waktu Siri Inggeris Popular Hawaii 5 0 & Blue Blood