in

Destinasi Cinta Bersama AirAsia & Raikan Cinta

Pada hari Selasa yang lalu, saluran Astro Ria telah melancarkan dua program khas untuk pasangan berkahwin dan yang bakal menempuh alam rumah tangga menerusi Kempen Semarak Cinta.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli berkata, program berjudul Destinasi Cinta Bersama AirAsia dan Raikan Cinta itu bertemakan cinta, perkahwinan dan destinasi bulan madu yang sesuai dijadikan rujukan bagi bakal pengantin baru.

“Secara dasarnya idea menghasilkan dua buah rancangan istimewa ini rentetan sambutan positif dua buah program berteraskan perkahwinan yang diterbitkan sebelum ini iaitu Walimatulurus Lisa dan Yusry serta Seia Sekata Schawal,”

Dalam pada itu, katanya, pengisian dua program tersebut adalah berbeza namun masih mengekalkan konsep dan tema cinta.

Ujarnya, program Raikan Cinta mengkhususkan kepada pasangan yang ingin mendapatkan idea dalam merancang hari bahagia manakala Destinasi Cinta Bersama AirAsia pula lebih kepada pasangan yang baru berkahwin.

“Mengadakan persiapan perkahwinan bukan mudah kerana pelbagai aspek yang perlu diambil kira. Menerusi program Raikan Cinta diyakini dapat membantu mereka untuk merancang hari bahagia tersebut dengan baik.

“Destinasi Cinta Bersama AirAsia pula memberi peluang kepada penonton untuk merancang perjalanan bulan madu dengan paparan destinasi terbaik di dalam dan luar negara,” katanya.

Bercakap mengenai program tersebut, Raqim berkata, ia akan membawa penonton untuk menikmati perjalanan bulan madu 12 orang selebriti terkenal tanah air yang telah mengembara ke pelbagai destinasi menarik serata Asia.

Selebriti tersebut adalah Elyana dan Khairul (Laos), Irma Hasmie dan Redza (Indonesia), Carleed Khaza dan Natasha Hudson (Terengganu), Johan dan Ozlyn Wati (Thailand), Sazzy Falak dan Nash (China) dan Raja Farah dan Megat (India).

Turut terlibat Norman Hakim dan Memey Suhaiza (Indonesia), Ana Raffali dan Naim (Indonesia), Mizz Nina dan Noh Hujan (Filipina), Farish Aziz dan Zahrah (Vietnam), Nurul dan Eric (Sabah) serta Yasmin Hani dan Sha’rin (China).

Destinasi Cinta Bersama AirAsia akan menemui penonton setiap hari Rabu sebanyak 13 episod bermula 17 Oktober depan. Ia akan disarikan pada pukul 10 malam.

Manakala Raikan Cinta bakal bersiaran pada setiap Ahad, pukul 7 malam bermula 21 Oktober di saluran sama.

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Wajah Terbaru Raja Ema Yang Kurus

Senarai Pemenang Anugerah Blokbuster 2011