Kalau dulu bermula hanya dengan modal RM20,000, siapa sangka kini Gula Cakery sudah mencatat jualan mencecah RM4 juta sebulan? Apa yang lebih membanggakan, kisah kejayaan ini turut mendapat perhatian dan pujian ikhlas daripada figura politik terkenal, YB Khairy Jamaluddin, yang mengakui kekagumannya terhadap semangat dan usaha gigih pengasas Gula Cakery, Arieni Adriena.
Arieni bukanlah lahir dari latar belakang korporat besar, apatah lagi warisan keluarga kaya. Sebaliknya, beliau bermula dari bawah, hanya dengan simpanan sendiri dan sokongan keluarga. Dan daripada baking di dapur rumah, beliau kini menerajui satu jenama makanan dan minuman (F&B) tempatan yang terus berkembang dan menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia.
“Saya rasa sangat terharu apabila YB Khairy Jamaluddin puji usaha kami. Beliau memang seorang pemimpin yang saya hormati. Pada masa yang sama, pujian itu buat saya rasa saya perlu buat lebih baik lagi supaya Gula Cakery terus kekal kukuh dan berkembang,”
– Arieni Adriena
Bermula Dari Satu Kek, Kini Empayar Pencuci Mulut
Kisah Gula Cakery boleh dikatakan sangat menyentuh hati dan membuka mata kita semua – bahawa kejayaan bukan milik mereka yang berduit sahaja, tapi milik mereka yang berusaha tanpa henti. Bermula secara kecil-kecilan, Arieni memanfaatkan apa yang ada – sedikit modal, minat yang mendalam terhadap baking, dan semangat untuk belajar.
Bukan setakat itu sahaja, setiap sen keuntungan yang dijana tidak disimpan untuk gaya hidup mewah, sebaliknya digunakan untuk membuka cawangan baharu. Beliau juga tidak segan silu untuk menyertai pelbagai pertandingan perniagaan dan sesi bimbingan, demi menimba ilmu dan mencari peluang menambah modal.
Apa yang menjadikan Gula Cakery berbeza bukan sahaja pada rasa kek yang sedap dan pencuci mulut yang kreatif, tetapi juga konsistensi, keikhlasan dalam perkhidmatan, dan usaha untuk sentiasa mendengar maklum balas pelanggan.
“Saya sentiasa rajin cipta pencuci mulut baharu, sentiasa terbuka dengan maklum balas pelanggan, dan paling penting – saya ada pasukan yang konsisten dan bersemangat. Itu antara sebab Gula Cakery boleh pergi sejauh ini,”
– Arieni
Rahsia Kejayaan: Bukan Hanya Resipi, Tapi Juga Misi
Arieni berkongsi bahawa rahsia sebenar kejayaan beliau bukan semata-mata terletak pada resipi kek yang lazat, tetapi lebih kepada pemikiran dan prinsip hidup yang beliau pegang sejak dari awal – iaitu untuk tidak pernah berhenti belajar.
“Prinsip saya mudah, never stop learning. Saya belajar resepi baru, saya belajar tentang operasi dan kepimpinan. Mindset ini yang buat saya berani ambil peluang dan sentiasa perbaiki diri serta bisnes,” – Arieni
Bagi Arieni, apa yang penting dalam dunia perniagaan bukan sekadar tahu buat kek yang sedap, tetapi juga berani berubah, sentiasa belajar, dan sentiasa memperbaiki diri dalam semua aspek – daripada pengurusan, servis pelanggan, sehinggalah kepada strategi pemasaran.
Dunia F&B Tak Pernah Sunyi Dari Cabaran
Sudah menjadi lumrah dalam dunia keusahawanan, cabaran itu pasti datang. Apatah lagi dalam industri F&B yang semakin hari semakin kompetitif dan berubah pantas.
“Cabaran paling besar adalah untuk terus relevan. Kami atasi dengan inovasi berterusan, tingkatkan pengalaman pelanggan, serta pastikan servis dan kualiti sentiasa konsisten,” – Arieni
Arieni sedar, untuk kekal di hati pelanggan, perlu sentiasa buat sesuatu yang baharu, dari segi menu, cara penyampaian, promosi dan sebagainya. Mereka juga fokus pada kualiti servis yang konsisten – supaya setiap pelanggan rasa seperti pelanggan pertama.
Pesan Arieni Buat Anak Muda: “Jangan Tunggu Sempurna”
Bagi mereka yang baru nak mulakan bisnes atau masih mencari-cari arah tuju, nasihat Arieni memang ‘kena batang hidung’.
“Jangan tunggu semua sempurna. Saya pun mula dengan modal kecil dan pengalaman terhad. Passion itu penting tetapi tak cukup. Perlu ada konsistensi dan disiplin untuk bertahan. Mulakan langkah pertama dan belajar dari setiap cabaran, di situ letaknya kekuatan sebenar,” – Arieni
Arieni percaya bahawa langkah pertama itu adalah segalanya. Kalau terlalu menunggu keadaan jadi sempurna, mungkin takkan pernah bermula. Apa yang lebih penting ialah keberanian untuk memulakan, dan semangat untuk belajar dari kesilapan.
Nilai Teras Gula Cakery: Kejujuran & Kualiti
Walaupun kini sudah bergelar usahawan berjaya, Arieni tidak pernah lari daripada nilai-nilai kerja yang beliau pegang sejak hari pertama. Setiap kek yang dijual mesti mengekalkan rasa yang sama seperti ketika mula-mula Gula Cakery dibuka.
“Setiap kek mesti rasa sedap sama seperti hari pertama. Pelanggan mesti rasa dihargai. Itu yang buat orang percaya dan kembali lagi,”
– Arieni
Kejujuran dan kualiti ini jugalah yang membuatkan Gula Cakery menjadi jenama yang disukai ramai, malah mempunyai pelanggan setia yang sentiasa menantikan menu baharu mereka.
Visi Masa Depan: Gula Cakery Di Setiap Negeri
Bila ditanya tentang impian masa depan, Arieni menjelaskan bahawa beliau mahu menjadikan Gula Cakery sebagai jenama F&B tempatan paling dipercayai dan digemari seluruh negara.
“Saya mahu Gula Cakery dikenali sebagai jenama F&B tempatan terbaik. Kami akan membuka lebih banyak outlet di setiap negeri supaya bila orang fikir tentang sambutan atau perayaan, nama Gula Cakery terus jadi pilihan pertama,” – Arieni
Misi ini bukan sahaja sekadar untuk meluaskan perniagaan, tetapi juga untuk membawa jenama tempatan ke satu tahap yang lebih membanggakan. Dengan menyasarkan pembukaan outlet di setiap negeri, Arieni berharap Gula Cakery akan menjadi pilihan utama rakyat Malaysia setiap kali ingin menyambut sesuatu yang manis.
Apa Kata Budiey?
Kisah kejayaan Gula Cakery ini jelas membuktikan bahawa modal kecil bukan penghalang untuk mencapai impian besar. Arieni Adriena telah menunjukkan bahawa dengan kesungguhan, konsistensi, keberanian untuk mencuba dan sikap tidak pernah berhenti belajar, seseorang itu mampu mengubah hidup dan mencipta legasi perniagaan yang membanggakan.
Budiey percaya ramai di luar sana, terutama anak muda, boleh ambil inspirasi daripada kisah ini. Jika anda sedang mencari ‘push’ untuk memulakan sesuatu, jadikan Gula Cakery sebagai contoh nyata bahawa kejayaan itu boleh dicapai – walaupun bermula dari dapur rumah sendiri.
Mungkin sudah tiba masanya kita lebih menyokong dan meraikan kejayaan usahawan tempatan seperti Arieni. Dan siapa tahu, mungkin selepas membaca kisah ini, giliran anda pula untuk cipta empayar sendiri?
Nak berjaya, bukan kena tunggu sempurna. Tapi kena berani mula!