in , ,

Datuk Seri Vida Merungut Nama Naik Tapi Produk Tak Laku

Belum pun reda spekulasi beberapa pemain tonggak Kelantan didakwa akan angkat kaki musim depan, skuad The Red Warriors sekali lagi berdepan tamparan hebat apabila penaja utamanya Datuk Seri Dr Hasmiza Othman mengakui sudah ‘tawar hati’ untuk meneruskan tajaannya.

Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata, beliau merancang untuk menghentikan tajaan lebih awal berbanding tempoh sebenar dua musim.

“Ya, hati saya sebenarnya sudah retak, tiada lagi rasa ‘bahang’ macam awal musim dulu.

Saya amat kecewa dengan prestasi Kelantan yang saya rasakan tidak berbaloi dengan pelaburan besar saya.

“Saya orang bisnes, sudah tentu saya amat terkesan kerana prestasi hambar pasukan sedikit sebanyak menjejaskan kepercayaan pengguna terhadap produk saya,” katanya kepada mStar Online pada Isnin.

Jelas Vida, beliau akan bertemu dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa untuk memaklumkan keputusannya itu dalam masa terdekat.

“Saya hadir program bersama beliau petang tadi (Isnin), kami tak sempat nak jumpa lama.

Namun saya masih perlu bersemuka dengan beliau dalam masa terdekat,” katanya.

– Datuk Seri Vida

Vida yang juga pengasas produk kecantikan Qu Puteh turut kecewa dengan penyokong Kelantan yang enggan melaburkan sedikit wang mereka sebagai sebahagian daripada ‘penaja’ pasukan menerusi pembelian jersi dan produk keluaran syarikatnya.

“Setiap kali saya taja mana-mana program, ia beri impak positif dari segi jualan dan saya boleh teruskan tajaan. Tapi berlainan pula dengan bola, nama naik tapi dari segi pembelian produk tidak ada.

“Saya sudah hasilkan jersi mengikut harga mampu milik tapi penyokong lebih suka beli jersi ciplak. Saya keluarkan pula air tin berharga RM4.80 tapi penjualan masih perlahan.

“Oleh itu, ia melemahkan semangat saya untuk teruskan tajaan. Pelbagai perkara perlu diambil kira kerana wang tajaan saya bergantung dengan hasil penjualan produk,” katanya.

Ketika ditanya mengenai tempoh kontrak tajaan yang masih belum berakhir, Vida berkata:”Suami isteri pun kalau kahwin berjanji nak hidup semati, tapi kalau dah sakit jiwa, cerai jelah… buat apa menanggung derita.”

– Datuk Seri Vida

Pada Ahad, timbul khabar angin Vida tidak lagi menaja The Red Warriors pada musim depan kerana kecewa dengan prestasi dan kemerosotan pasukan itu.

Malah, lebih memburukkan keadaan sebahagian daripada tonggak utamanya didakwa bakal meninggalkan Kelantan pada musim depan.

Antara pemain yang disebut bakal ‘angkat kaki’ ialah Wan Zack Haikal Wan Noor yang akan berhijrah ke pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd Badri Mohd Radzi (Melaka United) dan Wan Zaharulnizam Wan Zakari (JDT atau Selangor).

Selain itu, Nor Farhan Muhammad (JDT), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United atau Kedah), Brendan Gan (JDT) dan Indra Putra Mahayuddin (T Team).

Pada masa sama, Vida turut terkejut dengan spekulasi membabitkan tonggak utama pasukan itu.

“Spekulasi ini mungkin ada kebenarannya. Namun saya tidak menjangka jumlah pemain begitu ramai dan membabitkan nama-nama besar,” katanya.

Sumber: Mstar Online

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Wak Doyok & Myo Berganding Semula dalam KE JEPUN KE KITA

Siti Sarah Akui Buat Rawatan Gigi