in

CIMB Janji RM50 Juta Untuk Pendidikan Seluruh ASEAN

Komitmen Besar CIMB Untuk Bangunkan Pendidikan Dan Perkasakan Anak Muda ASEAN Dengan Program Biasiswa, Literasi Kewangan Dan Peluang Pembangunan Diri

CIMB Foundation baru-baru ini mengumumkan satu langkah besar dalam usaha memperkukuh akses pendidikan di rantau ini. Bank tersebut telah berikrar untuk melaburkan sebanyak RM50 jutasepanjang lima tahun akan datang (2026–2030) bagi membiayai pelbagai inisiatif pendidikan di seluruh ASEAN.

Usaha ini bukan sekadar janji kosong, sebaliknya ia memperkukuhkan misi CIMB untuk memajukan masyarakat dan pelanggan dengan menyediakan peluang pendidikan yang lebih saksama dan meluas, terutamanya kepada golongan kurang berkemampuan.

Komitmen besar ini akan meliputi pelbagai aspek – daripada pemberian biasiswa CIMB ASEAN Scholarship Programme sehinggalah kepada program pembangunan kapasiti yang memberi tumpuan kepada peningkatan literasi kewangan khususnya bagi komuniti berpendapatan rendah.

Pendidikan Sebagai Enjin Kemajuan Masa Depan

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Foundation, Ahmad Shahriman Mohd Shariff, berkata dengan penuh keyakinan:
Pendidikan adalah pemacu paling berkuasa untuk kemajuan. Dengan komitmen terbesar kami setakat ini dalam bidang pendidikan, kami benar-benar komited untuk memperkasakan generasi pemimpin ASEAN masa depan dengan membuka akses yang lebih luas kepada pendidikan berkualiti. Usaha ini mencerminkan tekad kami untuk mengangkat kehidupan anak muda dengan menyediakan peluang pembelajaran yang benar-benar memberi impak.”

Beliau menambah lagi bahawa CIMB akan terus menumpukan kepada program pendidikan yang dapat membekalkan kemahiran asas penting, memperkukuh kesejahteraan kewangan, mengurangkan jurang pendidikan, serta mewujudkan pertumbuhan komuniti yang mampan.

CIMB Janji RM50 Juta Untuk Pendidikan Seluruh ASEAN

Sejarah Panjang CIMB Dalam Pembangunan Belia

Selama ini, CIMB telah menjadi antara organisasi paling konsisten dalam melabur untuk pembangunan belia dan pendidikan. Melalui biasiswa, latihan kemahiran serta kerjasama dengan pelbagai pihak, bank ini berjaya membuka akses pendidikan berkualiti kepada lebih ramai pelajar dan memperluas pengetahuan kewangan dalam kalangan anak muda. Semua ini bertujuan melahirkan generasi yang mampu berdiri sebagai pemimpin masa depan.

Ahmad Shahriman turut menekankan, “Kami bangga kerana dapat meneruskan CIMB ASEAN Scholarship Programme tahun ini. Melihat anak-anak muda cemerlang dalam pengajian mereka, membantu keluarga, dan memberi sumbangan kepada komuniti adalah sesuatu yang membanggakan kami. Program ini bukan sekadar sokongan kewangan, tetapi ia melahirkan generasi yang bersedia untuk masa depan, berprinsip, dan mampu menyesuaikan diri dengan landskap ASEAN yang sentiasa berubah.”

Pemilihan Ketat, Peluang Ke Universiti Bertaraf Dunia

Tahun ini, 11 orang pelajar terpilih daripada lebih 6,000 permohonan yang dihantar. Hanya mereka yang benar-benar menonjol dari segi pencapaian akademik, kepimpinan, daya tahan, serta semangat juang dipilih. Antara penerima biasiswa termasuklah pelajar daripada keluarga B40 dan komuniti yang kurang bernasib baik.

CIMB membuktikan komitmennya dengan memberikan akses kepada institusi pengajian tinggi terkemuka dunia. Antara universiti yang terlibat ialah University of Sydney, King’s College London, University of Leeds, University of Southampton, London School of Economics, Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA, dan Singapore Management University.

Sehingga kini, 144 penerima biasiswa telah mendapat manfaat dengan jumlah pelaburan mencecah RM82.4 juta.

Bidang Pengajian Luas, Peluang Kerjaya Lebih Terjamin

Bidang pengajian yang ditawarkan melalui biasiswa ini juga sangat pelbagai, merangkumi Politik, Falsafah dan Ekonomi, Matematik Aktuari, Undang-undang, Alam Sekitar, Pembangunan Lestari, Ekonomi, Psikologi, Pentadbiran Perniagaan, Teknologi Maklumat, dan Sains Komputer.

Selain bantuan kewangan, setiap pelajar juga akan dipadankan dengan mentor kerjaya CIMB sepanjang tempoh pengajian mereka. Bukan itu sahaja, mereka juga akan diberikan peluang latihan industri (internship) di CIMB semasa cuti semester untuk merasai pengalaman dunia kerja sebenar.

Lebih menarik, selepas tamat pengajian, para penerima biasiswa berpeluang menyertai program latihan pengurusan CIMB yang dikenali sebagai The Complete Banker™ Programme. Program ini direka khas untuk membentuk kemahiran menyeluruh dan melahirkan graduan yang lengkap dengan asas kukuh bagi menempuh kerjaya profesional.

CIMB Sebagai Pemain Utama Rantau ASEAN

Bagi yang mungkin kurang mengenali latar belakang CIMB, bank ini merupakan antara kumpulan perbankan utama ASEAN dan penyedia perkhidmatan kewangan kedua terbesar di Malaysia. Dengan nilai pasaran lebih RM73 bilion (setakat Jun 2025), CIMB menawarkan pelbagai produk meliputi perbankan pengguna, perbankan komersial, perbankan Islam, pengurusan aset dan banyak lagi.

Dengan lebih 571 cawangan dan 33,000 kakitangan di seluruh ASEAN, CIMB terus mengukuhkan kedudukannya bukan sahaja di Malaysia, malah di Indonesia, Singapura, Thailand, Kemboja, Vietnam dan Filipina. Malah, CIMB juga mempunyai kehadiran di luar rantau ini termasuk di China, Hong Kong dan United Kingdom.

Apa Kata Budiey?

Bagi Budiey, langkah CIMB ini bukan sekadar angka atau janji atas kertas. RM50 juta dalam tempoh lima tahunadalah pelaburan yang mampu mengubah nasib ribuan anak muda di ASEAN. Dalam dunia hari ini, di mana jurang pendidikan masih luas, inisiatif seperti ini boleh menjadi penentu masa depan – sama ada seorang pelajar mampu mencapai impiannya atau terus terperangkap dalam kitaran kemiskinan.

Budiey juga melihat program seperti CIMB ASEAN Scholarship Programme bukan hanya sebagai tiket belajar di universiti ternama, tetapi sebagai laluan untuk melahirkan pemimpin yang berdaya tahan, berwawasan, dan mampu membawa perubahan positif kepada negara masing-masing.

Cadangan Budiey – CIMB perlu memastikan supaya biasiswa ini sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan, bukan sekadar pelajar elit semata. Jika dilaksanakan dengan adil, inisiatif ini boleh menjadi model bagaimana sektor swasta menyumbang kepada masyarakat dengan impak yang benar-benar terasa.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Festival Filem Alternativa Umum Jawatankuasa Pemilihan 2026