in ,

Dilantik Perdana Menteri, Tokoh Dunia Ucap Tahniah Buat Anwar Ibrahim

Pemimpin agama terkemuka, Dalai Lama menjadi antara tokoh dunia yang menzahirkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Ucapan tahniah dengan tajuk ‘Tahniah Anwar Ibrahim’ terbabit disampaikan menerusi coretan di blog ‘His Holiness The 14th Dalai Lama Of Tibet’.

“Ini adalah masa yang sangat mencabar. Saya berharap Malaysia akan terus makmur dan menyumbang lebih banyak kepada keamanan dan kestabilan dunia kita yang semakin saling berkaitan.

“Saya doakan anda (Anwar) berjaya dalam menghadapi cabaran mendatang dalam memenuhi harapan dan aspirasi rakyat Malaysia,” katanya.

Menerusi ucapan sama, Dalai Lama yang juga pemenang Hadiah Nobel Keamanan berkongsi kisah dan pengalamannya melawat Malaysia pada tahun 1982.

“Saya berbesar hati melawat negara anda yang indah pada tahun 1982 apabila saya dijemput untuk bercakap mengenai keamanan dan tanggungjawab sejagat.

“Saya juga gembira kerana berpeluang bertukar pandangan dengan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman dan beberapa pemimpin,” jelasnya.

Selain itu, Anwar menerima panggilan tahniah daripada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan selepas dilantik ke jawatan berkenaan semalam.

Dalam perbualan kira-kira 10 minit itu, Anwar turut melahirkan harapan agar Malaysia dan Turki dapat mengeratkan hubungan serta kerjasama, membabitkan pelbagai bidang, termasuk perdagangan, perniagaan, budaya, pendidikan dan ketenteraan.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu atas pelantikannya menerajui negara.

“Tahniah saya ucapkan atas kemenangan anda dan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10,” katanya menerusi perutusan tahniah itu yang turut dilampirkan kepada media di sini.

Lee berkata, beliau tidak sabar untuk bertemu Anwar bagi membincangkan isu semasa dihadapi kedua-dua negara dan bagaimana kedua-dua negara boleh terus memajukan hubungan dua hala.

Lee berkata, jawatan Perdana Menteri dipikul Anwar ketika ‘persekitaran serantau dan global’ berdepan cabaran, sangat ketara.

“Sebagai jiran dan rakan rapat, Singapura serta Malaysia harus bekerjasama untuk menguruskan cabaran ini dan meneroka peluang kerjasama baharu,” katanya.

Pada masa sama, beberapa perwakilan asing di negara ini menghantar ucapan tahniah kepada Anwar.

Mesej tahniah pertama diterima beliau daripada Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Brian D McFeeters, sejurus mengangkat sumpah pada jam 5.06 petang.

“Tahniah kepada Anwar Ibrahim atas pemilihan sebagai Perdana Menteri Ke-10. Kedutaan AS Kuala Lumpur berharap untuk terus mengukuhkan perkongsian strategik AS-Malaysia di bawah kepimpinan anda,” menurut mesej disiarkan di Twitter rasmi Kedutaan AS.

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Dr Justin Lee menerusi Twitter turut menghantar mesej ucapan tahniah kepada Anwar dengan memuat naik gambar beliau bersama Presiden PKR itu.

“Tahniah kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10! Australia dan Malaysia adalah kawan paling rapat. Suruhanjaya Tinggi Australia berharap dapat bekerjasama dengan pasukan anda di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif kami,” ciapnya.

Manakala, Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko ketika mengucapkan tahniah kepada Anwar berkata, beliau amat berharap kerajaan baharu akan mampu memimpin negara dalam perpaduan dan seterusnya mempromosi hubungan kedua-dua pihak.

“Tahniah kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim @anwaribrahim yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10,” katanya.

Terdahulu, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi, menjadi ketua negara pertama mengucapkan tahniah kepada Anwar atas pelantikan ke jawatan itu.

Ucapan tahniah berkenaan dizahirkan menerusi panggilan telefon dan video perbualan mereka itu dikongsikan Anwar melalui hantaran Facebook.

“Terima kasih Presiden Indonesia Bapak Joko Widodo yang menjadi kepala negara pertama yang menghubungi saya mengucapkan tahniah.

“Saya tegaskan Indonesia merupakan sahabat sejati Malaysia dan saya mengharapkan hubungan dagang serta perniagaan, pelaburan, budaya dan isu pekerja dapat dipertingkatkan. Persahabatan kedua-dua semestinya diperkukuh,” katanya.

Menerusi panggilan selama 15 minit itu, Jokowi memaklumkan bahawa beliau terus menghubungi Anwar sebaik mengetahui pemimpin berkenaan sudah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Anwar, 75, secara rasmi dilantik Perdana Menteri Ke-10, selepas mengangkat sumpah jawatan pada Istiadat Mengangkat Sumpah Perdana Menteri, di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Sebelumnya, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu sebagai Perdana Menteri.

Keputusan tersebut diumumkan selepas sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, setelah memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda memberi perkenan terbabit.

Menurutnya, ia selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan. – Getaran

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tular Video Isu Perkauman, Zul Huzaimy Akui Ada Terima Ugutan

LYLE LYLE CROCODILE

Peraduan Jom Menonton Filem LYLE LYLE CROCODILE Lakonan Shawn Mendes