in ,

Dato’ Siti Nurhaliza Tak Lupa Jasa Adnan Abu Hassan

Penyanyi Dato’ Siti Nurhaliza memberitahu wartawan Mstar Online yang beliau tidak akan melupakan jasa baik komposer terkenal Allahyarham Dato’ Adnan Abu Hassan yang bertanggungjawab meletakkan karier seninya pada tahan hari ini.

Siti, 37, turut mengimbau kenangan dia pernah menumpang di sebuah bilik rumah Adnan atau digelarnya sebagai Abang D ketika baharu bergelar sebagai penyanyi.

“Saya teringat pernah menumpang di rumahnya ketika baru jadi artis dan Abang D bagi saya tidur di sebuah bilik kosong di rumahnya serta menjaga makan minum saya.

“Ketika itu arwah baharu sahaja berkahwin dan saya tidak akan lupakan kebaikkannya itu sampai ke akhir hayat.”

Siti berkata demikian ketika ditemui pada pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal di sini pada Jumaat.

Terdahulu, Adnan, 57, meninggal dunia kira-kira pukul 2.15 pagi Jumaat akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuklah buah pinggang dan serangan angin ahmar.

Beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang, pada pukul 2 pagi Khamis.

Sementara itu, Budiey suka memetik tulisan dari pengurus Dato’ Siti iaitu Kak Rozi di Facebook miliknya:

“Di dalam video muzik Jerat Percintaan, lagu ciptaan Allahyarham Dato’ Adnan Abu Hassan, ada penglibatan beliau sewaktu scene Dato’ Siti Nurhaliza di studio. Malah scene lain, iaitu scene di rumah itu, lokasinya adalah rumah Allahyarham, yg sewaktu itu terletak di Klang Gate.

Pada awal menjadi artis, sewaktu Siti masih bersekolah dan berulang alik dari K.Lipis ke Kuala Lumpur, beliau tinggal di rumah Allahyarham. Ketika itu Allahyarham belum lagi mempunyai anak dan hanya beliau dan isteri. Lagu ini juga menjulang anugerah Juara Lagu 1996 utk semua kategori iaitu Juara Lagu, juara kategori balada dan Siti sendiri menjuarai persembahan terbaik.

Malam selepas Juara Lagu, seusai acara, Allahyarham mengajak kami makan di restoran Thailand. Kami menjamu selera, dan selepas makan, kami terus ke rumah Allahyarham. Sempat kami menonton kembali Juara Lagu yg dirakam, ketika itu dalam format video tape.

Berulang-ulang kami menonton, nampak Allahyarham sangat gembira, dan kami meraikan malam tersebut sehingga jam 2-3am dengan bercerita, menonton rakaman berkali2 dan bersyukur dengan kejayaan tersebut. Genap 20 tahun kerjasama DCT bersama Allahyarham.

Besar jasanya. 20 tahun yg masih segar, lagu inilah yg jarang DCT tinggalkan dlm setiap kali beliau mengadakan konsert. Dan memang tidak silap, DCT tetap dan masih mengekalkan Jerat Percintaan dlm senarai lagu di konsert 20 tahun beliau iaitu DCT & Friends di Stadium Negara, pada 2 April depan.”

Dalam pada itu, Siti berkata, dia terharu dengan kesudian Adnan yang sanggup meluangkan masa untuk memimpin kumpulan pemuzik menerusi lagu Jerat Percintaan dan Azimat Cinta ketika konsert umpluggednya pada April tahun lalu.

Kata Siti, meskipun ketika itu kesihatan Adnan sudah merosot namun arwah tetap bersemangat untuk mengiringi persembahannya dan ia adalah antara momen terbaik dalam hidupnya.

“Saya berasa puas kerana sempat mengadakan persembahan bersama-sama pada konsert berkenaan kerana semangatnya cukup kuat meskipun sedang menanggung kesakitan.

“Abang D akan terus menjadi inspirasi kepada ramai penyanyi dan masyarakat secara umumnya kerana legasi ditinggalkan cukup besar,” jelasnya.

Adnan ketika hadir ke Konsert Unplugged Datuk Siti Nurhaliza untuk mengiringi persembahan penyanyi itu.

Sementara itu, Siti berkata, dia berasa sayu apabila menatap wajah Adnan buat kali terakhir ketika jenazah dibawa ke Masjid Al-Falah dekat sini namun reda dengan pemergiaan itu.

“Alhamdulillah wajahnya jernih dan tersenyum. Inilah kelebihan yang Allah berikan kepada Abang D selain terpilih dijemput pada hari Jumaat yang mulia.

“Sebagai individu yang rapat dengannya biarpun sedih akan kehilangannya saya reda dengan ketentuan-Nya kerana Allah lebih sayangkan dia,” katanya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Nora Ariffin Terkilan Konsert Anak Didik Adnan Abu Hassan Tertangguh

Seniwati Neng Yatimah Meninggal Dunia