in ,

Dalam Bersiri Baitul Rahmat Sepanjang Ramadan

Pengajaran Ibu dan Ayah Terbuang di Rumah Kebajikan Dalam Bersiri : Baitul Rahmat Sepanjang Ramadan Ini Di TV1

Tak tergambar dengan kata-kata bilamana seorang anak sanggup menghantar ibu kandungnya ke rumah kebajikan. Begitu juga tindakan kejam seorang anak yang meninggalkan bapanya di tepi jalan berbekalkan wang sepuluh ringgit.

Lalu keduanya menjadi penghuni Baitul Rahmat yang kembali menceriakan mereka di samping teman-teman yang senasib dengan mereka. Di situ mereka diberikan sepenuh perhatian oleh penyelia rumah kebajikan itu termasuk seorang gadis bernama Juriah yang bertugas menjaga kebajikan mereka di situ.

Kisah sedih sarat pengajaran bertajuk Baitul Rahmat lakonan Yatt Hamzah, Azza Elite, Kismah Johar, Nor Albaniah dan Engku Fridah ini disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sepanjang Ramadan ini setiap hari, jam 7.30 malam di TV1.

barisan pelakon Baitul Rahmat

Kisahnya bermula apabila Hashim, Hanim dan Husna bergaduh besar untuk menentukan siapa yang patut menjaga ibu mereka, Maimunah yang sudah uzur. Hashim dan Hanim yang sudah berumahtangga memberi bermacam alasan hingga Husna akhirnya yang masih bujang akur menjaga Maimunah.

Namun Husna sebenarnya miliki niat jahat mahu membolot harta ibunya secara rahsia. Satu hari berlaku kejadian yang membuatkan Husna begitu marah terhadap ibunya. Dia kemudiannya menghantar Maimunah tinggal di rumah kebajikan Baitul Rahmat. Meskipun puas Maimunah memujuk namun anak kandungnya itu tetap dengan pendiriannya meninggalkan ibunya di situ.

Masa berlalu tidak pernah sekali pun Husna atau anak-anaknya yang lain datang melawat Maimunah. Walaupun sedih dia mula membiasakan diri tinggal bersama teman-teman senasib dengannya termasuklah Khalijah, Rahmah, Mak Cik Adibah, Hasnah dan juga Wan. Apatahlagi penyelia di situ menjaga kebajikan mereka dengan baik sekali.

Kepada merekalah dia meluahkan rasa sedihnya. Hampir tiap malam dia menangis, tetapi lama kelamaan dia boleh menerima yang anak-anaknya sudah pun melupakan dirinya. Cerita teman-temannya di situ lebih kurang sama dengannya. Anak-anak mereka boleh dikatakan berjaya dalam kehidupan masing masing, tapi apakan daya mereka menolak untuk menjaga orang tua sendiri.

Juriah,penyelia rumah orangtua tersebut cuba menceriakan hari hari di Baitul Rahmat dengan berbagai aktiviti menarik agar semua orang tua yang ada di sana tidak sedih. Mana taknya, Juriah dibesarkan di rumah anak yatim dan dia tidak pernah dapat merasa kasih sayang ibu bapa. Jadi kepada orangtua yang ada di sinilah Juriah menumpang kasih dan syukurlah, mereka semua hargai dan menerima Juriah dengan tangan terbuka.

Di situ Maimunah juga berkongsi kisah Hamidun yang ditinggalkan anak-anak di tepi jalan sebelum diterima tinggal di Baitul Rahmat. Nasib Hamidun lebih malang kerana hanya beberapa hari tinggal di situ, Hamidun meninggal dunia. Namun tiada seorang pun anaknya yang hadir menuntut mayatnya malah jenazah Hamidun dikebumikan di tanah perkuburan tanpa waris terletak berhampiran Baitul Rahmat.

Ramadan semakin berakhir. Ketika itu Maimunah mula jatuh sakit. Begitu pun tidak seorang daripada anak-anak yang datang melawat selain Husna yang memaksanya menukarkan nama terhadap harta yang dimilikinya. Malah Husna membohongnya untuk membawa dia pulang ke rumah.

Maimunah merana dengan tindakan anak-anaknya. Lalu bagaimanakah penyudah jalan hidupnya? Adakah dia senasib dengan Hamidun yang tidak dituntut mayatnya di Baitul Rahmat? Saksikan kesudahannya penghujung Ramadan ini di TV1.

pelakon Baitul Rahmat

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Summer Brothers

Nabila Huda Mengaku Sayang Johan As’ari